Memang  pening fikir soal rumah dalam keadaan ekonomi sekarang. Lagi memeningkan apabila satu laporan baru-baru ini menyatakan harga rumah di Malaysia dijangka meningkat tiga peratus dalam jangka 12 bulan akan datang dan terus melonjak 12 peratus bagi tempoh 12 bulan berikutnya, didorong unjuran yang lebih baik.

Kesan Beli Rumah Letak Satu Nama Dan Dua Nama, Ramai Yang Tak Tahu
Gambar Hiasan

Nak tak nak kena la berkongsi bersama pasangan untuk membeli sebuah rumah atas sebab komitmen dan sebagainya. Namun korang tahu tak apa kesan sekiranya kita berkongsi nama dalam satu geran rumah?

Peguam hartanah, Salkukhairi Abd Sukor yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-LITERASI) berkongsi panduan mengenai pembelian rumah. Nak guna satu nama atau bersama pasangan? Tentu ramai yang nak tahu apa pro dan kontra di sebalik satu atau nama bersama ini.

Tuan, mana lebih baik? Beli rumah pakai satu nama atau dua nama suami isteri?

Soalan ini sering ditanyakan kepada saya.

Saya nak jawab begini.

Pertamanya, kita tanya diri kita. Apa tujuan dan matlamat kita beli rumah letak satu atau 2 nama tu?

Ada orang beli rumah letak 2 nama kerana komitment suami agak tinggi. Tak lepas nak buat loan atas nama seorang.

Maka terpaksalah isteri membantu sama untuk buat loan. Jadi diletak lah nama suami isteri dalam geran rumah tersebut.

Ada suami yang buat loan guna nama dia seorang. Tetapi sebagai tanda sayangnya dia pada isteri, diletak nya nama isteri nya sekali dalam geran.

Maka secara tak langsung si isteri dianggap memiliki 1/2 bahagian rumah tersebut.

Ads

Jadi tak ada masalah sebenarnya nak beli rumah sama ada nak letak nama seorang atau berdua. Asalkan anda beli rumah.

Jangan pulak disebabkan fikir nak beli rumah letak satu atau 2 nama, sampai ke sudah tak beli rumah.

Cuma bila anda nak beli rumah sama ada nak letak satu atau 2 nama, anda perlu faham apakah kesan sekiranya anda letak satu atau 2 nama tersebut.

Disini saya kongsikan serba sedikit kesan beli rumah letak satu nama dan 2 nama.

A. Jika letak satu nama sahaja:

1. Rumah jadi milik anda seorang sahaja. Loan pun anda seorang sahaja yang bertanggungjawab bayar.

2. Kalau anda nak jual nanti, hanya anda seorang sahaja yang perlu sign perjanjian jual beli.

3. Pun begitu, rumah tersebut masih boleh dianggap sebagai harta sepencarian antara anda dan pasangan anda. Dengan syarat ianya dibeli dalam tempoh perkahwinan anda.

Ads

4. Ertinya, sekiranya berlaku perceraian, anda dan pasangan anda masing-masing berhak untuk tuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian.

Cuma bahagian masing-masing adalah tertakluk kepada setakat mana sumbangan masing-masing terhadap rumah tersebut.

5. Walaupun misalnya rumah itu dibeli atas nama suami sahaja, tetapi sekiranya si isteri dapat membuktikan yang dia juga ada memberi sumbangan sama ada secara lansung atau tidak langsung berkaitan rumah tersebut, maka mahkamah boleh mempertimbangkan bahagian harta sepencarian masing-masing. Baik dipihak suami atau isteri.

6. Begitu juga andai kata rumah itu dibeli atas nama isteri sahaja. Si suami juga berhak menuntut ia sebagai harta sepencarian dan terpulanglah kepada si suami untuk membuktikan sumbangannya terhadap harta tersebut dalam tempoh perkahwinan mereka di mahkamah.

7. Dari segi tuntutan harta pusaka pula, pasangan masing-masing masih berhak untuk mendapat bahagian harta pusaka daripada rumah tersebut seandainya penama dalam geran meninggal dunia.

8. Bahagian pasangan tersebut adalah mengikut bahagian yang ditetapkan dalam hukum faraid atau mengikut persetujuan bersama sesama ahli waris.

Kesan Beli Rumah Letak Satu Nama Dan Dua Nama, Ramai Yang Tak Tahu
.

Ads

B. Jika letak 2 nama suami isteri :

1. Walaupun sekiranya rumah tersebut hanya satu pihak sahaja yang buat loan, namun disebabkan nama pasangan telah dimasukkan dalam geran, rumah tersebut dianggap sebagai rumah pertama juga untuk pasangan tersebut.

2. Jadi selepas ini seandainya dia ingin membeli rumah atas namanya seorang, maka dia mungkin tidak lagi layak untuk mendapat pengecualian duti setem pindahmilik sebagaimana yang layak diterima oleh pembeli rumah pertama.

3. Sekiranya selepas ini rumah itu ingin dijual, maka persetujuan kedua dua belah pihak adalah diperlukan kerana kedua-dua belah pihak akan tandatangan perjanjian jual beli.

4. Dari segi bahagian harta sepencarian, jika nama suami isteri ada dalam geran, maka sudah pastilah lebih jelas lagi bahagian masing-masing berkaitan harta sepencarian terhadap rumah tersebut.

5. Begitu juga jika berlaku kematian, maka bahagian si mati tadi akan menjadi harta pusaka kepada waris-warisnya mengikut bahagian faraid atau persetujuan bersama sesama waris.

6. Perlu diingat jika loan atas nama satu pihak (suami misalnya), tetapi dalam geran nama berdua (suami dan isteri), sekiranya suami sebagai pembayar loan meninggal dunia dan si suami ambil MRTT terhadap rumah itu, maka hutang loan rumah tersebut akan di cover oleh takaful sepenuhnya.

7. Tetapi sekiranya loan rumah atas 2 nama (suami dan isteri) dan kedua duanya ambil MRTT, sekiranya satu pihak meninggal dunia, hanya bahagian loan pasangan yang meninggal itu sahaja akan di cover oleh syarikat takaful. Dan bahagian loan pasangan yang masih hidup itu masih tetap perlu dibayar oleh pasangan tersebut.

Jadi kesimpulannya, tak kisahlah nak beli rumah letak nama seorang atau berdua, semuanya bagus dan baik. Bergantung kepada tujuan, perancangan dan matlamat masing-masing beli rumah.
Yang paling penting anda kena ada ilmu dan tahu apakah kesan sekiranya beli rumah guna nama seorang atau berdua.

Pilihan ditangan masing masing.
Wallahuaklam.

Sumber : FB K-Literasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI