“Kuarantin Kepala Bapak”, Lelaki Persenda Perintah Kuarantin Bakal Berdepan Hukuman Penjara & Denda RM50,000

Share

Tentu sebahagian dari kita ada menyaksikan satu video seorang lelaki dari sebuah negeri di utara menayangkan satu jamuan makan ketika Perdana Menteri sudah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sambil menayangkan orang kampung begitu sempoi makan-makan di majlis berkenaan, lelaki berkenaan turut menuturkan perkataan “kuarantin kepala bapak” di dalam video.

Tanpa mengetahui padah bakal dihadapinya, video berkenaan tular di media sosial sehingga mendapat perhatian dari pihak berkuasa yang mencarinya. Akibat video berkenaan juga, lelaki ini bakal berdepan hukuman penjara dan denda di atas kesalahan penyalahgunaan kemudahan internet.

Semalam akhbar Free Malaysia Today (FMT) melaporkan seorang lelaki yang mempersendakan perintah kawalan pergerakan semasa merakam kenduri di Langgar didakwa di Mahkamah Sesyen atas penyalahgunaan kemudahan internet.

Mohd Naim Md Isa, 49, mengaku bersalah terhadap tuduhan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya.

Hakim Juraidah Abbas menetapkan 11 Mei sebagai tarikh jatuh hukum, sementara menunggu laporan forensik penuh dan fakta kes.

Mahkamah menawarkan tertuduh ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Naim dituduh menghasilkan kandungan yang menyinggung itu, klip video 57 saat, yang mana dia dilihat memandang remeh kebimbangan mengenai wabak koronavirus, dan turut didengar mengatakan “kuarantin kepala bapak” ketika orang ramai sedang menjamu selera.

Dia dituduh menghantar kandungan itu menggunakan aplikasi WhatsApp menerusi telefon bimbit antara 12.30 malam dan 2 pagi pada 20 Mac, 2 hari selepas perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.

Moralnya, di saat kita sedang hadapi saat getir, janganlah sesekali memuat naik sebarang video yang tidak mampu memberi faedah kepada masyarakat atau mempersendakan perintah yang pihak kerajaan keluarkan. Mungkin bagi kita bergurau tapi padahnya kena hadap seumur hidup. Silap-silap boleh kemurangan akibat menerima kecaman dari orang ramai. Buatlah video yang baik-baik, bak kata arwah Abam, buat baik ramai orang sayang.

Sumber : FMT

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros