KKM Bakal Perkenal Ujian Saringan COVID-19 Melalui Air Liur

Share

Ramai yang sudah sedia maklum swab test COVID-19 dilakukan dengan cara calitan di hidung dan di tekak. Ada yang berpendapat ia sangat menyakitkan dan ada pula yang mengatakan ia tidaklah sakit seperti yang disangka.

Namun begitu, khabarnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal memperkenalkan ujian saringan COVID-19 melalui air liur secara kendiri di rumah tidak lama lagi. Kaedah itu bagi mengesan pesakit yang tidak bergejala yang mungkin sudah dijangkiti mereka yang positif COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini pihak KKM sedang mengenal pasti dua buah syarikat yang akan membekalkan test kit berkenaan, di mana alat itu sedang dalam proses pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA).

Foto: kompas.com (Gambar hiasan)

Sebelum ini, KKM telah memulakan ujian COVID-19 menggunakan persampelan air liur di beberapa hospital kerajaan dan berdasarkan penilaian IMR, kaedah itu mempunyai sensitiviti sebanyak 96.67 peratus dan ketepatan iaitu spesifisiti 100 peratus.

Kaedah persampelan ini dilihat lebih selamat dan tidak invasif berbanding persampelan dengan kaedah ‘nasopharyngeal’ serta ‘oropharyngeal’ swab, iaitu melalui hidung dan mulut.

Sekiranya hasil ujian menggunakan test kit itu menunjukkan individu berkenaan positif COVID-19, mereka perlu hadir ke fasiliti kesihatan KKM untuk pemeriksaan lanjut. Mereka masih perlu melakukan ujian lain. KKM juga akan melatih petugas kesihatan bagi memastikan kaedah pengambilan sampel air liur dilaksana dengan lebih tepat.

Sebilangan masyarakat menerima inisiatif ini dengan positif dan bersetuju sekiranya ujian saringan COVID-19 dilakukan dengan sampel air liur.

Apa-apa pun, diharap agar tindakan ini adalah terbaik untuk masyarakat Malaysia dan jangan berhenti berdoa supaya virus ini diangkat dari dunia.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman