Hiburan

Kolaborasi Antara Dua Negara! Konsert ‘The Journey Of Sound’ Datuk Seri Siti Nurhaliza & Judika Bakal Diadakan 14 Disember Ini!

Share

Dua penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika baru-baru ini memberikan kejutan kepada peminat masing-masing apabila mengumumkan bakal mengadakan konsert ‘The Journey of Sound’ yang bakal diadakan di Stadium Merdeka pada 14 Disember ini.

Judika atau nama sebenar Judika Nalon Abadi Sihotang (46) berkata, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju selepas mendapat tawaran berkolaborasi bersama penyanyi lagu ‘Biarlah Rahsia’ itu

“Bila saya dengar nama datuk (Siti Nurhaliza) terus tidak ada kata-kata lain langsung kerana saya memang mengaguminya dari dulu, jadi bila diminta untuk buat konsert dengan Datuk saya terus pilih tarikhnya.  Ini antara salah satu impian saya untuk nyanyi bersama bakal jadi kenyataan”

“Dulu waktu Datuk buat konsert di Axiata Arena, saya hanya datang jadi tetamu sahaja dan waktu saya pula buat konsert di sana (Axiata Arena) dan ingin minta Datuk nyanyi sekali tapi jadual tidak sesuai. Jadi konsert ini akan jadi konsert ‘balas dendam’ saya kerana boleh berkolaborasi,” Judika berseloroh ketika sidang media konsert ‘The Journey of Sound’ di Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza pula menyifatkan Judika sebagai seorang penyanyi serba-boleh dan menyakinkan para peminat yang hadir di konsert tidak akan kecewa dengan persembahan yang bakal disajikan selama tiga jam.

“Judika ini senang sangat bekerja dengannya, sebab kalau saya bagi lagu orang lain seperti Cakra Khan, Faizal Tahir pun suaranya semua boleh masuk malah dia boleh buat style dia tersendiri. Saya suka sangat terutamanya bila dapat bersama atas pentas dengan artis yang ada karisma, karakter serta aura memukau,” ujar Siti Nurhaliza. 

Selain itu, kedua penyanyi yang bakal mengegarkan pentas konsert ‘The Journey of Sound’ itu juga teruja apabila untuk melakar sejarah menjadi antara penyanyi terawal membuat persembahan di stadium yang boleh memuatkan sehingga 26,000 peminat setelah siap diubah suai nanti.

‘The Journey of Sound’ akan menjadi konsert mega daripada dua penyanyi ini, dari negara berbeza namun dengan tujuan sama iaitu mengukuh dan mengeratkan silaturrahim peminat muzik di Nusantara.

Pembelian tiket boleh dibuat melalui www.ticket2u.my bermula 12 Oktober, tiket dijual pada harga RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER / UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP) dan RM 1,299 (SUPER VIP).

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE