Kluster MISS WORLD! Beberapa Jam Sebelum Bermula, Pertandingan Ditunda Akibat Kes Covid-19

Share

 

Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum pertandingan ratu cantik berprestij, Miss World 2021 sepatutnya dilangsungkan dari Puerto Rico. Bagaimanapun, disebabkan penangan wabak COVID-19 terhadap para pesertanya pada minggu ini, organisasi Miss World telah mengambil keputusan untuk langsung menangguhkan acara finale itu pada saat-saat terakhir.

Media tempatan Puerto Rico melaporkan 17 individu yang terlibat dalam pertandingan Miss World 2021 disahkan positif COVID-19 setelah mereka menjalani ujian PCR. Bagaimanapun, jumlah peserta yang dijangkiti dalam kalangan 17 individu itu tidak pula diumumkan.

Antara peserta yang disahkan positif COVID-19 termasuklah wakil Malaysia iaitu Dr. Lavanya Sivaji; Miss World Gibraltar, Janice Sampere dan Miss World Indonesia, Pricillia Carla Yules. Mereka bertiga dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang di bawah pemantauan kuarantin selama 10 hari.

Miss World Indonesia, Pricillia Carla Yules
Miss World Gibraltar, Janice Sampere.
Miss World Malaysia, Dr. Lavanya Sivaji.

ARTIKEL BERKAITAN : Miss Malaysia Kempunan Beraksi Di Pentas Miss World Selepas Positif COVID-19 – REMAJA

Persoalannya, bilakah acara finale Miss World 2021 ini bakal dilangsungkan?

Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh pihak penganjur di Facebook, mereka memaklumkan ia ditangguhkan, “..atas faktor kepentingan kesihatan dan keselamatan para peserta, staf, kru dan orang awam.

“Finale akan kembali diatur semula di Puerto Rico Coliseum Jose Miguel Agrelot dalam tempoh 90 hari yang akan datang,” catat mereka.

Biarpun ramai yang ingin sekali melihat pertandingan itu dilangsungkan secara fizikal, tinjauan REMAJA di bahagian komen mendapati ramai warganet yang turut risau sekiranya ‘Kluster Miss World’ sebegini akan tercetus kembali jika ia diadakan semula secara fizikal; memandangkan pertandingan berskala besar seperti Miss World akan menghimpunkan ramai pihak di satu lokasi yang sama.

Di samping itu, ada juga yang mencadangkan agar pihak penganjur mengumumkan 30 peserta terbaik dan hanya mereka saja yang perlu kembali ke Puerto Rico untuk meneruskan saingan. Bukan saja ia efektif dari sudut keselamatan, para peserta lain yang tidak perlu kembali ke sana juga dapat menjimatkan kos perjalanan dan persediaan.

Apa pendapat korang?

Patutkah pertandingan berprestij seperti Miss World 2021 hanya dilangsungkan secara maya seperti yang berlaku kepada Miss Earth, baru-baru ini?

ARTIKEL BERKAITAN : INDIA Dinobat MISS UNIVERSE 2021, Tamat Kemarau Kemenangan 21 Tahun – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ