Semalam gempar satu Malaysia apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lalu, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan di sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.
Terkini, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad terpanggil untuk menjelaskan isu yang menggemparkan satu Malaysia ini. Hal ini kerana anak sebenar itu mempunyai hak untuk mendapatkan sumber pusaka yang ditinggalkan oleh bapa kandungnya yang sudah meninggal dunia.
“Memang (wajib) seseorang itu dibin atau dibintikan kepada bapa sebenar, tidak boleh dibinti atau bin kepada bapa angkat, haram kalau dengan sengaja. Dalam kes ini ia ‘tersilap’, jadi apabila tersilap, insya-Allah Tuhan ampunkan.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata tidak menjadi kesalahan untuk anak yang tertukar itu terus tinggal bersama keluarga yang memeliharanya selama ini kerana dia dianggap anak sebenar kerana telah menyusu daripada ibu keluarga berkenaan.
Hukum aurat adik-beradik susuan
Sehubungan itu, dari aspek hukum aurat adik-beradik susuan adalah sama dengan hukum aurat adik-beradik seibu sebapa, katanya.
Mengenai wali dalam pernikahan pula, merujuk kepada kes ini yang kedua-duanya sudah kehilangan bapa kandung, Mohamad Shukri menjelaskan pengganti wali yang terdekat ialah abang atau adik-beradik lelaki kandung.
“Meskipun (Adryana Iwani) sudah tinggal bersama keluarga angkat, wali pernikahan itu mesti ikut binti bapa yang sebenar, wali asal.
“Andai kata sudah nikah berwalikan bapa angkat atau adik-beradik angkat, tidak jatuh hukum zina, tapi dia mesti angkat lafaz nikah baharu dengan wali asal selepas diketahui hal sebenar,” katanya.
Bagaimanapun dalam kes ini, kejadian itu baru disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20 dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, pada September tahun lalu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan selepas Adryani Iwani berada di tingkatan empat sewaktu mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain yang mendakwa mukanya seiras dengan rakan sekolah mereka, Noratirah. Kesemua yang terlibat masih belum mendirikan rumah tangga.
Sumber : Astro Awani