“Kesempurnaan Memerlukan Praktik, Bukan Sekadar Teori..” Kebolehan Berbahasa Melayu Jadikan Kimberly Chuah UNIK – Isu Digital Ogos 2023

Share

Sudah tangan bertuah, mumbang ditanam tumbuh juga.

Ya, itulah pepatah yang sesuai bagi pemilik nama penuh Kimberly Chuah Ching Li; anak seni tempatan berbangsa Cina yang kian meningkat naik dalam industri seni hiburan. Berbekalkan minat, potensi dan semangat yang dimiliknya, tidak keterlaluan jika kami ramalkan Kimberly bakal berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan pelakon muda berkaliber yang kini mewarnai industri.

Bertatih perlahan-lahan, kehadirannya semakin dirasai langkah demi langkah selepas menamatkan perjalanannya dalam program pencarian Dewi Remaja 2022 pada kedudukan tempat ketiga. REMAJA raikan Kimberly Chuah sebagai salah seorang personaliti pilihan kempen Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023.

penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks FATH ABU BAKAR jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan AYANG KAMELL persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR

 

Kefasihan Kimberly dalam berbahasa Melayu boleh dikatakan merupakan salah satu keunikan dominan yang ada padanya sekali gus menjadi ‘punca’ rezeki buat Kimberly terus menyemai nama menerusi naskhah yang ditonton rata-rata oleh penonton berbangsa Melayu.

Menurut Kimberly, sejak kecil lagi dirinya sudah dibesarkan untuk fasih berbahasa Melayu dan secara tidak langsung dirinya sudah sinonim dengan persekitaran berbilang kaum. Kebolehan ini menjadi satu titik tolak untuknya terus memahat nama menerusi siri drama dan telefilem bersama pemain industri tempatan terkenal.

“Boleh dikatakan tiada masalah langsung kerana saya fasih berbahasa Melayu sejak kecil. Saya pula bersekolah kebangsaan di mana saya sudah biasa bergaul dengan semua kaum.

“Dulu tidak ramai (pelakon berbangsa Cina yang aktif memasuki industri seni berbahasa Melayu) tetapi kini semakin ramai pelakon bukan Melayu yang muncul. Jujurnya, kebolehan berbahasa Melayu ini adalah keunikan dan kelebihan bagi kami (selebriti berbangsa Cina di Malaysia). Bak kata orang, practice makes perfect. Kesempurnaan memerlukan kita untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Jika sekadar teori sahaja yang mengisi ruang minda tanpa mempraktikkan bahasa kebangsaan kita, sayang sekali.

“Oleh itu, saya menganggap kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai keunikan serta kekuatan pada diri. Bahkan, saya bangga apabila terus-menerus diberikan peluang berlakon dalam drama Melayu,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.

Selain memainkan watak di depan kamera, siapa sangka Kimberly juga mempunyai bakat terpendam dan mampu melontarkan bait-bait lagu rap secara lancar dalam bahasa Melayu! Pernah suatu ketika sewaktu mengikuti uji bakat pencarian Dewi Remaja 2022 di Pulau Pinang, klip pendek yang dimuat naik oleh REMAJA bertukar tular apabila warganet terpegun dengan caranya mempersembahkan lagu bergenre rap.

Menurut Kimberly, bakat terpendam ini mungkin sekali diasah sewaktu di bangku sekolah apabila dia seringkali menyertai aktiviti di luar bilik darjah seperti berdebat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak Kisah Dilaber Kolot, Cikgu Tari Tular Farees Asri Pertahankan Seni Budaya Menerusi Lensa Media Sosial

 

Kitalah Pengganti

Disoal apa yang difahaminya mengenai erti Saya #RemajaMalaysia bersempena kempen REMAJA yang sudahpun memasuki edisi kelimanya tahun ini, penulis amat tertarik dengan huraian milik Kimberly. Tentunya setiap orang mempunyai interpretasi berbeza di ruang fikiran masing-masing.

Bagi Kimberly yang mengambil berat soal pelapis yang bakal menggantikan tokoh-tokoh ternama di Malaysia dewasa kini, dia menyifatkan Remaja Malaysia adalah golongan yang bakal memberi idea bernas dalam memperjuang setiap pelbagai perkara mengikut peredaran zaman.

“Remaja adalah tonggak dan pelapis negara. Saya harus tekankan bahawa generasi maa kini wajar melatih diri untuk memperbaiki skil dan cara pemikiran agar mereka terus bangkit demi negara tercinta. Sekiranya ada yang musykil siapakah bakal menggantikan tempat duduk panas bagi memimpin negara, jawapannya adalah kita semua yang masih muda.

“Bukan bermakna jasa tokoh-tokoh negara sudah dilupakan tetapi saya percaya negara memerlukan idea dan generasi baharu untuk memperjuangkan setiap perkara yang baharu,” ujarnya lagi.

 

‘Minat muzik, tapi impian terbesar adalah berlakon’

Mengenali gadis ini sejak dia melangkah masuk ke pencarian Dewi Remaja 2022, Kimberly sama sekali tidak pernah gagal untuk melontarkan senyuman manisnya saat bertemu. Tidak pernah mendongak ke langit jadi rahsia dirinya disenangi orang di sekeliling.

Bukan sekadar berbakat menerusi lakonan, Kimberly juga hebat dalam menyampaikan lagu-lagu rap.

Kongsinya, jiwa anak seni yang perlu sentiasa bersedia untuk menghiburkan khalayak ramai sentiasa mengalir dalam dirinya. Biarpun dia secara peribadinya sentiasa menadah tangan dengan luas andai kata sudah tertulis rezekinya menceburi bidang baharu seperti muzik termasuklah genre rap; buat masa ini Kimberly selesa memahat nama sebagai seorang pelakon yang disegani terlebih dahulu

Benar, dunia digital dan media sosial membolehkan bakat-bakat baharu mengorak langkah ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan. Kendatipun, itu bukanlah cabaran utama Kimberly dalam melebarkan sayapnya lebih tinggi dalam arena seni tanah air, malah dia tetap positif dan percaya kepada rezeki.

“Kali pertama saya menjejakkan kaki dalam industri, matlamat saya hanya satu iaitu untuk melihat sejauh mana saya boleh teroka. Kita semua pun tidak tahu rezeki seluas mana dalam sesuatu bidang. Jadi mulai saat ini, saya akan terus berusaha agar mampu mencapai ke aras yang lebih tinggi.

“Saya turut berharap usaha yang saya semai bagi tahun-tahun berikutnya akan membuahkan hasilnya,” katanya sebagai penutup kalam.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath