Tular di media sosial tentang kes Cikgu Azizan yang bakal dihadapkan ke mahkamah pada esok hari atas tuduhan mengenakan disiplin tegas terhadap seorang pelajarnya.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku sehingga guru ini dihadapkan ke mahkamah?
Berikut adalah kronologi kes Cikgu Azizan yang dikongsi oleh pendidik2U:
31 Oktober
Sebutan kes. Berhadapan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Jenayah di Mahkamah Majistret Seremban.
Cikgu Azizan mengaku tidak bersalah di atas tuduhan itu sebaik saja Hakim membicarakan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500.
Semasa proses ikat jamin, dia telah ditempatkan di lokap mahkamah bersama pesalah-pesalah jenayah lain yang terlibat dalam kes dadah dan lain-lain.
Dalam lokap tersebut ada lebih kurang 13 orang pesalah dan tangan Cikgu Azizan digari bersama seorang pesalah dadah sepanjang perjalanan dari lokap mahkamah ke lobi mahkamah untuk urusan ikat jamin yang jaraknya 100 meter.
Dakwaan ke atasnya dibuat atas tuduhan mendenda seorang murid dengan kesalahan:
1. Menghidu gam dalam kawasan sekolah dan turut mempengaruhi pelajar lain (3 orang) supaya turut serta. Kesalahan ini dilakukan sejak 2016.
2. Buli.
3. Memukul murid lain.
4. Ponteng dengan memanjat pagar sekolah.
27 November 2017
Dokumen pertuduhan telah diserah kepada Cikgu Azizan.
19 Disember 2017
Perbicaraan akan bermula.
Nasib Cikgu Azizan yang menampar seorang murid yang didakwa oleh pihak Sekolah Kebangsaan Taman Semarak sering kali melakukan kesalahan berat bakal ditentukan esok (19 Disember). Dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban 2A atas tuntutan saman yang dilakukan sendiri oleh ibu bapa pelajar tersebut.
#PrayForCikguAzizan
Walau bagaimanapun, menurut Harian Metro kira-kira 200 orang guru dijangka memberi sokongan kepada Cikgu Azizan. Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkata, mereka akan menyediakan bantuan guaman untuk Cikgu Azizan dan berusaha membantunya sebaik mungkin.
Pihak NUTP juga turut memohon semua guru untuk memberi sokongan moral dengan menghadirkan diri ke mahkamah esok.
Jika didapati bersalah, Cikgu Azizan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Hanya kerana ketegasan seorang guru dalam mendidik pelajarnya, dia bakal menerima hukuman penjara jika disabitkan kesalahan. Kalau dulu isu seperti merotan pelajar tidak pernah dipersoalkan asal dengan tujuan mendidik, tapi kini bila cikgu sentuh sikit anak-anak, ada juga segelintir ibu bapa yang dah mula tak senang duduk dan viralkan di media sosial.
Bukankah ada pepatah yang mengatakan sayang anak tangan-tangankan? Tidaklah sampai nak mencederakan, cuma tak mahu terlalu dimanjakan.
Persoalannya, memang anak-anak zaman sekarang ni tidak boleh dijentik sedikit ke? Kalau nak menyebelahi anak sekali pun, biarlah berpada-pada.
Dah terang lagi bersuluh, si anak tu sebelum ini banyak melakukan kesalahan disiplin. Jadi, masih nak salahkan guru yang tugasnya hanya mahu mendidik?
Kes ini juga menimbulkan kembali persoalan sama ada larangan hukuman rotan di sekolah perlu dikaji semula kerana ini juga adalah antara punca kenapa ibu bapa berani mengambil tindakan terhadap guru.
Apa-apa pun kami doakan agar segala urusan dipermudahkan.