
Terbaru, menjelang lawatan negara oleh Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dari 15 hingga 17 April ini bandar Putrajaya telah dihiasi dengan kibaran bendera China dan Jalur Gemilang di sepanjang laluan utama telah menarik perhatian segelintir masyarakat terutama warga internet.
Walaupun ramai sedia maklum bahawa langkah ini adalah amalan biasa dalam protokol diplomatik antarabangsa bagi menyambut ketibaan pemimpin tertinggi negara asing. Namun, masih wujud beberapa individu mempersoal dan menyuarakan pandangan berbeza di media sosial mengapa bendera negara China dikibarkan di Putrajaya disebabkan propaganda politik.

Mengapa Bendera China Berkibar di Putrajaya?
Kibaran bendera China di sekitar Putrajaya bermula pada hari ini sehingga 17 April merupakan simbol penghormatan dan sambutan rasmi terhadap lawatan Presiden Xi Jinping. Selain itu, ia juga adalah penghargaan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Lawatan ini dibuat atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan bertujuan untuk memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 31 Mei 1974.
Pada tahun lalu, kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka dan telah menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif .

Dalam pada itu, selain China, Malaysia juga mempunyai amalan diplomatik sama apabila menerima kunjungan rasmi pemimpin negara asing lain. Contohnya, semasa lawatan rasmi oleh Presiden Indonesia, Perdana Menteri Jepun, dan Raja Arab Saudi sebelum ini, bendera negara-negara terbabit turut dikibarkan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan sekitar lokasi acara rasmi.
Pada masa yang sama, amalan mengibarkan bendera negara tetamu bukan sahaja dilakukan di Malaysia, malah turut diamalkan oleh negara-negara lain apabila menerima kunjungan rasmi pemimpin Malaysia ke luar negara.
Ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke China, Indonesia, atau Arab Saudi, bendera Jalur Gemilang juga akan dikibarkan di lapangan terbang, jalan-jalan utama dan lokasi rasmi sebagai tanda penghormatan dan sambutan negara tuan rumah.

Tindakan ini merupakan sebahagian daripada protokol kebangsaan yang bertujuan menunjukkan penghormatan serta memupuk hubungan mesra dua hala antara Malaysia dengan negara-negara berkenaan serta mencerminkan semangat keterbukaan dan persahabatan dalam hubungan antarabangsa Malaysia.
Sekadar info, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah dagangan bernilai RM484.12 bilion pada tahun 2024, menyumbang 16.8% daripada nilai perdagangan global Malaysia.
Lawatan Presiden Xi Jinping ini bukan sahaja dijangka memperkukuh lagi kerjasama ekonomi, pelaburan, dan perdagangan tetapi juga menandakan komitmen kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama strategik di rantau Asia Tenggara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.