Minat anak muda terhadap permainan video khususnya Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) bukanlah baru. Malah dapat dilihat rata-rata tanpa mengira usia cukup leka bermain permainan video ini termasuklah di kalangan pelajar universiti.
Menyedari minat anak muda dalam permainan ini, pengendali syarikat telekomunikasi baru, Yoodo mengumumkan kejohanan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG Mobile) Campus Championship 2019 untuk pertama kalinya bagi pelajar-pelajar di universiti.
Menjalin kerjasama dengan Tencent Games dan ESL, kejohanan di peringkat universiti ini menjanjikan hadiah wang tunai sebanyak RM60,000 dan bertarung mendapatkan Chicken Dinner kepada lebih 6000 pelajar universiti dan juga kolej di seluruh Malaysia. Tidak hanya wang tunai sebanyak itu, pemenang akan menerima pelan telco percuma selama setahun dari Yoodo dan menerima jemputan terus ke Grand Final Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile (PMNC) 2020.
Menurut Chow Tuck Mun yang juga ketua Yoodo, matlamat mereka dalam industri e-sukan ini adalah untuk menggilap dan mencari bakat-bakat baru tempatan. Ia satu permulaan untuk pencarian bakat di kalangan pelajar yang berbakat besar di peringkat akar umbi.
“Kami tahu terdapat ramai gamer yang berbakat dan bakat mereka perlu dicungkil. Kami sendiri tidak sabar menyertai kejohanan ini,”katanya memaklumkan PUBG Mobile Campus ini akan bermula pada 24 September dengan tujuh pusingan kelayakan di serata Malaysia. Kejohanan akhir akan diadakan pada 24 November 2019 akan datang.
Bagi menghangatkan lagi pertandingan ini, peminat PUBG Mobile boleh menyaksikan kejohanan ini di viewing parties yang diadakan dengan kerjasama universiti berkaitan dan pelajar-pelajar. Ada pelbagai aktiviti dilakukan termasuk promo kejohanan, barangan eksklusif dan pertarungan antara pemain professional selama 28 hari di 14 buah universiti terpilih.
Untuk info lanjut, layari www.facebook.com/yoodoesports ataupun laman rasmi www.yoodo.com.my/pmcc2019