Hari ini kebanyakan berita menyiarkan kisah Kylie Janner melahirkan anak luar nikah selepas menjalin hubungan dengan rapper Travis Scott.
Kelahiran bayi perempuan yang dilahirkan pada 1 Februari itu bagaimana dirahsiakan pada awalnya, tidak seperti mana Jenner yang diketahui amat suka menghebahkan apa saja aktivitinya kepada peminat-peminatnya.
Bagai disambut besar-besaran, kelahiran bayi Jenner dengan pantas menjadi topik utama Twitter di Amerika Syarikat, menewaskan perlawanan besar #SuperBowlSunday yang bermula hanya dalam masa beberapa jam saja. – Reuters.
Isunya di sini, kenapa anak kelahiran luar nikah artis Barat dipandang sebagai “biasa” sedangkan jika kelahiran di sini, dipandang hina oleh masyarakat? Adakah kerana kita sudah terbiasa memandang, mendengar, melihat atau sebenarnya memang benar kita sudah “terpedaya” dengan dunia hiburan ciptaan agama Yahudi yang mahu melalaikan masyarakat menerusi agenda yang tersembunyi selama ini.
Tidak hanya Kylie Jenner, ada ramai lagi artis Barat, bintang sukan seperti Cristiano Rolando dan nama-nama besar lain yang mempunyai anak luar nikah. Bukan satu tetapi dua tiga, atau entah bersepah-sepah. Pokoknya, kita hanya membaca dengan penuh minat tanpa ada kesan lisan di hati untuk beristigfar agar mereka-mereka ini menerima hidayah Allah. Wallallahualam.
Remaja mendapatkan pandangan dari Naqib Masjid Al Khadijiah Kampung Pantai Dalam, Ustaz Shahril bin Abd Samad mengenai isu kelahiran anak luar nikah.
Menurutnya yang turut bertindak sebagai jurunikah berkata, jika di awal tahun 2012 dahulu, hanya ada dua pasangan pengantin dari 10 pasangan yang sudah mengandung lebih awal.
“Tetapi dalam setahun kebelakangan ini, dari 10 pasangan, tujuh darinya sudah mengandung. Trend ini agak menakutkan, seolah-olah mengandung anak luar nikah sudah menjadi isu biasa bagi masyarakat. tak perlu pandang lebih jauh ke Barat, kalau kita baca kadar kelahiran anak luar nikah hari ini pun sudah menakutkan,” katanya ketika ditemui.
Jelas Ustaz Shahril, dia pernah berhadapan dengan situasi seorang nenek yang hanya sanggup menjaga seorang cucu luar nikahnya. Kemudian anaknya itu mengandung lagi kali kedua tetapi dengan lelaki berbeza.
“Kita tak mahu isu ini dipandang sepi. Manusia itu dikurniakan akal dan jangan jadi seperti haiwan, ada otak tapi tak ada akal. Haiwan ini berbeza, semuanya dia sapu tetapi manusia ini dibezakan dengan akal kurniaan Allah taala. Jangan terlalu murah kerana jika tidak ditangani, isu ini merosakkan seluruh keturunan,” katanya yang tidak mahu umat Islam memandang isu artis melahirkan anak luar nikah seperti membaca satu isu biasa sebaliknya perlu berfikir sesuatu.
“Saya percaya, kalau budaya seperti ini dibawa ke Acheh, hukuman sebat di khalayak ramai akan dipertontonkan supaya menjadi pengajaran,” katanya yang mahu umat islam kembali kepada al-Quran dan hadis yang ditinggalkan oleh Rasulullah sebelum wafat.
“Cukuplah kita memegang dua perkara ini dalam hidup iaitu al-Quran dan hadis, hidup akan selamat,” katanya mengakhiri perbualan.
Takut dan terkejut? Ini realiti yang harus dipandang serius oleh semua masyarakat. Empat tahun lalu, setiap 15 minit berlaku satu kelahiran anak luar nikah di Malaysia dan hal ini dimaklumkan oleh Dr Harlina Siraj selaku pakar O&G dalam catatannya.
Remaja turut mendapatkan respon dari Ketua Penolong Pendaftar Kanan Universiti Utara Malaysia yang turut berdaftar sebagai kaunselor bebas, Hajah Maimunah Haji Mohamad mengenai isu anak luar nikah ini.
“Anak luar nikah tak berdosa. Jangan dihukum namun kita sebagai umat Islam tidak boleh terus membiarkan isu ini berleluasa. Seorang individu itu perlu menjaga agamanya, hatinya dan perilakunya agar tidak terjebak dengan budaya barat yang songsang.
“Jangan kata agama Islam saja melarang isu anak luar nikah ini, agama di Barat juga serupa tetapi masalahnya masyarakat di Barat memandang isu ini sebagai biasa. Kita hidup berlandaskan al-Quran dan hadis. Bukan boleh main hentam sahaja.
“Jangan juga jadi seperti binatang. Adik beradik, mak bapak, semuanya disapu. Beza manusia ini pada akalanya,” katanya memaklumkan, jika satu kelahiran terjadi, dan jika bayi itu tidak diinginkan, lebih baik masuk ke pusat perlindungan kerana ada pihak yang mahu menjaganya sehingga selamat melahirkan.
Kata Hajah Maimunah lagi, jika kita tidak bersedia dengan kelahiran tersebut, maka boleh diberi kepada keluarga yang mahukannya. “Ingat, kali pertama berlaku, ia memang satu kesilapan tetapi mengulangi terus, bukan silap sebaliknya sengaja,” katanya yang turut mahu sikap memandang, mendengar dan membaca kisah-kisah di Barat tentang budaya anak luar nikah ini diberi perhatian serius oleh umat Islam.
“Kita tidak mahu hanya kerana sudah terbiasa, kita akan mempraktikkannya pula satu hari nanti. Hidup kita mesti berlandas kepada al-Quran dan hadis,” katanya ketika dihubungi.