Hari Raya Aidiladha bakal menjelang esok pada 20 Julai bersamaan 10 Zulhijjah.

Kebiasaannya sehari sebelum Aidiladha iaitu pada 9 Zulhijjah, kain Kiswah ataupun ‘kelambu’ Kaabah akan ditukar kepada yang baru.

Menerusi perkongsian video oleh @hsharifain di Twitter, kita boleh saksikan sendiri detik-detik kain Kiswah baharu yang diangkut menggunakan lori khusus hinggalah detik penukarannya.

Ikuti perkongsian di bawah untuk melihat momen tersebut:

Kiswah Baru Kaabah Dinaikkan, Ini Sejarah Dan Fakta ‘Kelambu’ Kaabah

Ini merupakan sedikit sejarah dan fakta tentang kain Kiswah yang korang kena tahu.

Ads

Fungsi Melindungi Kaabah

Selain berfungsi sebagai hiasan dinding Ka’bah, tujuan pemasangan Kiswah adalah untuk melindungi dinding Ka’bah daripada kotoran, debu dan cuaca panas yang boleh membuatkannya mudah rosak.

Menurut sejarah, Ka’bah sudah ‘disarungkan’ dengan kiswah sejak zaman Nabi Ismail A.S iaitu putera Nabi Ibrahim A.S. Namun tiada pula catatan yang mengisahkan jenis material dan warna kiswah pada zaman Nabi Ismail itu. Hanya semasa pemerintahan Raja Himyar Asad Abu Bakr dari Yaman, ada disebutkan kiswah yang melindungi Ka’bah diperbuat daripada kain tenun.

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah memerintahkan pembuatan kiswah daripada kain yang berasal dari Yaman. Sementara itu, empat orang Khulafa al-Rasyidin memerintahkan pembuatan kiswah daripada kain benang kapas. Sementara itu, pada era Khalifag Abbassiyah, Khalifah keempatnya iaitu al-Mahdi telah memerintahkan kiswah diperbuat daripada kain sutera Khuz yang didatangkan dari Mesir.

Ads

Kain Kiswah Pernah Berwarna-Warni

Menurut catatan sejarah, kiswah tidak selalu berwarna hitam pekat seperti sekarang. Kiswah pertama dari kain tenun Yaman berwarna merah dan berjalur. Pada masa Khalifah Ma’mun ar-Rasyid pula, kiswah berwarna putih. Kiswah juga pernah berwarna hijau semasa pemerintahan Khalifah An-Nasir dari Bani Abbasiyah (sekitar abad 16M) dan berwarna kuning semasa pemerintahan Muhammad ibnu Sabaktakin.

Penggantian kiswah yang berwarna-warni ini rupanya tidak begitu digemari oleh Khalifah al-Mamun dari Dinasti Abbasiyah. Akhirnya beliau memutuskan kain kiswah kekal berwarna hitam hinggalah sekarang.

 

Tanggungjawab Khalifah

Dahulu, tanggungjawab pembuatan kiswah dipikul oleh setiap khalifah yang sedang memerintah di Hijaz, Arab Saudi. Meskipun kiswah selalu menjadi tanggungjawab para khalifah, ada beberapa raja dari luar tanah Hijaz pernah menghadiahkan kiswah kepada pemerintah Hijaz.

Ads

Setelah Perang Dunia I berakhir, Raja Farouq I dari Mesir kembali mengirimkan kiswah ke tanah Hijaz. Namun melihat kepada situasi pada waktu itu, pemerintah Kerajaan Arab Saudi di bawah Raja Abdul Aziz Bin Saud memutuskan untuk membuat fabrik kiswah sendiri di Mekah bermula tahun 1931 hinggalah ke hari ini.

Kiswah Simbol Kekuatan, Kesederhanaan, Keagungan.

Kiswah memiliki keunikan dan keunggulan tersendiri. Pintalan benang berwarna emas mahupun perak bersatu merangkai goresan kalam Ilahi.

Kiswah menjadi sangat berharga bukan hanya kerana firman-firman Allah SWT yang suci yang dipintal pada kainnya, tetapi juga kerana keindahan pintalan benang pada permukaannya. Kombinasi warna emas dan perak pada kaligrafi yang menghiasi kiswah memiliki nilai seni yang luar biasa kerana pembuatannya memerlukan kemahiran dan skil luar biasa.

*

Menarik bukan cerita tentang Kiswah ini? Semoga kita mampu menjadi saksi pergantian Kiswah saat berziarah ke rumah-Nya pada tahun-tahun mendatang, insyaAllah.

Sumber : Karya Bestari

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI