Budaya diskriminasi dan buli terhadap orang berbadan gempal dan besar bukan lagi isu baru.
Siapa sangka, Huynh Pham Thuy Tien yang berjaya memenangi mahkota Miss Vietnam 2021, seterusnya mewakili negara untuk ke Miss Universe 2021 ini pernah melalui fasa berbadan besar dan gempal.
Malah, beliau juga mendedahkan pernah dibuli dek fizikal yang gempal. Huynh Pham mengaku pernah dibuli kerana beratnya 90kg. Berbadan gempal, menyebabkan dia mendapat banyak kritikan sehingga membuatkan dia berasa rendah diri.
“Semasa sekolah, saya selalu menyorok dalam kelas walaupun waktu rehat. Saya tidak berani bermain kerana terlalu takut dan bimbang untuk keluar, selalu sangat mendengar kritikan kerana badan saya yang terlalu besar.
“Bagi pelajar sekolah, kesan psikologinya besar, buat saya rendah diri dan menyalahkan diri sendiri,” dipetik dari Wolipop.
Namun tidak lagi kini, menurut Huynh Pham lagi, dia bermotivasi untuk menurunkan berat badan apabila dia memasuki universiti. Dia berusaha keras untuk berubah dan menjadi yakin.
Setiap hari, Huynh akan melakukan senaman selama dua jam, dan mengimbanginya dengan diet yang sihat. Bukan saja dari segi fizikal, dia juga menumpukan kecerdasan intelek.
Tapi, mesti bukan mudah untuk Huynh untuk sampai ke tahap ini. Korang yang pernah dibuli sebab fizikal korang besar boleh ambil inspirasi dari Miss Universe Vietnam ini.