Sehari dua ini kecoh tentang isu tudung bercorak dreamcatcher yang banyak terjual pada tudung. Corak dreamcatcher ini merupakan lambang kepercayaan Red Indian atau golongan Orang Asli Amerika. Apa yang korang perlu tahu tentang dreamcatcher ini? Dreamcatcher atau penangkap mimpi adalah merupakan satu alat yang menjadi kepercayaan penduduk pribumi. Terdapat pelbagai mitos mengenai asal usul dreamcatcher.
Disebabkan terlalu banyak lambakan tudung, material, jenis kain dan sebagainya, ada ketikanya kita terlepas melihat corak pada tudung yang dianggap biasa pada pandangan mata tetapi Rasulullah telah melarang pakaian yang menyerupai golongan ini seperti disebut hadis “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.” (HR Abu Daud, no. 4031).
Boleh ke kita pakai tudung corak sebegini? Apa kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai corak tudung ini.
Soalan : Apakah hukum memakai tudung bercorak dreamcatcher sedangkan terdapat pihak yang mendakwa corak tersebut mempunyai unsur-unsur agama lain?
Jawapan:
Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu diketahui terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan dreamcatcher. Dreamcatcher atau penangkap mimpi adalah merupakan satu alat yang menjadi kepercayaan penduduk pribumi Amerika (Indian). Terdapat pelbagai mitos mengenai asal usul dreamcatcher.
Sebuah dreamcatcher terbuat daripada satu simpulan kayu berbentuk lingkaran yang di dalamnya terdapat jaring anyaman dengan lubang di tengahnya. Di bahagian bawah lingkaran kayu itu terdapat dua atau lebih bulu yang tergantung-gantung. Orang asli Amerika percaya bahawa udara pada malam hari dipenuhi dengan mimpi-mimpi sama ada mimpi baik atau mimpi buruk. Justeru, mereka menggantungkan dreamcatcher di atas tubuh seseorang yang tidur untuk melindunginya daripada mimpi buruk.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1960-an dan 1970-an, dreamcatcher diterimapakai dalam Pergerakan Pan-India sebagai simbol perpaduan antara pelbagai budaya puak asli Amerika, atau simbol identifikasi umum dengan budaya orang asli Amerika. Kemudian, nama dreamcatcher telah mula diterbitkan oleh media arus perdana pada tahun 1970-an dan seterusnya menjadi popular sebagai barangan kraf asli pada tahun 1980-an. Akhirnya pada awal tahun 1990-an ia menjadi barangan yang sangat popular dan berpasaran tinggi.
Berdasarkan penerangan ringkas di atas, dapat difahami bahawa dreamcatcher pada asalnya merupakan satu alat yang menjadi kepercayaan kuno penduduk asli Amerika. Namun begitu, kepercayaan ini boleh disifatkan hampir luput pada masa kini dan telah bertukar menjadi barangan kraf yang dibuat untuk tujuan komersial.
Larangan menyerupaikan pakaian orang kafir
Kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.” (HR Abu Daud, no. 4031)
Berdasarkan penelitian para ulama terhadap nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah, salah satu bentuk penyerupaan dengan orang kafir yang dilarang ke atas umat Islam adalah pada pakaian.
Menurut sebahagian pendapat dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan jumhur Mazhab Syafie, menyerupai pakaian yang menjadi syiar orang kafir dihukumkan kafir. Kerana itu, sesiapa yang memakai topi orang Yahudi dengan sengaja maka ia kufur kecuali jika dipaksa atau memakainya sekadar untuk berlindung daripada kepanasan. Begitu juga orang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, ia dihukumkan kafir kecuali jika memakainya sebagai helah dalam peperangan, maka ia tidak dihukumkan kafir. (Al-Fatawa al-Hindiyyah: 2/276; Jawahir al-Iklil: 2/278; Tuhfah al-Muhtaj: 9/91)
Walaubagaimanapun, sesetengah ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie pula mengatakan, sesiapa yang mengenakan pakaian khas orang kafir, tidak jatuh kafir kecuali jika ia beriktikad dengan iktikad kufur tersebut. Sebagaimana kata al-Imam Abu Hanifah, “Seseorang tidak keluar daripada iman kecuali daripada pintu yang ia masuki, maka masuk ia ke dalam Islam menerusi perakuan dan pembenaran, sedangkan kedua-duanya masih kekal.” (Al-Fatawa al-Bazzaziyyah: 6/332)
Mazhab Hanbali pula mengatakan haram memakai pakaian bukan Islam yang merupakan syiar agama mereka. Kata al-Buhuti, “Jika seorang muslim memakai pakaian yang menjadi syiar ahli zimmah (kafir yang tunduk di bawah kerajaan Islam), atau menggantung salib pada dadanya, hukumnya haram, namun ia tidak kafir dengan demikian, tetapi berdosa seperti kemaksiatan yang lain.” (Kasysyaf al-Qina’: 3/128)
Pandangan ini juga sama dengan apa yang diutarakan oleh al-Nawawi yang mengatakan, seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian ia tidak kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka). (Raudah al-Talibin: 10/69)
Berdasarkan perbahasan ulama berkaitan tasyabbuh dan fakta mengenai dreamcatcher di atas, dapat disimpulkan penggunaan corak yang bermotifkan dreamcatcher adalah seperti berikut:
- Pemakaian tudung yang terdapat padanya motif dreamcatcher tidak sampai ke tahap menyerupai agama lain, ini kerana ia tidak pernah menjadi pakaian khas yang merujuk kepada syiar mana-mana agama lain seperti pemakaian salib dan seumpamanya;
- Motif dreamcatcher adalah merujuk kepada alat yang menjadi mitos kepada golongan asli Amerika dengan kepercayaan tertentu. Namun demikian, pada masa kini ia lebih kepada barangan kraf yang dijual sebagai alat perhiasan. Justeru, meniru corak alat tersebut tanpa mempunyai apa-apa iktikad tertentu di sebaliknya adalah harus;
- Dalam hal isu ini dimanipulasikan dengan mengaitkannya kepada kepercayaan asal alat tersebut, maka dinasihatkan agar umat Islam lebih berhati-hati. Ini bagi mengelakkan timbul fitnah ke atas orang yang menjual dan memakainya. Oleh itu, memilih alternatif lain yang tidak mengandungi apa-apa kontroversi adalah lebih baik dan lebih selamat.
Wallahu a’lam.