Kilang Honda Civic Dan Accord Di Jepun Tutup. Beralih Kepada Kenderaan Elektrik

Share

 

Jujurnya, berita penutupan salah sebuah kilang utama syarikat kenderaan terkemuka Jepun, HONDA di Sayama, Wilayah Saitama pada penghujung tahun lalu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ini kerana sebelum ini, Honda pernah mengumumkan syarikat itu akan beralih kepada penghasilan kenderaan jenis elektrik menjelang 2040 dan peralihan ini tentunya melibatkan banyak penstrukturan semula.

ARTIKEL BERKAITAN : Masuk Kategori Kereta ‘Rare’, Tiada Lagi Honda Jazz Di Malaysia Lepas Ini

Foto Via Berita Harian

Menurut laporan Nikkei, sebuah acara penutupan ringkas telahpun berlangsung di fasiliti tersebut pada 27 Disember 2021 sebagai tanda pengakhiran operasi pemasangan di kilang bersejarah itu.

Dalam pada itu, kilang tersebut masih meneruskan operasi memasang dan penghasilan alat ganti bagi model Honda Civic, Honda Accord, Honda Step WGN dan Honda Odyssey sahaja sebelum ia ditutup sepenuhnya dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.

Setelah itu, operasi kilang ini akan dipindahkan ke fasiliti Yorii yang juga terletak di Saitama, Jepun dalam usaha mengurangkan kos tetap dan meningkatkan kadar operasi semasa.

Jika dibandingkan dengan jenama automotif rakan senegara iaitu Toyota Motor, mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengurangkan kapasiti produksi di Jepun yang dimaklumkan boleh melebihi lebih 3 juta unit setahun. Begitu juga dengan produksi sebuah lagi jenama terkenal Jepun, Nissan Motor yang menghasilkan kira-kira 1.34 juta unit setahun.

Mengapa agaknya Honda pula yang mengecilkan skala penghasilan unit mereka?

Salah satu faktor di sebalik pembuatan berskala kecil Honda di Jepun adalah kerana produk Honda dalam pasaran Jepun sebenarnya membentuk peratusan kecil daripada jumlah jualan global jika dibandingkan dengan pesaingnya iaitu Toyota Motor dan Nissan Motor.

Jadi, perubahan ini boleh dianggap sebagai satu strategi Honda untuk bersaing dan mengekalkan momentum mereka di pasaran tempatan Jepun dan antarabangsa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Nana