Penyedia tempat penginapan di lapangan terbang, CapsuleTransit akhirnya melancarkan cawangan hotel kapsul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Terdahulu, cawangannya di KLIA Terminal 2 telah dibuka sekitar tahun 2016.
Setelah tujuh tahun ia beroperasi, ‘jirannya’ di KLIA Terminal 1 dirasmikan pada 26 Jun 2023 oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Ia sekaligus membuka lembaran baharu untuk penginapan di dalam pod yang unik untuk penumpang penerbangan domestik serta antarabangsa sementara menunggu penerbangan masing-masing
Pada keluasan 650 kaki persegi, Capsule Transit di KLIA Terminal 1 memuatkan sebanyak 24 pod kapsul yang direka agar pengunjung dapat berehat di dalam ruang penuh selesa.
Setiap pod kapsul dilengkapi kemudahan penting seperti port pengecasan USB, soket mengecas, kunci pintu digital, insulasi bunyi dan pencahayaan boleh laras agar korang dapat menikmati waktu persinggahan sementara itu.
Paling penting, ada akses Wi-Fi percuma!
Ujar Ketua Pegawai Eksekutif CapsuleTransit iaitu Ryan Loo, syarikat itu telah jauh melangkah ke hadapan sejak ia ditubuhkan pada tahun 2014.
Dengan pembukaan cawangan baharu di KLIA Terminal 1 ini, ia tentunya menaikkan semangat pasukannya untuk terus menawarkan servis kepada pengunjung di sana pula.
“Pelancaran ini adalah bukti komitmen kami untuk mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia dengan layanan mesra Malaysia yang dikenali ramai. Kami akan berusaha untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama di Asia,” kata Ryan.
Memasuki tahun 2024, CapsuleTransit di KLIA Terminal 2 akan terus memperbesarkannya dengan menambah 50 katil premium, ruang istirehat, spa dan kemudahan gymnasium
.Tidak mustahil, cawangan KLIA Terminal 1 juga akan mempunyai kemudahan-kemudahan berkenaan.
ARTIKEL BERKENAAN: Hotel Kapsul Pilihan Backpackers, Lebih Murah & Berbaloi – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.