Khidmat Unit Anjing K9 Kembali Ditagih, Kali Ini Di Wisma Jakel Terbakar

Share

Dua insiden kebakaran berasingan yang menimpa bangunan Wisma Jakel di Shah Alam baru-baru ini telah mengejutkan ramai pihak.

Bangunan setinggi tiga tingkat itu mengalami kebakaran pertama pada hari Ahad sekitar jam 7.08 pagi. Dianggarkan, syarikat tektil itu telah mengalami kerugian yang dianggarkan hampir RM100 juta.

Hanya selang dua hari, kebakaran kedua pula berlaku pada tengah malam Selasa membabitkan bilik simpanan kain langsir kira-kira pada jam 12.40 pagi.

Insiden kedua ini sekaligus menimbulkan lebih banyak persoalan hinggakan beberapa teori spekulasi mula bertebaran di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Selang Dua Hari, Bilik Simpanan Kain Langsir Wisma Jakel Pula Terbakar – REMAJA

Demi mempercepatkan siasatan agar punca kejadian dapat dikenal pasti, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor telah menggerakkan 43 orang pegawai dan anggota selain khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba.

Anjing unit K9 bernama Sam (kiri) dan Rusty tiba di Wisma Jakel dekat Seksyen 7, Shah Alam bagi membantu siasatan.

Kata Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis ketika ditemui pemberita hari ini, pihaknya sedang menyiasat kejadian kali kedua ini dari pelbagai sudut termasuklah jenayah.

“Kita akan kaji secara mendalam. Tiada lagi kesimpulan mengenai kebakaran kedua ini. Kita akan siasat dalam tempoh 14 hari dan sampel kebakaran perlu dianalisa.

“Semua kita akan analisa dari mana api bermula,” ulasnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor iaitu Norizham Mohd Nurdin pula berkata, kehadiran unit K9  adalah sesuatu yang biasa dalam siasatan forensik kebakaran.

Malah, ia juga merupakan salah satu prosedur penyiasatan yang diperlukan untuk membantu mencungkil punca kejadian.

Bagi insiden di Wisma Jakel ini, dua ekor anjing dari baka English Springer Spaniel telah digerakkan. Cuma, baka kali ini berlainan dengan anjing yang digunakan dalam insiden tanah runtuh di lokasi perkhemahan Father’s Organic Farm tempoh hari.

Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba bersama anjing bernama Rusty.

Pasangan anjing bernama Rusty dan Sam ini mempunyai kepakaran dalam menyiasat kebakaran di mana seekor akan mencari unsur punca dan seekor lagi akan melakukan pengesahan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kehadiran unit K9 di lokasi kejadian tidak semestinya bermaksud ada unsur jenayah atau sengaja dibakar yang dikenal pasti. Sebaliknya, ia hanyalah satu ketetapan mereka bagi memastikan bahawa unit K9 dipanggil untuk melihat kepada segala kemungkinan.

BACA LAGI: [VIDEO] Comelnya! ‘Hero-Hero’ Batang Kali Dapat Layanan Spa Selepas Operasi Mencari & Menyelamat – REMAJA

Selain dibantu unit K9 dan kepakaran anggota serta pegawai Bomba, beliau turut menyeru agar orang ramai yang menjadi saksi kejadian untuk tampil memberi kerjasama.

SUMBER: (1) (2)

FOTO: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ