Di media sosial, ramai peniaga menjual secara online pelitup muka dari jenis fabrik. Harganya dari semurah RM5 dan ke atas bergantung kepada jenis fabrik digunakan. Mungkin harga lebih mahal jika ditambah corak dan sebagainya.
Ramai pengguna membelinya kerana beranggapan dapat menjimatkan wang tambahan pula jika mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai. Malah pelitup muka fabrik ini juga boleh dicuci berulang kali berbanding penggunaan pelitup pakai buang.
Di sebalik penguatkuasaan kerajaan bermula 1 Ogos ini untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan sesak, semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pelitup muka fabrik yang hanya mempunyai satu atau dua lapisan.
Jelas Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berdasarkan garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya pelitup fabrik tiga lapisan yang disarankan bagi mengekang penularan COVID-19.
"Kalau satu lapisan memang tidak berkesan. Kita tidak menggalakkan penggunaan pelitup muka fabrik yang dikatakan satu atau dua lapisan.
"Kita mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan WHO iaitu non-medical facemask mesti ada tiga lapisan iaitu kesan hidrofilik dan hidrofobik. Jadi kita telah maklumkan iaitu ketiga-tiga lapisan tersebut," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin. Sumber : Astro Awani
Kes Arwah Adib! PPMM Kesal Tindakan Tidak Profesional & Mahu Peguam Negara Beri Penjelasan
Isu penarikan diri peguam yang mewakili Kementerian Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga arwah Muhammad Adib semalam ternyata membuatkan ramai mula terkeliru.
Ramai yang mengandai-andai tindakan peguam Syazlin Mansor yang menarik diri kerana adanya tekanan dari sesetengah pihak seperti dilaporkan oleh kebanyakan media sosial hari ini sebagai ada sesuatu “kerumitan” kerana prosiding inkues kematian arwah Muhammad Adib hanya berbaki dua hari lalu selepas 36 hari saksi-saksi memberikan keterangan.
Baca kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia mengenai isu ini. Ini kerana tentu ramai antara kita yang ingin tahu sebab sebenar kematian arwah Muhammad Adib selepas terlibat dengan insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya yang mencetuskan rusuhan di tanahair tahun lalu.
KENYATAAN AKHBAR
PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA
BERTARIKH 28 MEI 2019
- Negara semalam dikejutkan dengan penarikan diri seorang Peguam yang mewakili Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Syazlin Mansor di dalam prosiding inkues Allahyarham Mohd Adib Kasim setelah 36 hari prosiding berlangsung dan berbaki dua hari lagi.
- Dilaporkan penarikan balik tersebut dibuat kerana pihak kerajaan telahpun diwakili oleh Jabatan Peguam Negara yang menjadikan Syazlin sebagai peguam swasta bersifat kelewahan (redundant). Terdapat juga pelbagai perkara lain yang ditularkan mengundang kegelisahan awam tetapi tidak dapat disahkan.
- Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) musykil sekiranya benar alasan yang dilaporkan kenapa hanya setelah 36 hari prosiding berlangsung barulah tindakan ini diambil. Prosiding tersebut pula hanya berbaki dua hari sahaja lagi. Daripada catatan prosiding inkues ini adalah amat jelas saksi-saksi dikemukakan KPKT keterangannya sangat berbeza dari keterangan diberikan saksi dikemukakan Jabatan Peguam Negara. Timbul persoalan di sini adakah Jabatan Peguam Negara mahu beberapa fakta matan kepada prosiding tersebut tidak diberi pertimbangan coroner?
- Malah ditularkan juga terdapat arahan pihak tertentu mendesak Syazlin menarik diri. Jabatan Peguam Negara mesti menjelaskan perkara ini supaya kegusaran ramai tentang ketelusan prosiding ini dapat diredakan. Malah Jabatan Peguam Negara juga sehingga hari ini tidak mengesahkan beberapa orang yang diberikan jaminan mulut dibebaskan setelah direman masih berada di dalam pemantauan pihak berkuasa atau tidak.
- PPMM memahami Syazlin terpaksa menarik diri atas arahan daripada anak guamnya dan tidak boleh mengabaikan arahan tersebut. PPMM mengucapkan terima kaseh atas perkhidmatan yang diberikan bagi membawa keadilan kepada Allahyarham Mohd Adib. Namun pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan yang tuntas berkaitan hal ini.
- Pada 24 Disember 2018 Menteri KPKT Zuraida Kamarudin dilapor Bernama sebagai berkata selain memberi nasihat guaman Syazlin dilantik bagi turut membantu PDRM dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding tersebut. Malah Zuraida menegaskan sekiranya terdapat perkara dianggap terlepas pandang atau perlu diberi penelitian dan sebagainya Syazlin boleh memberi pandangan dan input untuk kebaikan semua.
- Namun semalam pada 27 Mei 2019 Menteri yang sama dilaporkan berkata Syazlin tidak perlu lagi mewakili mereka kerana Jabatan Peguam Negara mewakili pihak Kerajaan walaupun dahulu beliau mahukan semua perkara diambil kira.
- Melalui penelitian PPMM dalam prosiding tersebut, Syazlin telah bekerja keras membawa kes beliau dan membantu koroner dengan pelbagai input dan keterangan yang tidak disentuh oleh Jabatan Peguam Negara. Inilah peranan yang dimainkan Syazlin sebagaimana yang dikehendaki Menteri KPKT melalui siaran medianya pada 24 Disember 2018 walaupun beliau kemudiannya dilaporkan berubah pendirian.
- Peguam Negara perlu menjelaskan hal ini dengan terperinci kenapa tindakan sebegini diambil dan telus di dalam menjalankan amanah beliau. Jika benar Syazlin adalah bersifat kelewahan kenapa dari awal prosiding Syazlin dibenarkan membantu koroner di dalam prosiding tersebut.
- Seperkara lagi yang perlu dijelaskan ialah segala keterangan yang diambil koroner sebelum ini dibuat secara bersumpah di dalam suatu prosiding yang sah di sisi undang-undang. Oleh yang demikian keterangan-keterangan tersebut tidak boleh dibuang begitu sahaja semata-mata kerana peguam menarik diri. Koroner mesti mengambil kira segala keterangan yang diambil walaupun peguam telah menarik diri.
- Persoalan kini adakah apabila pegawai Jabatan Peguam Negara mengambil alih tugas Syazlin pegawai tersebut boleh memohon kepada koroner untuk membuang apa-apa keterangan yang telah diterima masuk oleh koroner tersebut? Implikasinya pula ia akan mengakibatkan inferens bertentangan (adverse inference) berkenaan fakta pihak pendakwaan atau mana-mana pihak berkepentingan termasuk keterangan yang telah membangkitkan secara langsung dan tidak langsung berkaitan ketiadaan kerdibiliti fakta kes pendakwaan mahupun pihak berkepentingan selain daripada kepentingan Allahyarham Mohd Adib. Adakah terdapat motif tertentu apabila tiba-tiba sahaja penukaran peguam dibuat?
- Malah kita juga masih ingat di mana Peguam Negara telah memfailkan suatu affidavit yang bersetuju dengan pandangan seorang saksi yang menyatakan Allahyarham Mohd Adib meninggal dunia akibat kemalangan bertentangan dengan pandangan saksi yang menyatakan sebaliknya walhal mahkamah koroner masih lagi bersidang dan belum membuat sebarang dapatan. Hal yang demikian menzahirkan pihak Peguam Negara telah mengambil alih peranan mahkamah koroner walaupun prosiding masih belum selesai.
- Perlu difahami bahawa inkues bukanlah suatu prosiding di mana ada pihak yang bertentangan atau berlawan, ada yang menang atau kalah, tujuan inkues adalah untuk mendapat tahu apa yang berlaku melalui saksi-saksi. Oleh itu jika semua fakta dan pandangan tidak dizahirkan sepenuhnya adakah matlamat inkues ini dapat dicapai?
- PPMM kesal dengan tindakan tidak professional seperti ini dan keadilan mestilah dilakukan kepada Mohd Adib Kassim. Peguam Negara perlu menjelaskan sepenuhnya apa yang berlaku tanpa berselindung di sebalik kuasa yang ada pada beliau.
Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Sedang Solat Fardu & Berkumandang Azan Waktu Lain! Kena Berhenti Atau Teruskan Hingga Rakaat Akhir?
Ramai antara kita mungkin pernah solat di hujung waktu. Misalannya menggabungkan waktu Zuhur ke Asar. Ada ketika, sedang solat fardu misalannya di rakaat kedua, kedengaran azan tanda masuk waktu.
Perlukah kita berhenti solat atau teruskan solat tersebut? Ustaz Azhar Idrus berkongsi ilmu mengenai ini.
Soalan:
Jika kita kerjakan sembahyang pada hujung waktu dan belum sempat beri salam telah kedengaran azan masuk waktu sembahyang yang lain. Adakah kita kena berhenti dari sembahyang atau macam mana hendak kita lakukan?
Jawapan :
Jika seorang itu mengerjakan sembahyang pada hujung waktu kemudian sebelum dia selesai lagi dari sembahyang tersebut telah masuk waktu yang lain maka hendaklah dia teruskan sembahyang tersebut tidak perlu dia berhenti.
Maka jika dia sempat melakukan serakaat di dalam waktu yang pertama maka dia telah mendapat solat tersebut dengan tunai.
Dan jika dia tidak sempat sembahyang sebanyak serakaat dalam waktu yang pertama misalnya dia sedang rukuk lalu masuk waktu solat yang kedua maka solat yang pertama itu dikira sebagai solat qadha.
Tersebut pada Kitab Fathul Muin :
ولو أدرك في الوقت ركعة لا دونها فالكل أداء وإلا فقضاء.ويأثم بإخراج بعضها عن الوقت وإن أدرك ركعة
Artinya : “Dan kalau seorang itu mendapat serakaat di dalam waktu tidak yang selainnya maka sekelian rakaat itu adalah dikira tunai dan jika tidak nescaya jadilah solatnya itu qadha.
Dan berdosa ia sengaja keluarkan sebahagian sembahyang daripada waktu sekali pun dia sempat mendapatkan serakaat.”
Maksudnya siapa yang sembahyang dalam waktu misalnya dia sembahyang Asar dalam waktu Asar dan selepas dia lakukan rakaat yang pertama lalu masuk waktu maghrib maka sembahyangnya itu dikira sebagai sembahyang tunai dan jika dia belum masuk ke rakaat yang kedua lalu masuk waktu maghrib maka jadilah sembahyangnya itu sembahyang qadha.
Dan jika dia sengaja sembahyang Asar pada waktu seperti itu maka hukumnya dia berdosa melainkan kerana uzur seperti pengsan atau tertidur atau terlupa.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
29 Pelajar Malaysia Positif COVID-19 Di Indonesia Tidak Dibenarkan Pulang Ke Tanah Air
Masih ramai lagi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, terutamanya pelajar dan di Indonesia, seramai 29 daripada 164 penuntut Malaysia di Jawa Timur didapati positif dalam pemeriksaan rapid test COVID-19 dan tidak dibenarkan pulang menaiki pesawat ke tanah air.
Menurut Bernama, semua pelajar Pondok Pesantren Al-Fatah Temboro Magetan, Jawa Timur perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum menaiki pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pada 27 April lalu.
29 pelajar yang didapati positif COVID-19 kini sedang menjalani rawatan lanjut dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.
Pada sidang media 19 April lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster COVID-19 baharu di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April 2020.
Kluster berkenaan melibatkan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia seramai 43 pelajar dari Temboro, satu daripada tempat yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.
Apa-apa pun kita doakan agar kesemua pelajar Malaysia disana dilindungi dan cepat sembuh. Apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia dan Indonesia ini adalah satu usaha bagi mengelakkan penularan terus berlaku.
Semoga keluarga pelajar tersebut tabah menghadapi dugaan ini.
Sumber: Bernama