Kisah Pengorbanan Pengawal Trafik Udara Berusia 21 Tahun Tular Di Media Sosial

Share

Tragedi gempa bumi yang melanda kepulauan Sulawesi di negara jiran kita cukup menyayat hati. Rakaman beberapa video mencemaskan ketika kejadian gempa dan tsunami yang dikongsi sejak ia berlaku pada minggu lalu terus mendapat perhatian netizen di seluruh dunia.

Kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu kini telah mencatatkan seramai lebih 1200 orang korban dan angka tersebut dijangka akan terus meningkat. Proses mencari dan menyelamat kini masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Menara kawalan yang rosak teruk akibat gempa bumi.

Antara kawasan yang teruk terjejas akibat gempa bumi berskala 7.5 skala richter tersebut ialah Palu di Sulawesi. Selepas kejadian gempa bumi, bumiSulawesi juga turut dilanda tsunami yang membawa ombak lebih tiga meter.

Di sebalik tragedi ini muncul sebuah kisah pengorbanan seorang anak muda berusia 21 tahun yang menggadaikan nyawanya sendiri demi keselamatan orang lain. Nama Anthonius Gunawan Agung telah menjadi tular di kalangan netizen Indonesia dan juga di negara kita kerana berkorban demi keselamatan anak kapal dan penumpang Batik Air.

Keadaan Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri selepas dilanda gempa bumi.

Anthonius merupakan seorang Pengawal Trafik Udara yang bertugas di Mutiara Sis Al Jufri Airport di Palu ketika kejadian gempa berlaku. Semasa kejadian gempa bumi berlaku pesawat Batik Air sedang meluncur untuk terbang tetapi masih belum meninggalkan landasan.

Walaupun gempa bumi berlaku, Anthonius tidak meninggalkan menara kawalan dan terus membantu pesawat tersebut untuk berlepas. Menurut laporan dia merupakan orang terkahir yang meninggalkan menara kawalan. Akibat berlakunya gegaran dan runtuhan, Anthonius telah terjun daripada bangunan setinggi empat tingkat untuk menyelamatkan diri.

Jasad Anthonius Gunawan Agung disambut seperti wira!

Disebabkan jatuhan itu dia mengalami cedera parah dengan tangan, kaki dan tulang rusuknya patah. Dia kemudian dibawa ke hospital berdekaran untuk mendapatkan rawatan namun dia meninggal dunia.

Menurut Sekretaris Perusahaan AirNav Indonesia, Didiet K.S. Radityo, “Anthonius Agung telah mendedikasikan diri kepada tugasnya hingga ke akhir hayat”.

Jurucakap mereka, Yohannes Sirait juga berkata pengorbanan daripada Anthonius Agung itu telah menyelamatkan ratusan nyawa di dalam pesawat tersebut. Sebagai tanfda penghargaan organisasi mereka telah memberikan kenaikan 2 pangkat kepadanya.

Netizen di laman media sosial tidak henti-henti memberikan kata-kata pujian dan terharu mereka terhadap pengorbanan seorang anak muda yang hanya berusia 21 tahun ini.

Semoga kisah ini dapat memberikan inspirasi kepada kita semua.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim