Lega rasanya hati kami bila melihat senarai filem-filem yang sedang atau bakal ditayangkan di pawagam sudah kian bertambah. Ini secara tidak langsung memberi pilihan buat penonton kerana hampir setahun juga, banyak filem yang ditangguhkan tayangannya gara-gara wabak pandemik COVID-19.
Boleh dikatakan tahun lalu, tidak ada banyak seleksi filem yang menarik untuk ditonton di pawagam berikutan kebanyakan pengedar filem tidak berani untuk mempertaruhkan naskhah mereka di pawagam.
Namun, tahun ini nampaknya semakin banyak senarai filem yang dijadualkan akan ditayangkan sepanjang 2021 dan sama-samalah kita berdoa agar tiada lagi PKP yang dijalankan bagi mengekang penularan COVID-19.
Baru-baru ini Remaja berpeluang menonton tayangan perdana The Vigil yang merupakan filem arahan Keith Thomas dan dibintangi oleh Dave Davis, Menashe Lustig, Malky Goldman, Fred Melamed, Lynn Cohen.
Filem ini mengisahkan tentang komuniti Orthodox Jewish yang ritualnya apabila salah seorang ahli meninggal dunia, mayatnya perlu dijaga oleh ahli keluarga, teman rapat atau pun individu yang dibayar untuk menjaga mayat bagi menggantikan ahli keluarga yang tidak dapat menjaganya.
Seorang pemuda bernama Yakov telah ditawar dengan harga $500 untuk menjadi ‘shomer’ atau penjaga mayat seorang warga tua. Pada mulanya dia menolak, namun disebabkan kesempitan wang, Yakov menerima tawaran yang memerlukannya menjaga mayat selama lebih kurang 5 jam, dari tengah malam hingga awal pagi.
Pada waktu malam, dia mendapati dirinya menjadi sasaran semangat jahat yang dikenali sebagai ‘Mazzik’. Pemuda itu mahu melarikan diri namun semuanya sudah terlambat.
Ha, bayangkanlah macam mana keadaannya bila korang berdua sahaja dengan mayat yang tidak dikenali. Mesti cuak kan?
Apa yang boleh kami katakan filem ini sama seperti filem-filem seram yang lain, namun ia tidak banyak menonjolkan ‘lembaga’ atau pun ‘hantu’, cukup sekadar memberi rasa suspen kepada penonton. Sudah menjadi kebiasaan bagi filem seram, jalan ceritanya juga agak perlahan dan ‘senyap’. Inilah yang buatkan penonton makin nervous.
Ada juga babak-babak yang membuatkan kami tutup telinga dan mata kerana tidak sanggup melihat makhluk apakah yang bakal ‘keluar’. Hiks!
Walau bagaimanapun, dipertengahan filem membuatkan kami rasa sedikit selesa kerana rupa-rupanya tidaklah seram seperti yang disangka. Kerana apa? Kerana banyak babak yang kita rasa cuak tapi sebenarnya tak ada apa-apa pun. Boleh dikiralah dengan jari berapa scene sahaja yang boleh buat korang terkejut. Hiks!
Jalan ceritanya juga agak mendatar dan tidak mempunyai klimaks.
Tapi, apa-apa pun filem ini tidaklah seteruk mana dan korang masih boleh menontonnya di pawagam. Masih berbaloi, lagi-lagi untuk filem seram yang baru sahaja ‘membuka panggung’ pada tahun ini.
Jangan lupa saksikan The Vigil bermula 15 April 2021 di seluruh pawagam tanah air.