Kisah Bos Bujang Yang Suka Bersedekah, Bila Meninggal Burung-Burung Mengiringi Jenazahnya Hingga Ke Tanah Perkuburan

Share

Agama menggalakkan kita supaya bersedekah.

Sedekah bukan pada wang semata-mata, senyuman pun satu sedekah kerana orang yang dalam kerisauan boleh girang hatinya kembali bila anda melemparkan satu senyuman manis.

Mendengar dan menyelesaikan masalah orang juga satu sedekah iaitu sedekah ilmu.

Tengok! Sapa suka sedekah, rezeki tak pernah putus

Jom kita baca satu perkongsian dari seorang anak yang juga bekas guru di SMK Seri Pantai, Jamilah Haji Bujang tentang sikap bapanya yang suka bersedekah ketika hidup.

Bapanya seorang mandur di Telekom tetapi arwah bapanya itu memang suka menolong orang kampung sehingga timbul gelaran Bujang Bos.

Selepas pencen, bapanya suka bercucuk tanam di sekeliling rumah. Ketika itu kawasan perumahan di Pantai Dalam tidak semoden hari ini.  Tanah yang sedikit, bapanya penuhkan dengan tanaman seperti lengkuas, kunyit, pisang, betik dan banyak lagi.

Tapi satu yang menarik perhatian, bila pisang-pisangnya masak, kata Jamilah, bapanya melarang emak menebang sebelum burung-burung memakan sesisir dua pisang itu. Mereka sekeluarga hanya akan merasa pisang itu selepas burung-burung memakannya.

Kata bapa, burung juga makhluk Allah dan mencari rezeki, sama seperti manusia lain di bumi Allah yang sangat luas ini.

Tidak saja pisang, buah betik juga sama. Juga mesti dipatuk burung-burung. Tanaman lain juga selalu diminta oleh jiran-jiran, bapa hanya ambil sedikit untuk kegunaa emak di dapur. Pendek kata apa yang ada di sekeliling rumah, bapa akan sedekah kepada jiran-jiran.

Bercerita tentang pengalamannya, kata Jamilah, bapanya juga suka mengutip nasi-nasi yang tidak habis di makan orang ramai di kedai untuk diberikan kepada itik-itik peliharaannya.

Bapak memang suka bersedekah- jamilah

Bapanya tak pernah malu walau sedikit untuk mengutip sisa-sisa makanan semata-mata kerana kasihnya kepada haiwan. Bila bapanya campakkan nasi, bukan saja itik tapi burung-burung juga turun ke tanah untuk sama-sama menikmati rezeki.

Bapanya juga suka menyapu sekeliling kampung, bukan saja di tanahnya sendiri. Hujung minggu, bapanya akan bawak satu kereta sorong, penyapu dan pengaup dan mulakan tugasnya dari hujung jalan ke hujung jalan.

Sebagai anak, Jamilah dan adik-beradik hanya memerhatikan perbuatan bapanya dari jauh tanpa menduga Allah menunjukkan kebesaranNya untuk hamba yang masih hidup.

Suatu hari dia dikejutkan dengan berita bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung.  Rumahnya mula diziarahi orang ramai, terlalu ramai sehingga ratusan orang.

Semuanya menyampaikan salam takziah dan mengaku mereka adalah kawan baik kepada arwah bapanya.

Urusan memandikan jenazah bapanya juga sangat mudah. Begitu lembut tubuhnya dan tidak susah dilenturkan.

Ratusan burung kelihatan seakan mengiringi jenazah

Kejutan tidak hanya itu, semasa  jenazah diusung  ke tanah perkuburan, Jamilah perasan, ratusan burung-burung terbang seolah-olah mengiringi jenazah bapanya.

“Saya cuit emak dan emak minta saya diam. Saya ajukan hal yang sama pada Along, dia juga turut perhatikan ratusan burung-burung itu. Ada macam-macam warna, hijau, hitam dan banyak lagi.

“Semuanya duduk bertenggek di atas wayar talian elektrik, seperti mengiringi jenazah bapa,” katanya.

Burung hijau bertenggek di atas dahan

Sesampainya di tanah perkuburan, sekali lagi kejadian aneh terjadi. Burung-burung bagaikan menunduk dan bersiulan, mungkin bertasbih dan mendoakan individu yang banyak memberi makan kepada mereka. Semuanya seperti sedih hendak melepaskan satu individu yang baik hati.

Menjadi pengajaran besar kepada dirinya dan untuk orang lain, kata Jamilah, sekalipun sudah hampir 20 tahun bapaknya meninggal dunia tapi perbuatan bapaknya sangat berkesan di hatinya hingga kini malah dia juga meneruskan cara dilakukan oleh arwah bapaknya.

“Bila saudara mara mula balik, mak buka satu cerita. Sejak pencen dari Telekom, bapak gemar bercucuk tanam. Namun arwah hanya mengambil sedikit sahaja hasil tanamannya itu.

“Sekadar melepaskan “sesak” di dapur ketika emak memasak. Selebihnya disedekah kepada jiran tetangga dan ahli masyarakat yang datang meminta.

Cerita emak lagi, bukan saja kucing, burung, anjing liar juga akan berkongsi rezeki yang sama. Mereka seolah- olah tahu jam 3 petang, arwah akan datang membawa satu baldi penuh dengan sisa nasi dan lauk pauk yang dikutip dan dikumpulkan dari kedai makan berhampiran rumahnya,” kata emak sekaligus membuatkan dirinya sangat terkesan.

Indahkan dunia kalau semua orang memahami konsep sedekah

Ternyata  dengan pemberian sedekah atau berbuat baik ini bukan saja dilakukan kepada manusia semata-mata tetapi juga kepada makhluk Allah yang bernyawa kerana di dunia, Allah sudah menunjukkan pengajaran kepada insan yang berbuat baik kepada haiwan-haiwan. Bersesuaian dengan maksud hadis di atas.

Namun apa yang lebih terkesan hati anak keempat dari enam beradik ini ialah arwah bapanya bersama sahabat-sahabatnya memberikan sebahagian wang simpanan mereka untuk mendirikan surau yang diberi nama Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Pantai Dalam.

Hari ini, surau itu sudah tiada lagi tetapi digantikan dengan sebuah masjid tersergam indah yang mampu menampung ribuan jemaah di dalamnya.

 

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros