
Baru-baru ini, rancangan ‘MBC’s Good Day’ yang menampilkan G-Dragon sebagai penerbit muzik mencatatkan rating yang kurang memberangsangkan susulan kontroversi yang melibatkan dakwaan hubungan lampau antara pelakon Kim Soo Hyun dan mendiang Kim Sae Ron.
Menerusi episod kedua, bintang sensasi G-Dragon tampil bersama sekumpulan selebriti yang lahir pada tahun 1988 termasuk Kim Soo Hyun, Jung Hae In, Lee Soo Hyuk, Im Si Wan, dan Hwang Kwang Hee.
Namun, Soo Hyun sempat menjadi tumpuan utama apabila berkongsi pandangannya tentang fasa menuju usia 40-an serta mempamerkan bakat vokalnya yang mantap dan aksi tersebut sempat membantu menaikkan rating rancangan.


Walau bagaimanapun, prestasi Good Day dari segi tontonan masih turun naik. Sebelum ini, episod pertama mencatatkan rating sebanyak 4.3%, tetapi merosot kepada 3.6% dalam episod kedua dan menunjukkan sedikit peningkatan ke 3.9% pada episod ketiga, kemudian kembali menjunam ke 3% dalam episod keempat yang baru ditayangkan.
Menurut laporan Nielsen Korea, walaupun sudah menampilkan barisan bintang terkenal serta slot tayangan utama pada malam Ahad, angka ini dianggap terlalu mengecewakan.
Untuk pengetahuan, Good Day merupakan rancangan projek muzik di mana G-Dragon bakal bekerjasama dengan artis-artis lain untuk menghasilkan lagu yang mencerminkan semangat tahun ini.
Dalam pada itu, Soo Hyun yang sepatutnya memainkan peranan besar dalam aspek vokal, sehingga kini menuai kritikan penonton disebabkan kontroversi yang melanda dirinya dan dikatakan mungkin akan menjejaskan projek ini.
Terdahulu, keluarga mendiang Kim Sae Ron mendakwa bahawa Soo Hyun pernah menjalin hubungan selama enam tahun, dari 19 November 2015 hingga 7 Julai 2021 namun pihak pengurusan, Gold Medalist tampil menafikan dakwaan tersebut.
Pada masa yang sama, tumpuan juga terarah kepada ‘Knock-Off’ iaitu drama terbaru Kim Soo Hyun yang bakal ditayangkan di Disney+ pada tahun 2025 membuatkan orang ramai mempersoalkan apakah ia akan menerima kesan negatif yang sama dari isu ini selain menjejaskan nama Soo Hyun sebagai salah seorang pelakon Korea paling berpengaruh?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.