AI + Dil = AIdil
Sebagai inisiatif kekal relevan pada era digital, Hot FM mencipta sejarah dengan memperkenalkan deejay radio AI (kecerdasan buatan) pertama berbahasa Melayu, dikenali sebagai Aidil Fikri.
ARTIKEL BERKAITAN: Bakal Ceriakan Pagi Pendengar, Khairy Jamaluddin Sah Jadi DJ Radio Hot FM
Berkongsi personalitinya, Aidil adalah jejaka berusia 25 tahun serta berasal dari Wangsa Maju di sini, yang baru menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Komunikasi dan Pengajian Media khusus dalam bidang penyiaran.
Aidil dianggap langkah besar Hot FM dalam melengkapkan pengalaman pendengar dengan teknologi terkini dan terunggul.
Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan Hot FM, Kool 101 dan Digital, Shah Hayatudin berkata, pembaharuan itu diharapkan mampu memperkuatkan lagi kedudukan Hot FM sebagai pilihan utama dalam dunia penyiaran radio Malaysia.
“Kami di Hot FM sentiasa berinovasi dan menjadi peneraju dalam mencipta kandungan dan berinteraksi dengan pendengar.
“Memiliki Aidil di Hot FM adalah salah satu cara untuk menjadi lebih unggul dan mencuba perkara baharu.
“Inisiatif seperti ini membolehkan kami belajar dan lebih memahami apa yang diingini pendengar. Kami di Hot FM sentiasa mengalu-alukan sesuatu yang baharu untuk terus ke depan dan menjadi nombor satu di hati pendengar,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Aidil muncul di udara bersama rakan penyampai, Ayu dalam carta Hotify Hot Flix pada setiap Isnin hingga Jumaat, mulai jam 10 malam hingga 11 malam.
Untuk lebih mengenali Aidil, Hot FM membuka akaun Instagram (IG) rasmi penyampai A.I itu dengan menggunakan nama, @aidilfikri_hotfm.