Gelaran puteri pasti sangat sinonim dengan mahkota ataupun tiara. Begitulah juga dengan kerabat wanita di dalam keluarga Diraja Britain. Koleksi tiara dan mahkota yang dimiliki oleh mendiang Ratu Elizabeth II selalunya akan dipinjamkan kepada kaum keluarga untuk digayakan sempena majlis rasmi atau pun hari perkahwinan.
Sebagai contoh, isteri Putera William, Kate Middleton dilihat menggayakan tiara Cartier Halo manakala isteri Putera Harry, Meghan Markle pula mengenakan tiara Queen Mary Diamond Bandeau pada hari perkahwinan mereka. Kedua-dua tiara ini dipinjamkan oleh Queen Elizabeth II kepada isteri cucu-cucunya itu.
Namun begitu berbeza dengan mendiang ibu kepada dua putera ini, Puteri Diana.
Beliau memilih untuk tidak menggayakan tiara dari koleksi Diraja Britain pada hari perkahwinan dengan Putera Charles, sebaliknya menggayakan tiara milik keluarganya sendiri.
Tiara yang diberi nama The Spencer itu merupakan harta warisan keluarganya yang merupakan keluarga aristokrat Inggeris. Bahkan sepanjang hidupnya dia dilihat lebih selesa menggayakan tiara milik keluarganya saat menghadiri majlis-majlis rasmi.
ARTIKEL BERKAITAN: Countess of Wessex Warisi Tiara Pemberian Ratu Elizabeth II. Tuah Sebagai Menantu Kesayangan
Tiara tersebut dibuat pada tahun 1930an oleh pakar perhiasan kemas, Garrad, menggunakan perhiasan kemas pusaka yang dimiliki dari abad ke-18 lagi. Tiara tersebut terdiri daripada rekaan bunga berlian, motif dedaunan dan elemen berbentuk hati. Kesemua batuan tersebut diikat dengan perak dan emas.
Tiara ini pernah digayakan oleh nenek Puteri Diana, Lady Cynthia Spencer yang merupakan Lady of Bedchamber kepada Ibu Ratu Elizabeth II, Ratu Elizabeth Angela Marguerite Bowes-Lyon.
Lady of Bedcamber merupakan seorang pembantu peribadi kepada Ratu yang mesti berasal dari keturunan wanita aristokrat. Dari arkib lama, dilihat nenek Puteri Diana menggayakan tiara ini saat berada di majlis keraian DiRaja.
Selepas kematian Puteri Diana, tiara The Spencer ini disimpan rapi oleh keluarganya dan pernah digayakan oleh anak saudara mendiang, Celia McCorquodale ketika hari perkahwinannya. Kedua-dua menantunya Kate Middleton dan Meghan Markle dilihat tidak pernah lagi menggayakan tiara ini.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram @Princesdianaa