Siapa kata silat ni sukan kampung? REMAJA sempat luangkan masa dengan atlet silat yang pernah memenangi pelbagai tournament antarabangsa, Fauzi Khalid.
Bagaimana Fauzi boleh menyertai sukan silat?
Saya bermula agak lewat pada usia yang agak lewat, sekitar 16 tahun. Pada masa itu, jurulatih saya pada waktu itu iaitu arwah Suhardi Chin datang ke Pulau Pinang untuk perkenalkan silat olahraga kepada remaja di sana.
Gigih juga arwah luangkan masa nak berjumpa dengan remaja yang duduk melepak dekat tepi jalan, tepi laut. Semata-mata nak mencari pelapis atlet silat.
Saya kira saya bernasib baik juga dapat bertemu dengan arwah. Kalau tak, mungkin sampai ke hari ini saya masih bergelar kutu rayau.
Susah tak nak ceburi silat secara serius?
Mestilah susah. Ada banyak perbezaan antara silat peringkat kampung dan silat peringkat negeri. Of course, yang paling ketara adalah facility dan equipment yang disediakan.
Selepas menyertai skuad negeri juga, saya mula didedahkan dengan teknik sparring dan jatuhan yang betul.
Pesilat negara, Fauzi Khalid.
Foto: Izari Rosli
Semasa mula menyertai pertandingan dulu, pernah tak Fauzi terfikir untuk mengaku kalah setelah mengalami beberapa kekalahan awal kepada pihak lawan?
Acara nasional terawal saya adalah Sukan Malaysia (SUKMA) di Negeri Sembilan pada tahun 2004 dan seperti dijangka, saya kalah kerana kurang pengalaman. Tapi sebenarnya kekalahan itulah yang buatkan saya sedar, “Aku kena buat lagi baik kalau nak kalahkan dia”. Hasilnya, saya menang dalam kategori kelas 65-70 pada SUKMA 2006 dan acara kebangsaan.
Alhamdulillah!
Ada yang kata sukan silat ini tarafnya sukan kebudayaan je. Apa pendapat Fauzi?
Kalau setakat sukan kebudayaan, tak adalah saya ambil masa 2 tahun nak siapkan diri untuk Sukan SEA 2009. Bagi saya, apa-apa kejayaan dalam mana-mana sukan tak datang dengan mudah.
Lebih-lebih lagi sukan silat. Silat perlukan tahap konsistensi dan displin yang tinggi. Ia bukan hanya mementingkan teknik, ia juga memerlukan atlet berubah menjadi sangat displin.
Jurulatih pernah provoke saya dulu. Katanya, “Kalau ayah kau nelayan, tak kan lah kau pun nak jadi nelayan. Mesti kau nak jadi lebih baik daripada tu.” Saya sedar saya dari kampung. Sebab itulah saya tumpukan fokus saya untuk mengubah nasib hidup keluarga saya dari dulu melalui silat.
Apa harapan Fauzi untuk Sukan SEA KL 2017?
Selama ini, saya memenangi sebanyak dua kali di Sukan SEA tetapi ia berlaku di tempat lawan. Kali ni, saya harapkan kejayaan ketiga di laman sendiri. Saya akan berikan segalanya untuk menaikkan bendera Jalur Gemilang!
Pesilat negara bersama pengurus sukan MASOC. (Dari kiri : Fauzi Khalid, Siti Rahmah, Mohd Rafee Majid, Faizul Nasir dan Al-Jufferi Jamari. Foto: Izari Rosli
Candid With Fauzi Khalid
Sokongan tak terhingga dari…
Ayah, ibu dan jurulatih saya.
Rutin sukan kegemaran Fauzi…
Semua latihan saya benci haha! Tapi saya perlu lakukannya juga.
Idola sukan silat.
Arwah jurulatih Suhardi Chin dan dua orang senior saya, Shahrizan serta Azrin Abdul Malik.
Dalam masa 5 tahun lagi…
Saya ingin jadi jurulatih silat untuk generasi baru pula.