Ramai memilih minum air buah yang dikatakan baik untuk kesihatan. Ia datang dari jus buah sebenar dan harganya boleh tahan mahal untuk segelas minuman. Namun ternyata pandangan meminum jus buah baik untuk kesihatan adalah satu kenyataan kurang tepat kerana kita tidak memperoleh khasiat sebenar buah selepas membuang hampasnya.
Baca perkongsian dr Dr Rushdan Noor seperti dikongsikan di fbnya.
Tahukah anda bahawa majoriti ahli masyarakat berpendapat meminum jus itu baik untuk kesihatan sama seperti memakan buah-buahan. Sebenarnya anggapan ini tidak tepat. Walaupun jus itu diperolehi daripada buah yang sebenar dan dihasilkan secara tulin tanpa penambahan gula dan pengawet, ia tetap tidak sebaik memakan buah tersebut secara kesuluruhannya. Ikuti penjelasan di bawah.
Semasa anda membuat jus buah, anda hanya memperolehi gula buah (kebanyakannya sukrosa), sedikit nutrin dan air daripada buah tersebut. Ianya lebih kurang sama seperti meminum air gula/sirap (gula pasir: glukosa, gula buah: sukrosa).
Semasa membuat jus, anda membuang komponen yang paling penting di dalam buah iaitu serat, fitonutrin, antioksidan dan vitamin yang lebih banyak terdapat di bawah kulit buah, biji buah dan juga di dalam sabut buah yang memerangkap isi dan air buah
.Walaupun komponen penting ini wujud dalam jus yang dihasilkan, kuantitinya tidak banyak. Jika botol tidak digoncang sempurna, komponen serat dan nutrient akan mendap ke dasar botol dan anda hanya meminum air sahaja.
SERAT adalah komponen buah yang sangat penting dan dapat mengimbangi kesan negatif pengambilan gula buah. Serat sangat baik untuk fungsi usus, ia memperlahankan penyerapan gula serta lemak, mempercepatkan rasa kenyang dan memudahkan anda membuang air besar.
Persoalannya, adakah serat yg dihasilkan melalui proses membuat jus sama kualitinya dengan serat yg diambil melalui kunyahan buah? Terus membaca rencana ini utk jawapannya.
Ahli Sains pemakanan percaya mengambil nutrient di dalam bentuk minuman (jus) tidak sama dengan mengunyah makanan pejal (buah) meskipun kedua-duanya mengandungi nutrin dan kalori yang sama.
Otak anda menerima maklumat “saya sudah kenyang” yang berbeza daripada kedua2 bentuk makanan ini. Apabila air jus masuk ke dalam perut, anda merasa penuh dengan cepat tetapi perasaan ini hanya sekejap kerana pergerakan air yang cepat. Mengunyah makanan ataupun buah dan menelannya menyebabkan proses penyerapan lebih baik dan makanan lebih lama berada di dalam mulut dan perut. Tempoh kekenyangan lebih panjang.
Apabila Penyelidik memberi minum air jus kepada A dan sebiji buah kepada B (jumlah kalori yang sama) 20 minit sebelum sarapan. Mereka dapati B yang memakan buah mengambil kurang kalori semasa sarapan berbanding dengan A, sebab B sudah merasa lebih kenyang. A yang mengambil jus lebih cepat merasa lapar berbanding dengan B. Ini menunjukkan memakan buah lebih membantu anda untuk mengurangkan berat badan.
Sekumpulan Ahli Sains termasuk daripada Harvard School of Public Health di Amerika mendapati bahawa pengambilan buah2an (3 hidangan seminggu) di dalam bentuk asalnya secara tetap boleh MENURUNKAN risiko penyakit diabetes jenis 2 sebanyak 7-26% (buah blueberri, buah anggur,apel, pear dan prun). Walau bagaimanapun pengambilan jus buah-buahan MENINGKATKAN kadar penyakit diabetes jenis 2 sebanyak 8%.
Orang yang menukar tabiat minum jus kepada memakan buah-buahan keseluruhannya dijangka dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes sebanyak 7%. Kesan negatif pengambilan jus buah ini dikaitkan dengan peningkatan indek glisemik di samping kurangnya nutrin-nutrin dan serat semasa proses penghasilan jus.
Tiga jenis buah-buahan yang memberi kesan mengurangkan risiko diabetes yang agak besar di dalam kajian ini adalah buah blueberri, anggur dan apel. Kajian disiarkan di dalam British Medical Journal tahun 2013 (rujukan di bawah).
Berbanding dengan jus, “smoothie” (buah yang dikisar) mungkin lebih baik kerana ia mengandungi serat yang lebih tinggi tapi ia masih tidak setanding dengan mengunyah buah. Kajian menunjukkan bahawa kesan penyerapan dan peningkatan gula darah daripada pengambilan “smoothie” tidak jauh berbeza dengan jus.
Pengisar yang digunakan untuk membuat “smoothie” dipercayai menukar ciri-ciri fizikal serat sehingga menjejaskan fungsinya. Kedua2 jus dan “smoothies” menyebabkan kadar peningkatan gula darah yang cepat berbanding dengan memakan buah. Tahap gula darah yang tinggi mendadak ini akan meransang pengeluaran insulin yang tinggi sehingga kemudiannya gula darah menurun terlalu cepat, keadaan ini dinamakan “rebound hypoglycaemia”. Keadaan ini tidak baik untuk kesihatan lebih-lebih lagi kepada pesakit diabetes.
Makan buah juga memberi anda manfaat mengunyah. Mengunyah dengan perlahan memberi anda kesempatan menikmati rasa dan aroma buah, pengeluaran air liur yang banyak memberi manfaat mencuci mulut, membunuh bakteria(air liur ada anti bakteria) dan air liur juga bertindak mengurangkan keasidan untuk memelihara gigi. Mengunyah juga merupakan senaman ke atas otot2 rahang dan mulut.
Banyak jus yang dijual di pasaran bukan dihasilkan daripada buah-buahan yang tulin sebaliknya menggunakan perasa dan pewarna buah. Di dalam keadaan ini “jus” tersebut sebenarnya tidak ada bezanya dengan air sirap ataupun air gula yang mengandungi glukosa yang tinggi. Di samping keraguan tentang keaslian jus, pengguna juga perlu bimbang tentang kualiti buah yang digunakan untuk membuat jus dan juga pengawet yang dimasukkan oleh pengilang.
Jadi jika anda masih teringin untuk meminum jus/”smoothie”, cara terbaik adalah dengan menghasilkannya sendiri. Apa2 pun mengunyah buah segar yang sudah dibasuh dengan sempurna adalah kaedah pengambilan yang terbaik untuk menikmati khasiat buah2an dan sayuran.
Dr.Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia