Pasti ramai diantara kita yang sudah merindui pengalaman di lapangan terbang kerana rata-ratanya tidak lagi menggunakan pengankutan udara itu untuk sekadar bercuti di dalam negara.
Kini apa yang menarik perhatian kami adalah laporan yang dibuat oleh BERNAMA bahawa dokumen perjalanan fizikal seperti tiket penerbangan dan pas masuk mungkin tidak lagi diperlukan bagi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ini kerana pelaksanaan fasa pertama inisiatif Perjalanan Token Tunggal pada separuh pertama tahun ini akan dijalankan dan ia akan menggunakan teknologi pengenalan wajah untuk memberikan pengesahan pengenalan biometrik satu token tunggal kepada penumpang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, inisiatif ini akan membolehkan penumpang melalui seluruh perjalanan lapangan terbang tanpa perlu menunjukkan pas masuk mereka di semua pintu, daripada daftar masuk hingga pintu pelepasan.
Fasa pertama teknologi ini dikatakan akan bermula pada pertengahan tahun ini dan proses pengesahan dijangka memakan masa hanya kira-kira 5 saat.
“Fasa pertama pelaksanaan teknologi itu dijangka selesai pada separuh pertama 2021, apabila 50 kios daftar masuk sendiri, 20 kaunter daftar masuk dan 56 eGate di pusat pemeriksaan keselamatan dan pintu pelepasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA akan dilengkapi dengan teknologi pengenalan wajah,” katanya.
Teknologi ini akan memudahkan pengguna selain memberi pengalaman tanpa sentuhan dan meningkatkan keselamatan penumpang di lapangan terbang dalam norma perjalanan baharu.
Wah, nampaknya ini satu inisiatif yang bagus kerana penumpang tidak perlu lagi memikirkan tentang pas masuk atau beratur panjang untuk menaiki pesawat.
Sumber: BERNAMA