Berkata kepada Remaja, dia sempat menitiskan air mata lima minit sebelum membuat persembahan di acara TikTok Shop 11.11 Mega Live Showdown yang disiarkan di TV3 baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Batal Konsert: Aisha Retno Harap Dapat Selesai Secara Baik & Tertutup Dengan Penganjur, Mahu Fokus Karier Nyanyian
“Baru-baru ini di acara TikTok Shop, itu memang detik di mana saya benar-benar ‘down’. Memang lima minit sebelum saya melangkah naik ke pentas, saya menitiskan air mata,” katanya ketika ditemui di Sidang Media Konsert Kaleidoscope 2.0 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Tambah pelantun lagu popular Samudera itu, kejadian berkenaan sangat sukar baginya kerana ia lebih menyakitkan daripada pengalaman putus cinta.
Aisha bagaimanapun menzahirkan rasa syukur kerana mendapat sokongan daripada pasukannya yang membantu dia bangkit semula secara mental dan fizikal.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Pembatalan Konsert, Penganjur Tuntut Aisha Retno Bayar Semula Baki Pinjaman Berjumlah RM77,000!
“Selalunya, sedih atau berada di titik terendah pun, saya tak pernah begitu. Ini lebih sakit daripada putus cinta. Jadi, saya terganggu sedikit.
“Tapi, saya bersyukur kerana ada pasukan saya untuk tolong saya bangkit semula mental dan fizikal. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” ujarnya lagi.
Menyentuh mengenai keadaan emosinya selepas kontroversi tersebut, Aisha berkongsi bahawa dia pernah berkurung di dalam rumah kerana tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan situasi yang berlaku.
“Selepas kejadian itu, saya ada juga berkurung di rumah. Saya tak tahu nak buat apa. Rakan-rakan tanya apa berlaku sebab berita itu di mana-mana. Saya tak dapat nak jawab. Kalau nak jelaskan satu persatu ia agak panjang,” katanya.
“Disebabkan saya masih ada beberapa kerja dan waktu berjalan, setiap hari Allah berikan rezeki untuk kerja. Saya bersyukur ia sedikit sebanyak ‘melarikan’ pemikiran saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aisha turut berkongsi mengenai Konsert Kaleidoscope 2.0 yang bakal berlangsung pada 10 dan 11 Januari depan di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam.