Kemenangan Andrea Meza dari Mexico sebagai Miss Universe 2020 bukanlah satu kemenangan yang disenangi semua. Banyak yang mencemuh mengatakan bahawa ada lagi peserta yang lebih layak dan tidak kurang juga ada yang menggelar ratu cantik itu dengan panggilan Miss Telemundo. Ini kerana Telemundo merupakan rangkaian televisyen Mexico yang menjadi antara penaja pertandingan tersebut.
Tidak sepi dari kontroversi, rekaan gaun petang rona merah yang digayakan Andrea Meza telah dikatakan hasil peniruan dari gaun La Bourjoisie yang direka oleh Nadim Soudaiha. Pereka fesyen yang berpangkalan di Kuwait ini telah membuka mulut apabila isu peniruan rekaan gaun petang tersebut diketengahkan oleh media antarabangsa.
Rekaan tersebut pernah dimuat naik Nadim dalam satu hantaran di Instagram yang mana ketika itu ia digayakan oleh seorang peragawati. Jika dilihat perbandingan, boleh dikatakan gaun rona merah Miss Universe 2020 itu 90 peratus menyerupai rekaan Nadim. Gaun yang digayakan Andrea itu direka oleh pereka fesyen Mexico yang berasal dari Itali, Ivis Lenin.
Menurut Nadim dalam temubual bersama Kuwait Times, “Rekaan busana itu pernah dipakai oleh penyanyi popular, Carrie Underwood dalam satu majlis anugerah pada tahun 2017. Ketika itu di merupakan pengacara kepada majlis tersebut. Saya mengambil masa sekitar 10 hari untuk menghasilkan gaun ini yang terbuat dari tulle dengan kristal Swarovski dan manik-manik berjurai. Tetapi penata gaya Jacob de Alba mendedahkan dalam hantaran Instagram bahawa gaun Andrea yang oleh Ivis Lenin, mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan.”
Apa yang menarik tentang kontroversi ini, Nadim sebenarnya merupakan orang Mexico yang telah berhijrah ke Kuwait untuk bekerja disana sebagai pereka fesyen untuk La Bourjoisie. Jadi rekaan asal pereka fesyen berdarah Mexico ditiru oleh pereka fesyen Mexico untuk digayakan oleh Miss Universe Mexico. How ideal is that? Apa yang pasti nampaknya pereka fesyen Ivis Lenin tidak boleh lari dari fakta yang rekaannya itu memang mirip dengan rekaan Nadim.