Sudah tangan bertuah, mumbang ditanam tumbuh juga.
Ya, itulah pepatah yang sesuai bagi pemilik nama penuh Kimberly Chuah Ching Li; anak seni tempatan berbangsa Cina yang kian meningkat naik dalam industri seni hiburan. Berbekalkan minat, potensi dan semangat yang dimiliknya, tidak keterlaluan jika kami ramalkan Kimberly bakal berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan pelakon muda berkaliber yang kini mewarnai industri.
Bertatih perlahan-lahan, kehadirannya semakin dirasai langkah demi langkah selepas menamatkan perjalanannya dalam program pencarian Dewi Remaja 2022 pada kedudukan tempat ketiga. REMAJA raikan Kimberly Chuah sebagai salah seorang personaliti pilihan kempen Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gayaFZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teksFATH ABU BAKAR jurufotoAKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan AYANG KAMELL persalinanSUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Kefasihan Kimberly dalam berbahasa Melayu boleh dikatakan merupakan salah satu keunikan dominan yang ada padanya sekali gus menjadi ‘punca’ rezeki buat Kimberly terus menyemai nama menerusi naskhah yang ditonton rata-rata oleh penonton berbangsa Melayu.
Menurut Kimberly, sejak kecil lagi dirinya sudah dibesarkan untuk fasih berbahasa Melayu dan secara tidak langsung dirinya sudah sinonim dengan persekitaran berbilang kaum. Kebolehan ini menjadi satu titik tolak untuknya terus memahat nama menerusi siri drama dan telefilem bersama pemain industri tempatan terkenal.
“Boleh dikatakan tiada masalah langsung kerana saya fasih berbahasa Melayu sejak kecil. Saya pula bersekolah kebangsaan di mana saya sudah biasa bergaul dengan semua kaum.
“Dulu tidak ramai (pelakon berbangsa Cina yang aktif memasuki industri seni berbahasa Melayu) tetapi kini semakin ramai pelakon bukan Melayu yang muncul. Jujurnya, kebolehan berbahasa Melayu ini adalah keunikan dan kelebihan bagi kami (selebriti berbangsa Cina di Malaysia). Bak kata orang, practice makes perfect. Kesempurnaan memerlukan kita untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Jika sekadar teori sahaja yang mengisi ruang minda tanpa mempraktikkan bahasa kebangsaan kita, sayang sekali.
Ads
“Oleh itu, saya menganggap kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai keunikan serta kekuatan pada diri. Bahkan, saya bangga apabila terus-menerus diberikan peluang berlakon dalam drama Melayu,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.
Selain memainkan watak di depan kamera, siapa sangka Kimberly juga mempunyai bakat terpendam dan mampu melontarkan bait-bait lagu rap secara lancar dalam bahasa Melayu! Pernah suatu ketika sewaktu mengikuti uji bakat pencarian Dewi Remaja 2022 di Pulau Pinang, klip pendek yang dimuat naik oleh REMAJA bertukar tular apabila warganet terpegun dengan caranya mempersembahkan lagu bergenre rap.
Menurut Kimberly, bakat terpendam ini mungkin sekali diasah sewaktu di bangku sekolah apabila dia seringkali menyertai aktiviti di luar bilik darjah seperti berdebat.
Disoal apa yang difahaminya mengenai erti Saya #RemajaMalaysia bersempena kempen REMAJA yang sudahpun memasuki edisi kelimanya tahun ini, penulis amat tertarik dengan huraian milik Kimberly. Tentunya setiap orang mempunyai interpretasi berbeza di ruang fikiran masing-masing.
Bagi Kimberly yang mengambil berat soal pelapis yang bakal menggantikan tokoh-tokoh ternama di Malaysia dewasa kini, dia menyifatkan Remaja Malaysia adalah golongan yang bakal memberi idea bernas dalam memperjuang setiap pelbagai perkara mengikut peredaran zaman.
“Remaja adalah tonggak dan pelapis negara. Saya harus tekankan bahawa generasi maa kini wajar melatih diri untuk memperbaiki skil dan cara pemikiran agar mereka terus bangkit demi negara tercinta. Sekiranya ada yang musykil siapakah bakal menggantikan tempat duduk panas bagi memimpin negara, jawapannya adalah kita semua yang masih muda.
“Bukan bermakna jasa tokoh-tokoh negara sudah dilupakan tetapi saya percaya negara memerlukan idea dan generasi baharu untuk memperjuangkan setiap perkara yang baharu,” ujarnya lagi.
Ads
‘Minat muzik, tapi impian terbesar adalah berlakon’
Mengenali gadis ini sejak dia melangkah masuk ke pencarian Dewi Remaja 2022, Kimberly sama sekali tidak pernah gagal untuk melontarkan senyuman manisnya saat bertemu. Tidak pernah mendongak ke langit jadi rahsia dirinya disenangi orang di sekeliling.
Bukan sekadar berbakat menerusi lakonan, Kimberly juga hebat dalam menyampaikan lagu-lagu rap.
Kongsinya, jiwa anak seni yang perlu sentiasa bersedia untuk menghiburkan khalayak ramai sentiasa mengalir dalam dirinya. Biarpun dia secara peribadinya sentiasa menadah tangan dengan luas andai kata sudah tertulis rezekinya menceburi bidang baharu seperti muzik termasuklah genre rap; buat masa ini Kimberly selesa memahat nama sebagai seorang pelakon yang disegani terlebih dahulu
Benar, dunia digital dan media sosial membolehkan bakat-bakat baharu mengorak langkah ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan. Kendatipun, itu bukanlah cabaran utama Kimberly dalam melebarkan sayapnya lebih tinggi dalam arena seni tanah air, malah dia tetap positif dan percaya kepada rezeki.
“Kali pertama saya menjejakkan kaki dalam industri, matlamat saya hanya satu iaitu untuk melihat sejauh mana saya boleh teroka. Kita semua pun tidak tahu rezeki seluas mana dalam sesuatu bidang. Jadi mulai saat ini, saya akan terus berusaha agar mampu mencapai ke aras yang lebih tinggi.
“Saya turut berharap usaha yang saya semai bagi tahun-tahun berikutnya akan membuahkan hasilnya,” katanya sebagai penutup kalam.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setelah sekian lama berteka-teki, akhirnya Resorts World Genting (RWG) milik Genting Malaysia Bhd hari ini mengumumkan bahawa taman tema luar terbaharunya, Genting Skyworlds dijangka siap dan dibuka kepada orang awam pada suku kedua tahun ini.
Dalam sidang media yang dianjurkan secara virtual tengah hari tadi, RWG berkongsi bahawa mereka telah membelanjakan lebih $USD800 juta ($USD1 = RM4.04) pada taman tema tersebut dan mereka percaya ia akan menarik ramai pengunjung dari sekitar rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun, kata Naib Presiden Eksekutif RWG Leisure and Hospitality iaitu Datuk Edward Holloway, Genting Skyworlds akan memberi tumpuan untuk menarik pelancong domestik terlebih dahulu sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dan perjalanan di antara negeri dibenarkan.
Jadi, korang bolehlah jangkakan beberapa promosi yang akan ditawarkan kepada pelancong dalam negara untuk tempoh enam bulan hingga satu tahun ini selepas ia dibuka kepada orang ramai.
Sebaik saja sempadan dibuka semula, mereka menjangkakan ketibaan pengunjung dari negara jiran seperti Singapura, Vietnam, Hong Kong dan China.
Logo baharu Genting Skyworlds yang dilancarkan pada hari ini. Foto: Resorts World Genting
Genting SkyWorlds juga akan menggabungkan jenama dan harta intelek 20th Century Fox melalui kerjasama strategik antara Genting Malaysia dan 20th Century Fox.
Wah, mesti gempak kan. Tak sabar nak tunggu suku kedua 2021.
Tapi, jangan nanti berpusu-pusu pula korang naik ke Genting Highland. Berlibur tak salah asalkan jaga SOP, okay?
Sementara tunggu, jom layan dulu video teaser animasi Genting Skyworlds di bawah.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jenama kasut dan aksesori gaya hidup yang tidak asing lagi, LARRIE menghangatkan suasana di Pickle Space USJ dengan sebuah acara penuh gaya iaitu Pickleball LARRIE bersama Remaja!
Berlangsung pada 24 April dari jam 2 hingga 5 petang, acara ini bukan saja memperkenalkan koleksi terbaharu LARRIE, tetapi turut menjadi sesi pertemuan 19 wajah kacak dan jelita dari kalangan bekas Hero dan Dewi Remaja yang sememangnya dekat di hati peminat.
Antara nama-nama yang menyerikan acara ini termasuklah pelakon-pelakon popular seperti Imran Aqil, Safwan Nazri, Harris Annuar, Nabil Aqil, Kimberly Chuah, Nurel Baharin, Alyssa Azmi, Syamira Nazir, Azim Yusof, Zaid Erakad (Akad), Aryan Naim, Farhan Nordin, Razin Qidran, Aiman Ameer, Reezlyn Shafeera, Bee Aishah, Amira Rafiq dan Eiman Wan Zul. Memang meriah habis!
Pengurus Pemasaran Larrie Malaysia, Lenson Chong berkata, pihaknya berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan majalah Remaja dalam penganjuran acara sukan santai tersebut.
“We are super excited for this event kerana berpeluang berkolaborasi dengan Remaja dan kami rasa sangat bertuah dengan peluang ini,” katanya.
Pengarah Pemasaran Larrie Malaysia, Lenson Chong.
Tambah beliau, acara itu memberikan peluang bukan sahaja untuk bermain pickleball, malah mendekatkan hubungan antara pihak Larrie dan barisan bekas finalis Hero serta Dewi Remaja yang turut hadir.
Lenson turut berkongsi bahawa produk keluaran Larrie amat sesuai untuk golongan muda kerana sifatnya yang ringan dan versatil.
“Bagi saya, produk yang dihasilkan jenama Larrie sangat sesuai dengan golongan remaja kerana material yang digunakan ringan sesuai digayakan ketika melancong mahupun bersukan,” tambahnya.
Fesyen, Fun & Pickleball, Gabungan Padu!
Dengan tema sukan pickleball yang sedang hangat di Malaysia, acara ini memberi peluang kepada para selebriti muda untuk bersantai sambil menyaksikan inovasi terkini LARRIE dalam dunia fesyen gaya hidup aktif.
Para Hero dan Dewi Remaja disajikan dengan pengalaman interaktif termasuk sesi mencuba kasut, memilih dua tampalan eksklusif menerusi kempen Patch Your Style, serta menerima beg cenderamata khas daripada jenama ini. Serius, memang happening!
Apa Yang Baru Dengan LARRIE?
Antara highlight utama yang dipersembahkan termasuk:
Pelancaran koleksi pakaian dalam lelaki LARRIE.buat julung kalinya! Trunks bernafas ini tampil dalam dua rekaan moden, dua warna menarik dan lima saiz standard. Harga pun mesra poket, antara RM29.90 hingga RM39.90 sahaja.
Selain itu, kasut sporty lelaki dan wanita dengan sentuhan moden serta tona klasik seperti hitam, kelabu dan navy yang sesuai untuk mereka yang aktif dan bergaya santai.
Insole G-Tech baharu untuk wanita, yang hadir dengan teknologi 3-Point Rebound untuk keselesaan, sokongan, penyerapan hentakan, dan perlindungan antibakteria. Malah ia membantu meningkatkan peredaran darah juga!
Koleksi beg wanita yang ringan, praktikal dan penuh gaya yang direka khas untuk gaya hidup aktif dengan warna musim panas yang segar dan harga bermula daripada RM99.00 hingga RM129.00.
Sebagai bonus eksklusif, LARRIE turut memperkenalkan kempen Patch Your Style. Dengan setiap pembelian minimum RM100, pelanggan boleh memilih dua tampalan sulaman untuk memperibadikan kasut LARRIE mereka. Memang lain daripada yang lain!
Acara Pickleball LARRIE bersama Remaja ini bukan sekadar pelancaran produk biasa, ia merupakan sebuah perayaan gaya hidup, ekspresi diri dan inovasi fesyen.
Mengenali figura si tinggi lampai ini, sememangnya sama sekali tidak mengenali erti penat lelah untuk mengukir nama dalam industri seni.
Mimi Lana, pelakon anggun dan berbakat besar ini yang juga terkenal dengan watak air mata, setiap lakonan yang diberikan pasti dilunaskan dengan sempurna.
Tidak hairanlah, dari hari ke hari pelakon ini acap kali menjadi perhatian pengarah tempatan dan mendapat tempat di hati para penonton dengan lakonan yang ditampilkan di layar skrin.
Bagaikan berbakti semula di tempat lahirnya seorang ‘Mimi Lana’ sebagai anak seni, terbaharu bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu diberi peluang sebagai juri jemputan bagi episod ketujuh Hero Dewi Remaja 2023 iaitu cabaran lakonan.
Berkata kepada Remaja, Mimi menyifatkan kesemua finalis memiliki masa depan yang sangat cerah dalam industri seni tanah air.
“Bagi saya, mereka semua ada masa depan yang sangat cerah. Bukan sahaja datang dengan ‘look’, tetapi mereka datang sekali dengan bakat.
“Paling penting mereka semua ada kesungguhan dan tahu apa yang mereka lakukan dalam program ini. Saya berharap mereka akan terus fokus kerana ini baru sahaja permulaan dan jangan berputus asa.
“Hero Remaja ini bukan semata-mata untuk lakonan sahaja, jadi jika tidak dapat nak teruskan dalam bidang lakonan, ada banyak lagi bidang lain di luar sana. Jadi, pilihlah dengan baik apa yang anda mahu,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama hit Perempuan Itu turut menitipkan pesanan kasih sayang buat peserta yang berjaya ke pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023 sebelum melangkah ke dunia seni yang sebenar.
“Kita semua bermula daripada bawah, jadi kelemahan itu akan diperbaiki apabila mereka fokus, disiplin dan kesungguhan dalam industri ini.
“Seperti yang saya katakan, program ini adalah satu permulaan. Kita memang mula daripada kosong tetapi apa yang paling penting adalah pengetahuan dan tahu apa yang anda nak dalam industri ini.
“Bukan untuk kejar glamor semata-mata, kerana tanggungjawab anda sebagai seorang pelakon adalah lebih daripada itu. Buatlah perkara yang betul dan ke jalan yang betul.
Sempat mengimbas kembali momen di saat dirinya berada di pentas Dewi Remaja, aktres berusia 28 tahun ini mengakui bakat baharu yang berada dalam Hero Dewi ini lebih baik daripada batch yang terdahulu, selain berbangga dengan prestasi mereka.
“Kalau saya boleh imbas semula semula, batch mereka ini adalah lebih baik daripada kami yang dulu. Mungkin mereka sudah tahu platform Hero Dewi Remaja ini untuk apa, jadi mereka sudah lakukan persediaan. Saya sangat berbangga dengan mereka.
“Perkara itu kita tidak boleh elakkan, tetapi finalis dalam ini perlu buktikanlah yang anda berada di sini untuk apa.
“Ambil juga peluang untuk belajar dengan senior yang ada dalam industri ini, itu adalah penting juga. Sentiasa hormat orang sekeliling dan rendah diri,” tuturnya lagi.
Siapakah yang bakal meneruskan legasi HERO REMAJA dan DEWI REMAJA yang disandang oleh juara-juara terdahulu? Sama-sama kita nantikan pada Jumaat hadapan!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
“Ini bukan pengakhiran tetapi ia adalah permulaan untuk perjalanan seni saya.”Begitulah pandangan peserta pertandingan realiti nyanyian, Big Stage Alpha (BSA) iaitu Ashmirul yang baru-baru...