“Kluster Pasar” Tutup, Bersediakah Kita Ubah Menu Makanan Ramadan Ini?

Share

Wabak corona virus atau disebut COVID-19 yang melanda dunia sudah mencecah hampir 3 juta orang dijangkiti. Di Amerika Syarikat sahaja jumlah dijangkiti adalah seramai 905,333 dengan jumlah kematian seramai 51,949.

Di Malaysia sendiri, kes setakat semalam (26 April 2020), keseluruhan kes positif ialah 5780 kes dengan kadar kematian 98 orang. Berita baiknya  seramai 3862 orang sudah sembuh  sementara bakinya iaitu 1820  orang masih menerima rawatan.

Di Malaysia, langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat oleh pihak kerajaan yang sudah memasuki fasa ke 4 dilihat agak  berjaya membendung wabak ini dari menjangkiti lebih ramai orang. Walau ada kelonggaran diberikan kepada beberapa perkhidmatan untuk meneruskan pekerjaan sementara yang lain diperintahkan mengikut PKP tetapi penularan kes ini tidak begitu ketara berbanding negara Asean lain.

Beberapa hari lalu kita membaca Pasar Borong Selayang ditutup selama 4 hari untuk proses sanitasi manakala kawasan sekitarnya di lockdown selama dua minggu bagi mengelak lebih ramai dijangkiti.

Pasaro Borong Kuala Lumpur ditutup sementara untuk proses sanitasi

Bermula proses sanitasi Pasar Borong Selayang, semalam media melaporkan Pasar Besar Awam Bahau diarahkan ditutup  bermula hari ini selama 14 hari  sehingga 10 Mei ini bagi proses sanitasi selepas seorang peniaga di pasar berkenaan disahkan positif pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, peniaga berumur 44 tahun itu dipercayai ada kaitan dengan kluster Pasar Borong Selayang, Selangor.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mewajibkan kesemua 60 peniaga di pasar awam itu menjalani ujian saringan di Medan Niaga Kiara, di sini bermula 8.30 pagi esok seperti dilaporkan Astro Awani.

Pasar Besar Awam Bahau ditutup dua minggu bermula hari ini selepas seorang peniaganya positif

Jika semalam Pasar Awam Bahau ditutup, hari ini seorang pengguna fb Mohd Razif Janan pula memuat naik gambar Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya ditutup selepas seorang peniaganya dikatakan positif COVID-19.

Pihak berkuasa sudah menutup keseluruhan Pasar Jalan Othman

Walau belum ada kes melibatkan penularan besar-besarkan melibatkan kluster pasar tetapi apa yang pasti dengan penutupan pasar basah begini, bekalan bahan mentah akan mula berkurangan. Jika ada pun harganya mungkin agak naik berbanding kebiasaan.

Ironinya jika semakin banyak pasar awam ditutup, bekalan ke kedai runcit sudah tentu terputus bekalan. Lalu bersediakah kita untuk memikirkan menu baru atau berfikir, makan apa saja di bulan Ramadan yang baru memasuki hari ke empat? Bersediakah kita mengubah menu makanan harian kita yang sebelum ini banyak bergantung kepada makanan basah seperti ayam, ikan, sayur dan sebagainya.

Apa pilihan yang ada kecuali makanan pilihan terakhir, kita  perlu bergantung kepada makanan segera? Bagi anak muda, ia mungkin tiada masalah kerana life style kita sudah terbiasa dengan makanan fast food tetapi agak kasihan kepada warga tua yang mungkin mahu “makan agak sedap” ditambah ikan-ikan atau sayuran ini masih segar lagi tetapi mereka tidak dapat menikmatinya.

Apa pun kita mengharapkan wabak ini segera berakhir dan semua rakyat Malaysia dilindungi Allah taala dan tidak dijangkiti dari virus ini.

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros