Khairul Aming, seorang usahawan dan pencipta kandungan terkenal di Malaysia, sering menjadi inspirasi ramai dengan prinsip dan nilai murninya dalam menjalankan perniagaan. Di sebalik popularitinya, figura ini juga menekankan kepentingan keberkatan dan kejujuran, khususnya apabila memilih produk untuk dipromosikan sangat utama.
ARTIKEL BERKAITAN : Khairul Aming & Pinn Yang ‘Terbang’ Ke China Untuk Belajar ‘Live Streaming E-Commerce’, Mahu Kembangkan Perniagaan Atas Talian Di Malaysia
Komitmen Terhadap Kualiti
Baru-baru ini, seorang individu berkesempatan berjumpa dengan pemuda berusia 32 tahun itu untuk bertanyakan nasihat tentang perniagaan.
Namun begitu, jawapan yang diberikan oleh pengasa Sambal Nyet dalam video di Tiktok Hasya Hassan itu sememangnya bertepatan soal rezeki dan jujur dalam perniagaan.
Kata beliau, sesetengah produk makanan yang dihantar dan tidak menepati cita rasanya tidak akan dimuat naik.
“Ramai orang hantar makanan minta review, tetapi ada yang saya tak review sebab memang tak sedap. Ia melibatkan duit orang.
“Kadang-kadang kita lupa pasal keberkatan usaha kita. Semua orang sibuk nak doa, betul ianya bagus tetapi kalau kita doa sahaja tapi cara kita berusaha itu tak ada keberkatan tak boleh juga,” katanya.
Khairul Aming percaya bahawa tanggungjawab sebagai pempengaruh bukan sekadar untuk mengiklankan produk, tetapi juga memastikan produk tersebut memberi manfaat kepada pengguna. Dengan popularitinya, beliau sedar bahawa setiap produk yang dipromosikan boleh memberi impak besar terhadap keputusan pembelian ramai pengikutnya. Oleh itu, beliau meletakkan tapisan ketat terhadap produk yang ingin bekerjasama dengannya.
Keberkatan Sebagai Keutamaan
Salah satu prinsip utama Khairul Aming ialah memastikan keberkatan dalam setiap langkah perniagaannya. Beliau menyatakan bahawa keberkatan lebih penting daripada keuntungan semata-mata. Sikap ini terbukti apabila beliau menolak beberapa tawaran lumayan yang melibatkan produk tidak berkualiti atau meragukan.
Keberkatan dalam perniagaan bukan sahaja membantu menjaga reputasi jangka panjang, tetapi juga memberi ketenangan hati kepada beliau sebagai seorang usahawan. Baginya, setiap sen yang diperoleh perlu datang daripada sumber yang halal dan tidak menindas pengguna.
Menjadi Contoh Kepada Pempengaruh Lain
Pendekatan Khairul Aming yang mementingkan kualiti dan keberkatan ini menjadikannya role model dalam kalangan pempengaruh lain. Di era di mana promosi produk menjadi sumber pendapatan utama bagi ramai pencipta kandungan, langkah beliau menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk berjaya tanpa mengorbankan integriti.
Dalam pada itu, Khairul Aming turut menjelaskan sifat segelintir individu yang hanya berdoa untuk mendapatkan keuntungan. Namun pada masa sama, mengabaikan kebajikan orang yang menyokong mereka.
“Sebagai contoh kita amalkan doa nak untung juta-juta, tetapi dalam berniaga kita tipu orang, menzalimi staf, tak bayar duit orang, kita curi hak orang ataupun khianat.
“Saya akan memilih produk dan ramai juga yang saya ‘reject’ sebab memang tak sedap, saya perlu jujur.
“Orang ramai berkata, ‘murahnya rezeki Khairul Aming, apa amalannya?’
“Tapi sebenarnya bagi saya ia tidaklah terlalu suka, cuma kita jangan terlepas pandang dengan perkara yang penting iaitu menjaga keberkatan dalam mencari rezeki,” jelas beliau lagi.
Keberanian Khairul Aming untuk menapis promosi barang tidak berkualiti dan mementingkan keberkatan patut dijadikan teladan, bukan sahaja oleh pempengaruh, tetapi juga oleh usahawan lain. Dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar, prinsip ini mampu menjadi panduan untuk mencapai kejayaan yang mampan dan diberkati.
Sumber :Tiktok Hasya Hassan
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.