KJ Sahkan Pak Lah Hidap Demensia, 8 Cara Kurangkan Risiko Penyakit Ini

Share

Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, 82, yang didakwa menghidapi demensia.

ARTIKEL BERKAITAN : Justin Bieber Diserang Sindrom Ramsay Hunt, Kenali Gejala & Punca Penyakit

Hal ini selepas Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa keadaan kesihatan bapa mertuanya semakin merosot kerana tidak berupaya untuk mengingati nama ahli keluarga terdekat termasuk dirinya dan isteri.

Foto Via Instagram

“Mungkin ramai antara anda tertanya-tanya, di mana PM kelima (Pak Lah). Ya, beliau telah bersara (sejak 2009) dengan terhormat dan tidak akan menimbulkan masalah untuk penggantinya.

“Beliau mempunyai demensia. Itulah sebabnya beliau tidak kelihatan lagi di mana-mana,” katanya dalam satu kenyataan seperti yang dilapor Awani kelmarin.

Tambah Khairy, keadaan yang dialami ayah mertuanya itu bagaikan ‘tubuh ada tapi minda tiada’ ekoran daya ingatannya sudah merosot.

“Demensia itu satu situasi yang sangat kejam, kerana tubuhnya ada, mindanya tiada.

“Saya lihat bapa mertua saya merosot ke tahap beliau tidak lagi berfungsi secara normal. Beliau tidak ingat nama saya, tidak ingat nama isteri saya,” tambahnya ketika itu.

SEL Otak MATI

Menurut Persatuan Penyakit Alzheimer, demensia merupakan penyakit yang menyebabkan sel otak anda mati pada kadar dipercepat. Ini juga membawa kepada kemerosotan mental secara keseluruhan di mana seseorang mengalami kegagalan memori, fungsi intelek lemah dan perubahan pada sikap.

Foto Via Pexels

Malah, menurut laman web Alzheimer’s Disease International, setiap tiga saat akan ada seseorang yang menghidap demensia di dunia ini. Secara keseluruhan, statistik global mencatatkan lebih 55 juta orang disahkan menghidap penyakit tersebut pada tahun 2020.

Tip Elak Demensia

1. Sikat Rambut Dan Berus Gigi Guna Tangan Bukan Dominan

Jika korang sering menggunakan tangan kanan, tukar kepada tangan kiri untuk menyikat rambut atau memberus gigi. Begitu juga jika anda kidal – tukar kepada tangan kanan. Ia mungkin agak tidak selesa pada mulanya tetapi anda sedang menggalakkan penghasilan ‘jalan’ baru dalam otak bila anda “belajar” menggunakan tangan bukan dominan anda.

2. Lakukan Senaman

Memastikan anda kekal aktif secara fizikal adalah baik bagi otak anda. Malah, ia terbukti melambatkan kemerosotan kognitif.

3. Elak Tonton Alat Elektronik Terlalu Kerap Dan Cuba Baca Buku

Dalam satu kajian yang dijalankan JAMA Psychiatry, penyelidik memerhatikan lebih 3,000 orang dewasa selama 25 tahun dan mendapati mereka yang menonton televisyen lebih dari tiga jam sehari mendapat prestasi terendah dalam beberapa ujian kognitif. Jika anda mahu merehatkan minda, cuba baca buku, atau setidak-tidaknya, kurangkan masa di hadapan skrin televisyen.

4. Cuba Jalan Baru

Selalunya kita akan mengambil jalan yang sama untuk ke tempat kerja. Meskipun kebiasaan merupakan suatu yang selesa, cuba tukar perjalanan anda sekali-sekala. Ini memaksa otak anda digunakan dengan berfikir ke hadapan dan kekal aktif.

5. Jadi Sukarelawan

Cari peluang melakukan kerja-kerja sukarela dan memperjuang sesuatu yang anda yakini. Menjadi sukarela bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi ia juga diketahui dapat membaiki fungsi kognitif. Dalam satu kajian, mereka yang sering melakukan kerja-kerja sukarela mempunyai risiko lebih rendah untuk menerima rawatan anti-demensia, berbanding mereka yang tidak.

6. Selalu Hirup Udara Segar

Ia cukup merehatkan dan menyegarkan jika kita meluangkan masa untuk menikmati alam semula jadi. Dalam satu jurnal Natural England, ia didapati berjalan-jalan di taman amat baik bagi pesakit demensia dan penjaga mereka.

7. Kawal Tekanan

Kita boleh anggap tekanan sebagai sesuatu yang normal. Tetapi, satu kajian menunjukkan wanita pertengahan tahun yang sudah lama menghadapi tekanan mempunyai risiko yang meningkat untuk menghidapi Alzheimer atau nyanyuk. Walaupun tekanan tidak boleh dihindarkan, kita harus belajar untuk kawal tekanan itu dengan mencari wadah bagi menenangkan fikiran misalnya melalui muzik, bersenam atau berkongsi masalah dengan rakan.

8. Makan Coklat Gelap

Coklat yang tinggi kandungan koko diiktiraf sebagai makanan yang baik untuk otak. Ia didapati bahawa koko mempunyai kandungan flavonoid yang tinggi yang memperlahan perkembangan Alzheimer.

Sumber : 1. 2.

BACA : Zamani Slam Dilihat Makin Bongkok, Ini Yang Netizen Perlu Tahu Tentang Penyakit Skoliosis

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana