Sekali imbas posternya mungkin ramai beranggapan bahawa Killing Gunther merupakan sebuah filem aksi. Sebenarnya, kamu tak salah kerana masih ada elemen aksi turut diselitkan di dalam filem arahan Taram Killam, pelakon komedi yang mucul dari program SNL. Ini merupakan filem pertama arahan Taran Killam, jadi tidak hairanlah sedikit sebanyak filem ini ada kekurangannya.
Jika dilihat di atas kertas, Killing Gunther menjanjikan sebuah kolektif pelakon-pelakon hebat yang terdiri daripada Cobie Smulders, Bobby Moynihan, Hannah Simone, Allison Tolman dan Arnold Schwarzenegger yang memegang watak Gunther. Gabungan hebat ini jika difikirkan mampu menlahirkan sebuah filem komedi yang baik.
Premis Killing Gunther cukup ringkas; Blake seorang pembunuh upahan bersama krewnya ingin mencari dan menghapuskan Gunther yang dipercayai menjadi pembunuh upahan terhebat di dunia. Untuk membuktikan dirinya lebih hebat, Blake harus menyempurnakan misi ini. Dan sepanjang misi ini dijalankan, Blake telah mengupah juru video untuk merakamkan setiap detik misi mereka.
Dan di sinilah kita sebagai penonton melihat rakaman yang dilakukan oleh juru video tersebut. Ia seakan menonton program realiti televisyen yang penuh dengan aksi letupan dan komedi daripada setiap karakter. Jika kamu pernah menonton filem What We Do in the Shadows, itulah corak arahan yang ingin dicapai oleh Taran Killam.
Namun, sayangnya ia tampil dengan banyak kelemahan. Salah satu daripadanya ialah fokus karakter utama yang agak tidak berapa jelas. Karakter-karakter lain juga tidak dikembangkan dengan begitu baik. Kemunculan Arnold Schwarzenegger tidaklah terlalu lama di dalam filem ini. Mingkin ia hanya sebagai gimik.
Walau bagaimanapun, Killing Gunther masih ada elemen komedi yang boleh kita hargai. Walaupun tidak menawarkan plot yang menarik namun kemunculan pelakon-pelakon hebat mungkin mampu mengubati kekecewaan itu.
Killing Gunther kini mula ditayangkan di seluruh negara bermula 2 November 2017.
Rating – 2.5/5
Terengganu Laksana Peraturan Pengasingan Tempat Duduk Lelaki & Wanita Bermula Kelmarin
Jika sebelum ini kita sudah terbiasa menonton wayang bersama kawan-kawan sama ada lelaki atau pun perempuan, korang jangan pula terkejut sekiranya menonton di Terengganu kerana negeri itu telah pun melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula kelmarin.
Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square sudah pun melaksanakan peraturan baru ini mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Pelaksanaan peraturan baru ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh Syariah.
Khabarnya, peraturan ini juga tertakluk kepada individu bukan Islam dan pihak mereka juga bersedia melaksanakan sebarang penambahbaikan bagi membolehkan ia dipatuhi oleh semua pelanggan.
Mungkin ini adalah inisiatif yang terbaik bagi kerajaan Terengganu dan sama-samalah kita menghormati peraturan dan keputusan yang telah dibuat.
Sumber: LFS Cinemas
Pertemuan Mufti Wilayah Bersama JPN, Tertera Muhammad Sajjat BIN Kamaruz Zaman Berjantina LELAKI
Ramai masih membicarakan isu Muhammad Sajjat bin Kamaruz Zaman yang dilihat bertelekung ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci. Di saat ramai membicarakan soal aurat kerana dirinya bersolat di ruang wanita, orang ramai pastinya mahu satu pengesahan adakah jantina sebenar dirinya. Khunsa atau lelaki?
Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut mengadakan pertemuan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menjawap semua persoalan mengenai jantina ahli perniagaan tersebut.
Bacalah penerangan penuh dari Mufti Wilayah Persekutuan ini. Semoga apa yang menimpa Sajjat juga menjadi asbab untuk menjadi pengajaran juga buat kita semua.
INGATAN UNTUK SAJAT DAN SEMUA UMAT ISLAM
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Saya doakan saudara Sajat berada dalam taufiq, hidayah dan ‘afiah sentiasa. Isu ini menjadi hangat sehingga tempiasnya kena juga kepada Mufti Wilayah Persekutuan. Jika dijawab, akan ada yang bertanya, “Kenapa begitu, kenapa tidak begini?”. Jika tidak dijawab, akan ada yang bertanya, “Mengapa berdiam diri?”. Itulah kelazimannya.
Berhubung isu berkaitan Transgender, kami telah mengulasnya dengan panjang lebar dalam beberapa buah artikel di laman web sejak tahun 2015:
1. QALAM MUFTI SIRI KE-29: WASPADA ANCAMAN NORMALISASI LGBT .
2. AL-KAFI SIRI KE-578 : BUDAYA LGBT, HADAPILAH DENGAN ILMU
3. BAYAN LINNAS SIRI KE-5: ISU TRANSGENDER, TASYABBUH ATAU PENYERUPAAN
4. IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-202: HUKUM HAKAM BERKAITAN KHUNSA
Disamping memberikan penjelasan melalui penulisan, saya juga mengadakan lawatan berkala untuk bertemu komuniti Transgender bagi menyampaikan mesej dakwah dan rahmah Islam. Dalam masa yang sama, kami juga tidak lupa untuk menegaskan kewajipan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.
Saya mengambil maklum isu yang sedang berlaku berhubung Sajat pada sebelum, semasa menunaikan umrah di Mekah dan kini di Madinah. Untuk makluman, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) tidak pernah terlibat dalam pengesahan identiti jantina beliau yang diuruskan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2018. Justeru, jika berhubung pengesahan jantina melibatkan pakar perubatan, ianya berada di bawah urusan pihak JAKIM.
Nasihat
Saya nasihatkan seperti berikut:
1. Fahamilah maksud sebenar ibadah umrah.
• Imam al-Nawawi pada awal mukadimah kitabnya menyeru kepada bakal haji dan umrah supaya bertaubat daripada segala maksiat dan segala perkara yang makruh serta berusaha mengislahkan diri. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 48)
• Apakah niat kita menunaikan umrah? Ambil waktu yang sunyi, hening di tengah malam semasa bermunajat kepada Allah SWT untuk bertanya kepada diri kita soalan tersebut. Saya amat pasti, tidak ada yang menunaikan umrah hanya untuk melancong dan berseronok. Umrah adalah pengembaraan rohani seseorang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
2. Fikir terlebih dahulu sebelum bertindak.
Adakah tindakan itu menguntungkan diri, keluarga dan negara atau sebaliknya? Dalam urusan ibadah, kita wajib mengikut syarak, bukannya mengikut hati dan perasaan. Apatah lagi jika seseorang itu dikenali ramai, sudah tentu apa jua bentuk tindakannya akan diperhatikan. Yahya bin Sa’id al-Ansari berkata:
لا تفعل فإنك إمام منظور إليك
Maksudnya: “Jangan berbuat sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu, kerana anda di hadapan mereka yang memerhati anda.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 50/357)
3. Agensi pengelola umrah wajib bertanggungjawab sepenuhnya.
Mereka hendaklah memelihara dan membimbing jemaah supaya mereka mengikut hukum syarak dan undang-undang setempat. Sepatutnya sentiasa memberi panduan dan peringatan kepada jemaah seliaan mereka agar menepati kehendak ibadat itu sendiri.
4. Allah SWT Maha Kuasa
Allah SWT tidak perlu tunduk kepada kehendak sesiapa untuk memberikan dosa atau pahala. Dia boleh melaksanakannya pada bila-bila masa, tempat dan keadaan yang dikehendaki-Nya. Sedikit firman-Nya untuk renungan kita:
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّـهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ وَلَـٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.”
(Surah Fatir: 45)
5. Jujurlah kepada diri sendiri.
Seseorang itu lebih tahu hakikat dirinya. Justeru, jadilah kita sebagai diri kita yang hakiki, bukan dibuat-buat. Allah SWT berfirman:
إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا
Maksudnya: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”
(Surah al-Isra’: 7)
6. Jangan mudah memberi komen.
Hal ini saya tujukan kepada semua termasuk diri ini terutamanya netizen supaya memahami latarbelakang isu terlebih dahulu disamping meraikan adab, tabayyun (selidik) dan uslub (gaya) dakwah yang akan memberi banyak kesan samada positif atau negatif. Gunakan bahasa yang baik atau teguran yang membina. Budayakan dan amalkan prinsip al-din al-nasihah (agama itu adalah nasihat) mengikut kehendak Nabi SAW.
Pendirian (Mauqif) Dalam Isu Jantina
Atas rasa amanah dan tanggungjawab, PMWP mengambil inisiatif untuk bertemu pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 3 Februari 2020 bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap beliau yang tersebar di media sosial.
Berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman. Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.
Sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Muhammad Sajjad bagi membuktikan bahawa beliau adalah wanita. Berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil. 9/2007 perenggan 5.7.1., pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah. Dokumen yang diperlukan adalah:
• Perintah mahkamah yang mengandungi butir-butir pengisytiharan jantina baru pemohon.
• Surat pengesahan doktor kerajaan (jika ada)
• Surat pengesahan pembedahan penukaran jantina yang dikeluarkan oleh hospital berkenaan
• Sijil lahir (asal dan salinan)
Sila rujuk keputusan Nanthan Balan Tan vs Jabatan Pendaftaran Negara.
Terdapat kaedah fiqh yang masyhur menyatakan:
نحن نَحْكُم بالظواهر والله يتولى السرائر
Maksudnya: “Kita menghukum berdasarkan apa yang terzahir, dan Allah menguruskan apa yang tersembunyi.”
Selain itu, saya juga berpegang dengan kaedah berikut:
الأصل بقاء ما كان على ما كان
Maksudnya: “Asal kepada sesuatu perkara kekal seperti sebelumnya”
Maka, pendirian PMWP berkenaan jantina beliau adalah berdasarkan apa yang tertera dalam daftar kad pengenalannya dan sijil kelahirannya. Justeru, segala hukum hakam ibadat hendaklah diikut secara lelaki.
Hukum Umrah Transgender
Saya nyatakan seperti berikut:
• Wajib bagi seorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya. Walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukun umrah, perbuatannya tetap haram dan dikira berdosa. Malah, dia boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah. Masalah ini disebut oleh para fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian).
• Ini juga bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke 28 Musim Haji 1433H pada kertas kerja bertajuk Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji.
Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semulajadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya. Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Qur’an dan Hadith untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki.
Hormatilah Negara dan Undang-Undang Kita
Seluruh dunia Islam menghormati Malaysia kerana pengurusan haji dan umrah yang amat sistematik. Imej Malaysia sebagai negara yang disegani dari sudut pengurusan haji dan umrah perlulah terus dipelihara. Sebarang tindakan yang dilakukan oleh jemaah haji dan umrah, boleh memberi impak kepada hubungan baik dan kerjasama Malaysia – Arab Saudi. Oleh itu, jangan sesekali menyebabkan tercetusnya sangkaan yang buruk kepada Malaysia.
Peruntukan undang-undang syariah berhubung kesalahan wanita menyerupai lelaki (pengkid) dan hukum lelaki menyerupai perempuan (pondan dan mak nyah) telah sedia diperuntukkan di dalam akta dan enakmen negeri-negeri. Maka, menjadi tanggungjawab pihak berautoriti untuk melaksanakannya dengan penuh amanah, berhemah dan bijaksana.
Ambillah Peluang
Sementara saudara Muhammad Sajjad berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya syorkan agar zahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh disamping mengisi masa dengan acara-acara ibadat seperti berikut:
• Banyakkan bertaubat dan beristighfar
• Banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW
• Banyakkan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi
Saya doakan semoga Allah SWT kurniakan kebaikan, taufiq dan hidayah kepada saudara Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman dan jadikanlah umrah kali ini sebagai satu titik perubahan dalam kehidupaan anda, amin. Bak kata HAMKA, “Hidup hanya sekali, justeru biarlah bererti.”
Saya akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه
Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.
Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Jabatan Perdana Menteri
Remaja Rai Hari Jadi Cara Unik, “Sedekah Masa” Kutip Sampah Tepi Jalan Selama 23 Hari
Kita sering lihat orang meraikan dengan pelbagai cara. Ada disambut dengan sebiji kek, dikelilingi kawan-kawan atau keluarga. Ada memilih merai di rumah dan ada juga di luar. Apa pun cara ia sebagai tanda kita meraikan hari jadi yang datang setahun sekali. Namun pendekatan remaja ini begitu berbeza kerana dia menyedekahkan masanya selama 23 untuk mengutip sampah di sekitar Bangi, Kajang dan akan datang ke Balakong untuk meraikan hari jadinya.
Laporan Sinar Harian, seorang remaja meraikan ulang tahun kelahiran dengan cara berbeza apabila melakukan kerja amal mengutip sampah di tepi jalan sekitar Bangi dan beberapa lokasi lain.
Hazmi Nabil Mahmad Faisal, menyambut kelahiran pada 23 Mei lalu sempena usia 18 tahun dan dia memperuntukkan selama 23 hari untuk mengutip sampah di tiga lokasi bermula di Bangi, Kajang dan akan datang di Balakong sehingga 15 Jun.
"Saya memang pantang melihat sampah dibuang merata-rata, sakit mata lihat sampah sana sini. Jadi tahun ini, saya sambut hari lahir dengan cara berbeza, menyumbang tenaga memelihara alam semula jadi selain menabur bakti kepada negara," katanya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi itu berkata, hari ini sudah memasuki hari ketujuh dia melakukan aktiviti itu bersendirian.
"Buat masa ini, sebanyak 11 beg plastik yang penuh dengan sampah saya berjaya kumpul. Saya berharap dapat capai sasaran pada hari terakhir antara 60 dan 70 beg plastik.
"Pelbagai jenis sampah saya jumpa termasuk plastik dan paling 'rare' ada juga orang sanggup buang almari, telefon di tepi jalan," katanya.
Dalam pada itu, Hazmi Nabil berkata, usahanya itu turut mendapat sokongan ibu bapanya yang berharap kerja murni itu tidak terhenti begitu sahaja sebaliknya diteruskan.
"Ibu ayah saya sangat bersetuju dengan apa yang saya buat kerana ia mengajar saya supaya memberi bukannya mendapat. Lagipun ia mengajar saya supaya tetap merendah diri dan bersyukur.
"Saya juga berasa sangat puas apabila melihat kawasan yang saya kunjungi itu menjadi bersih dan gembira apabila mendapat tahu ada yang mendapat inspirasi untuk mengutip sampah di kawasan mereka," katanya.
Remaja itu turut menasihatkan masyarakat terus memelihara alam sekitar kerana tindakan membuang sampah merata-rata mendatangkan mudarat.
"Lagipun sampah merata-rata membuatkan imej negara kita tercalar. Saya berharap sangat supaya masyarakat dapat tolong buang sikap seperti ini," ujarnya.
Terdahulu, Twitter Hazmi Nabil mendapat perhatian ramai selepas berkongsi aktiviti kebajikan itu, malah menerima respon positif daripada netizen.