KLFW Raikan Ulang Tahun SATU DEKAD, Kembali Ogos Ini Secara Normal

Share

 

Pejam celik, acara pertunjukan fesyen tahunan berprestij, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) Ready To Wear telahpun dilangsungkan selama sedekad lamanya.

Dalam tempoh sepuluh tahun ini, pelbagai pembaharuan, inovasi dan kreativiti yang telah kita saksikan pada skala yang semakin besar dari tahun ke tahun.

Malah jika diperhatikan kepada penerimaan fesyenista di Malaysia sendiri, KLFW kini menjadi sebahagian daripada keraian yang dinanti-nantikan bukan sahaja di lokasi rasminya, Pavilion Kuala Lumpur malahan di platform media sosial.

Pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya yang turut berada di sidang media Kuala Lumpur Fashion Week semalam di ibu negara.

Kongsi pengasas KLFW Andrew Tan, edisi kesepuluh ini akan mengembalikan sepenuhnya pertunjukan fesyen secara fizikal daripada lebih 40 koleksi pakaian pereka tempatan.

Bermula 17 hingga 22 Ogos akan datang, KLFW 2022 menjanjikan satu persembahan yang cukup menakjubkan.

“Apabila saya memulakan KLFW pada tahun 2013, saya tahu ia merupakan sesuatu yang berisiko besar dan memerlukan usaha yang gigih. Saya ingat lagi, mesyuarat pertama ketika ingin menubuhkan KLFW pertama dahulu adalah di dalam sebuah bilik kecil di pusat beli-belah Pavilion. Dan lihatlah kini bila kita berada dalam Pavilion Hotel pula.

“Apa yang kami tidak dapat jangkakan adalah era pandemik. Ia telah memberi impak kepada semua seperti yang tidak pernah kami sangka-sangkakan. 2 tahun kemudian, kita masih dibelengu isu wabak, harga minyak petrol, peperangan di Ukraine dan inflasi ekonomi.

“Dalam masa beberapa tahun, faktor-faktor ini akan terus memberi cabaran kepada pereka fesyen tempatan dan bisnes pakaian. Namun, kami yakin serta bersemangat untuk bangkit semula

“Industri fesyen Malaysia bernilai USD8 bilion dan dijangka akan terus berkembang setiap tahun sebanyak 7.8 peratus. Ia adalah nilai yang mendadak serta menyediakan peluang pekerjaan yang banyak,” ujarnya.

Untuk KLFW 2022, di antara jenama yang bakal mempersembahkan koleksi mereka termasuklah Farah Khan, Fiziwoo, Ezuwan Ismail, Rizman Ruzaini, Nurita Harith, Mimpi Kita, Neonate, Behati, Cassey Gan, Alia Bastamam, Hatta Dolmat, Maarimaia, Afiq M, Nelissa Hilman dan ramai lagi.

Dalam pada itu, pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari bakal mempersembahkan produk minyak wangi terbaru di bawah jenama terbaru mereka, Homage by Nobel bersempena KLFW 2022.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ