Semalam mencatat sejarah apabila 432 orang disahkan positif COVID-19 menjadikan ia angka tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak COVID-19 dikesan di negara kita.
Jika di awal-awal dahulu kecoh dengan kluster tabligh berikutan perhimpunan jemaah tabligh namun dengan kecekapan pasukan perubatan dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),wabak ini dapat dibendung dan negara bebas seketika.
Bagaimana pun, selepas PKP ditarik semula dan rakyat digalakkan menjaga penjarakan fizikal serta menggunakan hand sanitizer untuk penjagaan diri, ditambah dengan pelancongan yang dibuka semula untuk merancakkan ekonomi negara, kita digemparkan dengan kes Kluster Sivagangga. Lebih membimbangkan ia dikaitkan dengan Super Spreader Genon 641 yang membolehkan wabak ini menular dengan laju dalam komuniti masyarakat.
Terkini, dengan bilangan angka dicatat semakin meningkat dari hari ke hari, COVID-19 dikaitkan pula dengan “kegelojohan” mengadakan pilihanraya di Sabah hingga ia digelar Kluster Politik oleh netizen.
REMAJA senaraikan lima ahli politik yang disahkan positif dan mari kita doakan agar kesemuanya cepat sembuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam di fb memaklumkan dirinya kini menerima rawatan selepas disahkan positif Covid-19.
"Buat semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Beliau juga menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang membabitkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan dengan segera.
Menduduki carta level Menteri dan Timbalan Menteri, disahkan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad positif jangkitan koronavirus (COVID-19) dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Menurut Datuk Dr Ahmad Masrizal, dirinya pernah melakukan ujian pertama pada 23 September lalu di Kota Kinabalu ketika kempen Pilihanraya Negeri Sabah dan keputusannya adalah negatif. Namun selepas kembali ke tanahair, dirinya disahkan positif.
Dalam satu hantaran di fbnya semalam, Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei memaklumkan dirinya positif COVID-19. Menurut Lim, beliau menjalani ujian saringan pertama di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) sejurus pulang dari Sabah pada 27 Oktober lalu dan menjalani kuarantin sendiri di rumah selepas dipakaikan gelang merah jambu.
Dalam pada itu, seorang lagi Adun Kota Damansara, Shatiri dalam satu perkongsian video memaklumkan status dirinya yang kini sah positif COVID-19.
Adun tersebut turut memaklumkan, dirinya dan isteri serta tujuh kakitangan pusat khidmat DUN Kota Damansara telah menjalani ujian saringan di KLIA 2 pada 27 September selepas pulang dari Sabah dan menjalani kuarantin sendiri di rumah selama 14 hari.
"Tapi semalam, saya menerima panggilan daripada Pusat Kesihatan Daerah Petaling mengatakan saya positif Covid-19. Isteri dan anak saya juga disahkan positif. Kami semua dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," jelasnya.
Adun yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, Azman Nasrudin disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Malah akibat kempen pilihanraya dihadirinya, isterinya yang juga seorang guru di SK Permatang Janggus turut positif hingga memaksa 600 pelajar sekolah rendah perlu menjalani ujian SWAB yang gambar mereka tular dalam keadaan kesakitan di media sosial.
Jadi bagi orang ramai yang pernah berhubung dengan kesemua lima ahli politik ini segeralah buat buat ujian swab agar wabak ini tidak terus merebak ke dalam komuniti. Apa pun, bagi yang tiada tujuan penting, duduklah di rumah kerana ia lebih selamat dalam situasi sekarang.