Sejak semalam, ramai cendiakawan menyuarakan bantahan dan kebimbangan mereka terhadap pihak penganjuran Debat Piala Tun Razak kali ke-8.
Antara yang dipersoalkan oleh mereka adalah apabila kebanyakan tajuk-tajuk yang diberi kepada peserta adalah berkaitan “penentangan secara halus” terhadap agama Islam.
Ini termasuklah tajuk ‘Islam Tidak Halang Homoseksual’ yang menyaksikan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang menarik diri apabila mendapat tahu bahawa topik itu dibangkitkan sebagai salah satu topik perdebatan pertandingan.
Ekoran itu, bekas juara pendebat tahun 2005, Faizal Rezuan yang juga seorang peguam berpendapat bahawa SMAP Kajang adalah juara sebenar kerana menarik diri dalam pertandingan tersebut.
Menurutnya di Twitter, the losing side dalam hal ini sebenarnya adalah pihak penganjur yang seakan mempunyai agenda menormalisasikan LGBT.
Seorang lagi cendikiawan iaitu Dr Novandri Hassan Basri turut menulis komen mengenai isu ini melalui satu entri di Facebook. Dr Novandri mempersoalkan tindakan pihak penganjur yang langsung tidak peka dengan tajuk-tajuk diperdebatkan.
Luahannya boleh dibaca di bawah ini.
Memalukan apabila Debat Piala Tun Razak dijadikan pentas dan cubaan untuk memperlekehkan ajaran agama Islam.
Apabila kita marah dan hentam penganjur Debat Piala Tun Razak, mereka tutup twitter @pialatunrazak. Di manakah Maszlee Malik, menteri pendidikan PH? Tidur?
Semua umat Islam akan bantah tajuk perdebatan yang sangat kontroversi berselindung di bawah makna hipotetikal :
1. Jika orang Islam boleh menulis kembali Al-Quran
2. Islam tidak menghalang aktiviti Homoseksual
Bukan itu sahaja. Penganjur juga terfikir tajuk seperti ‘Boikot Haji dan Umrah’ untuk didebatkan!
Crazy! Its mind blowing and shocking bila pihak penganjur boleh terfikir dan tidak rasa bersalah untuk menggunakan tajuk-tajuk itu!
Kita mahu tahu, siapakah nama-nama individu yang begitu bangang dan biadap mencadangkan tajuk-tajuk sedemikian?
Apakah mereka orang Islam atau bukan Islam kerana mustahil orang Islam yang mencadangkan topik yang tidak boleh terlintas sedikit pun untuk dibuat main-main? Tidak ada hipotetikal Al-Quran boleh ditulis semula.
Lebih shocking lagi bila penganjur Debat Piala Tun Razak keluarkan kenyataan yang masih mahu tegakkan benang yang basah dan pertahankan pemilihan tajuk-tajuk. Minta maaf pun tidak ikhlas dan seperti masih tidak sedar diri!
CRAZY!
Kita desak pihak penganjur yang terlibat tidak boleh terlepas begitu saja. Mereka mesti dipecat dan tidak terlibat lagi dengan mana-mana program Debat Piala Tun Razak dan kementerian pendidikan.
*
Khabarnya twitter @pialatunrazak ditutup selepas menerima kecaman ramai pihak..
Saya sertakan juga 3 komentar twitterian yang komen twitter @pialatunrazak sebelum ianya ditutup.
1. Dalam situasi ini, seorang pelajar SMAP Kajang telah dipaksa untuk menyokong tajuk tersebut. Seorang pelajar yang beragama Islam terpaksa mendokong tajuk homoseksual. Ini adalah satu bentuk penindasan dalam kebebasan beragama. Sebarkan jika tuan-tuan kisah.
2. Kedua-dua tajuk ini telah didebatkan oleh beberapa pelajar yang beragama islam. Dalam situasi perdebatan tersebut, pelajar-pelajar tersebut yang berusia dibawah 17 tahun terpaksa mengunakan beberapa ayat Al-Quran yang telah ditafsirkan dengan salah dan tidak betul.
3. Mereka juga terpaksa memberikan bukti-bukti yang salah dan bertentang dengan fahaman keagamaan mereka. Pelajar dan guru tersebut telah memberikan protes kepada pihak penganjur, namun mereka telah mengabaikan protes mereka.
Dan bila pihak twitter Piala Tun Razak tutup twitter mereka, nampak sangat mereka bersalah! Siapakah Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal?
Itu katanya dalam entri di Facebook.
*
Carian REMAJA juga mendapati Bernama dalam satu laporan berita memaklumkan bahawa dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dipilih menjadi ketua juri dan panel tanpa pengetahuan institusi itu.
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pihak penganjur telah menghubungi dua pelajar berkenaan secara terus untuk menjadi ‘adjudicator’ (ketua juri) bagi pertandingan berkenaan.
“Oleh yang demikian, penyertaan kedua-dua individu dalam pertandingan debat itu berlaku tanpa pengetahuan pihak universiti.
“UiTM amat memandang serius sensitiviti agama dan budaya masyarakat di Malaysia, serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga (UiTM) yang cuba menganggu atau memperlekehkan perkara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Mohd Azraai menjelaskan, ketua juri pertandingan itu, Mohammad Aidil Ali merupakan bekas pelajar UiTM berstatus gugur taraf manakala panel pemilih usul, Iyad Zakiy Amal pula adalah pelajar luar kampus (PLK) universiti berkenaan namun sedang dalam status cuti khas.
Justeru kata Mohd Azraai, UiTM akan menjalankan siasatan dalaman secara adil dan menyeluruh bagi melihat sekiranya pelajar itu didapati melakukan kesalahan yang bertentangan dengan mana-mana undang-undang UiTM, dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Isu berkaitan pertandingan debat itu dalam kalangan pelajar sekolah baru-baru ini menjadi tular di laman sosial apabila antara tajuk yang diutarakan melibatkan topik-topik kontroversi berkaitan asas Islam.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya pada Selasa memberitahu, hasil siasatan mendapati Mohammad Aidil dan Iyad Zakiy tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal dari Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan di mana debat itu berlangsung. BERNAMA.
Ketua Pengadil Minta Maaf
Dalam laporan Sinar Harian sebentar tadi, penganjur pertandingan telah memohon maaf berikutan kritikan terhadap tajuk debat sehingga mencetuskan rasa tidak selesa kepada pihak terlibat.
Dalam kenyataan bersama, Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal pula berkata, usul debat berkenaan hanya bersifat hipotetikal dan bukannya cubaan untuk membawa ‘agenda liberal.’
“Usul ini dibuat bukan dengan niat untuk indoktrinasi kepada pendebat muda atau satu bentuk agenda liberal daripada sesiapa.
“Debat adalah kegiatan di mana peserta perlu berfikir di luar kotak dan tidak menghadkan pandangan alam dan pada masa sama tidak mengorbankan kepercayaan mereka selain sedia untuk berfikir secara kritikal.
“Jika ada pihak yang mendapati perkara ini tidak sensitif dan menyinggung, kami dan jawatankuasa penganjur sepenuh hati memohon maaf atas rasa tidak senang yang dicetuskan,” kata mereka.
Mohammad Aidil dan Iyad Zakiy berkata demikian susulan kenyataan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar yang mendakwa tajuk debat itu tidak sensitif terhadap agama Islam dan mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan.
*