“Kita Ada Calon Yang Baik,” – Elaine Daly Berkongsi Kisah Tentang Hatta Dolmat, Lesley Cheam Dan Kerjaya

Share

Hari ini organisasi Miss Universe Malaysia telah mempersembahkan busana gaun petang dan kostum nasional yang bakal digayakan oleh Lesley Cheam, Miss Universe Malaysia 2022 di pusingan awal pertandingan Miss Universe 2022 nanti.

Bertempat di Menara MYEG, Lesley tampil dalam dua rekaan hasil idea kreatif pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat. Menggayakan busana tersebut di hadapan para media, rekaan yang dipersembahkan mendapat reaksi yang pelbagai daripada warganet.

Mengambil kesempatan bertemu dengan direktor kebangsaan Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly, REMAJA sempat bertanyakan beberapa soalan kepada beliau dari perihal Miss Universe sehinggalah kepada perkembangan terkini dirinya.

Mengapa Hatta Dolmat menjadi pilihan tahun ini dalam merencana busana gaun petang dan kostum nasional?

Hatta Dolmat sudah berada dalam industri sekian lama, dan dia memang hebat dalam melakukan kerjanya. Jadi kenapa tidak kita mencuba dengan Hatta pula, namanya pun sudah sangat besar di dalam industri fesyen.

BACA JUGA: 32 Tahun Lalu, Kavita Sidhu Cipta Sejarah Sebagai Juara. Kini Giliran Shannen ‘Gegar’ Miss Charm International

Seperti yang dinyatakan dalam video pengenalan tadi, terdapat juga inspirasi lain yang turut dirancang pada permulaan sebagai contoh burung kenyalang, wau bulan dan wayang kulit. Mengapa Gunung Kinabalu menjadi pilihan?

Bukan kita yang pilih tetapi Hatta yang pilih. Soalan ini kena ditanyakan kepada Hatta, tetapi saya rasa kita tak pernah menampilkan Gunung Kinabalu sebagai kostum nasional, jadi ia merupakan pilihan yang baik dan merupakan sesuatu yang berbeza.

Banyak kecaman yang diterima, namun dapat dilihat semakin ramai yang menyokong Lesley. Apa pendapat Datin Elaine Daly tentang perkara ini sebagai direktor kebangsaan Miss Universe Malaysia?

Kami tak boleh memuaskan hati semua orang, walaupun kami dikecam ramai, saya rasa pada penghujungnya kami dengan seikhlas hati mahu menghantar perwakilan yang membanggakan kita semua. Kita ada calon yang baik, dan harapnya dia berjaya mendapat tempat di Miss Universe. Walau apapun yang terjadi dia sudah membuatkan Malaysia bangga.

Sebagai seorang anak seni yang pernah memegang anugerah pelakon wanita terbaik, adakah kita akan melihat naskah terbaharu dari anda pada masa akan datang?

Saya sekarang lebih menumpukan perhatian berada di belakang tabir. Ketika ini saya sedang menerbitkan rancangan bual bicara wanita yang diberi nama Womens Talk di TV3, berkelar direktor kebangsaan Miss Universe Malaysia dan turut menumpukan perhatian kepada organisasi yang memfokuskan kepada pemerkasaan wanita iaitu Lead Up. Jadi dah ada tiga portfolio, sudah cukuplah.

Boleh ceritakan serba sedikit tentang Lead Up?

Lead Up merupakan platform pemerkasaan wanita yang mana kami melakukan bengkel kepada badan korporat, sekolah dan universiti dan usaha untuk membentuk wanita atau lelaki sebagai individu yang terbaik.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Fiezreen