Jarang sekali kita mendengar kisah baju raya yang diinspirasikan dari sesebuah daerah, namun kali ini pereka tempatan Syomir Izwa menzahirkannya menerusi koleksi terbaharu lebaran 2021. Tidak menampilkan model profesional sebaliknya menghadirkan 10 orang wanita yang benar-benar berasal dari Ampang untuk menghiasi kempen fesyen merupakan satu keunikan.
Jadi kenapakah agaknya Ampang menjadi inspirasi bagi pereka fesyen ini?
Kongsinya, “Saya amat meminati sejarah dan faktor ini seringkali menjadi inspirasi buat saya dalam rekaan koleksi-koleksi yang terdahulu. Daripada bangunan kolonial post-war yang membarisi Ampang Road sehinggalah ke gabungan terawal cara kehidupan di antara golongan ekspatriat dan penduduk asal di Kuala Lumpur.
“Kemudiannya, kemeriahan Selangor Turf Club yang merupakan lokasi perlumbaan kuda yang suatu masa dahulu merupakan mercu tanda yang amat dikenali di Ampang sehinggalah kelab-kelab hiburan ikonik yang menjadi sebutan seperti Tin Mine yang begitu popular di kalangan selebriti dan hiburan tanah air sekitar tahun 1980an.
“Selain itu, siapa yang dapat melupakan kesesakan trafik yang tiada akhirnya di Jalan Ampang, bangunan-bangunan kedutaan, pusat membeli-belah Ampang Park yang mendahului zamannya, kelazatan Yong Tau Fu Ampang yang dikenali seantero dunia, dan yang paling saya minati – bangunan Rubber Research Institute berkonsep art-deco yang direka oleh Arthur Oakley Coltman pada tahun 1936.
“Kesemuanya begitu rapat dengan hati dan memori seluruh rakyat Malaysia. Jika diteliti terdapat satu transisi yang ketara daripada corak geometrik ke floral dan padanan warna. Ini adalah diantara jiwa daerah Ampang yang ingin saya tampilkan di dalam koleksi ‘The Ampang Girls’ ini.”
Menarik tentang koleksi ini bagi penulis, ia tidak terikat dengan satu-satu gaya atau estetik yang rigid. Everything flows in its own way. Gaya dari busana baju kurung potongan tradisional ke potongan moden sehingglah gaya kebarung yang cukup popular suatu ketika dahulu sangat menarik perhatian.
Pilihan warna dan corak cetakan yang tidak terlalu terikat antara satu sama lain memberikan pilihan yang pelbagai kepada pelanggan yang bakal membeli. Fabrik yang digunakan juga sangat praktikal dan selesa yang terdiri dari jenis crepe blend , kain kapas dan rayon sutera.