Kuala Lumpur Bakal Pegang Gelaran ‘Kota Tenggelam’ Seperti Jakarta?

Share

 

Jika dahulu, bencana banjir selalunya dijangka berlaku pada akhir tahun dan kerap kali berlaku di negeri-negeri Pantai Timur sahaja. Namun kini, sukar untuk kita letakkan jangkaan mengikut ‘musim banjir’ lagi.

Sejak akhir tahun 2021 lagi, sudah beberapa kali ibu negara Kuala Lumpur menjadi ‘mangsa’ kepada bencana banjir kilat yang mengakibatkan kerosakan jutaan Ringgit terutamanya kenderaan yang diletakkan di parkir bawah tanah serta di kawasan parkir terbuka.

Ia secara tidak langsung mengingatkan masyarakat Malaysia terhadap keadaan bandaraya Jakarta di Indonesia yang sering digelar sebagai ”kota tenggelam’ dek kekerapan berdepan banjir kilat. Isu air naik di sana telah bertukar serius sehinggakan ia menjadi salah satu faktor kepada penukaran ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN : Takut Ditenggelami Banjir, Jakarta Serah Gelaran Ibu Negara Indonesia Kepada Kalimantan – REMAJA

Berbalik kepada isu banjir kilat di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya seperti yang berlaku pada hari ini akibat hujan lebat berterusan, warga kota kini terpaksa berfikir dua kali untuk menjalankan aktiviti harian kerana khuatir dengan keadaan tersebut. Tambahan pula bagi yang menetap di kawasan tanah rendah atau dekat dengan saliran air yang selalu naik paras airnya sewaktu hujan; lebih banyak yang terpaksa mereka fikirkan selepas ini agar tragedi kehilangan harta seperti yang berlaku pada Disember 2021 kembali berulang.

Persoalannya, apakah Kuala Lumpur akan menerima nasib sama seperti Jakarta dalam waktu terdekat?

Kejadian banjir di Lembah Klang telah membongkarkan punca-punca yang selama ini tersembunyi daripada pengetahuan masyarakat umum. Antaranya termasuklah isu perparitan tersumbat, tidak cukup dalam, masalah tiada saliran air yang efisen, tiada kawasan kolam tadahan yang luas dan banyak lagi.

Lapor REMAJA tidak lama dahulu, kajian yang dilakukan oleh Nature Communication iaitu sebuah badan yang menerbitkan jurnal berkualiti mendedahkan Malaysia akan terjejas serta tenggelam menjelang tahun 2050.

Demi mengelak daripada kemungkinan ini daripada terjadi, Malaysia seharusnya mengambil tindakan segera bermula sekarang.

Antara yang pernah dicadangkan termasuuklah penanaman pokok di kawasan rendah dan kawasan yang terdedah kepada risiko banjir, melebarkan lagi zon tanpa kenderaan demi ‘memaksa’ warga kota mengambil pengangkutan awam (dengan syarat perkhidmatan yang disediakan ditambah baik dari segi efisiensi serta jumlah dan kekerapan) dan paling utama buat masa ini, melakukan pembersihan sistem perparitan dan sungai secara kerap.

ARTIKEL BERKAITAN : Finalis Hero Remaja 2021 Sertai Bantuan Pascabanjir Di 4 Daerah Pahang – REMAJA

Buat kita sebagai rakyat Malaysia pula, jika kita masih sayangi bandaraya tercinta Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang ini, mulai sekarang didiklah diri untuk memiliki mentaliti kelas pertama dengan membuang sampah di kawasan yang disediakan. Semudah itu saja. Ia sudah memadai untuk mengurangkan risiko banjir kilat melampau setiap kali hujan turun dengan lebat.

BACA LAGI : Mampukah Malaysia? Penduduk Tokyo Tawar Diri Kutip Sampah Keliling Stadium – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ