Jujurnya, berita ini mengejutkan kami di REMAJA.
Secara realistiknya, sudah tentu kita tidak beranggapan tiada pergaduhan yang berlaku dalam mana-mana kumpulan. Sedangkan kita dan adik-beradik yang merupakan darah daging sendiri pun boleh bertekak, inikan lagi kumpulan yang dianggotai oleh ahli berlainan latar belakang.
Namun, apabila salah seorang anggota kumpulan K-pop AOA iaitu Mina mendakwa dirinya telah menjadi mangsa buli dalam kumpulannya sendiri selama 10 tahun, kami tak nafikan bahawa berita ini adalah sesuatu yang tidak kami sangkakan.
Sepanjang hujung minggu lalu, Mina, 26 memuat naik satu-persatu posting di akaun Instagram miliknya dan menuduh ketua kumpulan AOA iaitu Jimin, 29 telah membulinya sepanjang 10 tahun yang lalu dan pernah mengakibatkan isu tekanan mental yang teruk terhadapnya.
Mina tidak lagi gentar untuk berkongsi imej lengannya yang pernah dikasari oleh dirinya sendiri apabila tidak tahan dengan tekanan tersebut.
Katanya, “Jujurnya, saya tidak mahu meninggalkan AOA. Namun kerana ada seseorang yang bencikan saya, saya dibuli untuk 10 tahun.”
Antara perbuatan buli secara mental yang pernah dilalui oleh Mina adalah dimarahi oleh Jimin sehingga dia gentar untuk pulang bagi pengebumian ayahnya sendiri pada tahun 2014 (akibat kanser pankreas) atas alasan enggan mengganggu jadual promosi grup AOA.
Aigoo!
Selepas tempoh 10 tahun, nampaknya Mina enggan lagi berdiam diri. Suka atau tidak, syarikat label AOA iaitu FNC Entertainment terpaksa tampil ke hadapan untuk menjelaskan keadaan sebenar sekarang.
“Pertama sekali, kami ingin memohon maaf bagi pihak artis kami, Jimin dan kontroversi yang melandanya.
“Jimin telah mengambil keputusan meninggalkan grup AOA dan bersara daripada industri hiburan.
“Sebagai agensi, kami berasa bertanggungjawab terhadap situasi ini. Kami akan bekerja lebih keras untuk memastikan pengurusan yang lebih baik untuk artis-artis kami. Sekali lagi, kami memohon maaf kerana membuatkan peminat risau,” kata mereka.
Menurut laporan media di Korea Selatan lagi, grup AOA dan bekas ketuanya, Jimin telah bertemu sesama sendiri serta bersama pengurus mereka untuk membincangkan situasi semasa di kediaman Jimin.
Kata Mina menerusi perkongsian di Instagram, perjumpaan itu amatlah awkward. Jimin memberitahu Mina bahawa dia tidak ingat membuli juniornya itu. Mina tidak mahu berdiam diri dan terus menjelaskan apa yang telah mengganggu hidupnya disebabkan perbuatan buli tersebut.
Jimin akhirnya memohon maaf menerusi Instagram-nya pada hari itu juga dan mengakui stail kepimpinan sebagai seorang ketua grup telah menjadikannya seorang yang kurang prihatin.
“Saya minta maaf di atas kontroversi dan penulisan saya yang tidak menjaga hati.
“Paling utama, saya meminta maaf kepada Mina dan ahli grup yang telah bekerja keras untuk situasi kami berdua ini,” catatnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 9 Selebriti Kpop Lakukan Any Song Challenge
Disebabkan kontroversi memalukan ini, FNC Entertainment serta-merta mengumumkan bahawa AOA yang kini tinggal 5 ahli tidak akan menyertai acara ‘Wonder Woman Festival 2020’ yang dijadualkan berlangsung pada 26 September kelak di Sungai Han di Seoul.
Haihh, ingatkan kontroversi yang melanda selebriti K-pop sudah berakhir pada tahun 2019. Rupanya berlangsung lagi sampai ke hari ini!