Allah bayar cash!  Mungkin inilah perkataan paling tepat buat seorang lelaki apabila perbuatan zalimnya menggantung seekor kucing hingga mati akhirnya berbalas. Namun kisahnya juga patut dijadikan pengajaran buat orang lain agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.

Tentu ramai yang masih ingat dan marah dengan tindakan melampau seorang lelaki yang menggantung seekor kucing hingga mati pada hari raya lalu.

Laporan Harian Metro memaklumkan, perbuatan kejam lelaki menjerut kucing jantan bernama Jebon hingga mati, lima hari lalu akhirnya mendapat pembalasan apabila dia dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja gerai makan, Al Azri Norhisham, 28, selepas dia mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Kucing Cakar & Gigit Sampai Berlubang Punca Lelaki Gantung Kucing Sampai Mati
Pembantu kedai makan Al Azri dijatuhi hukuman penjara 15 bulan kerana menggantung kucing hingga mati
Kucing Cakar & Gigit Sampai Berlubang Punca Lelaki Gantung Kucing Sampai Mati
Perbuatannya tular di media sosial dan selang lima hari lelaki ini dijatuhkan hukuman penjara akibat perbuatan kejamnya

Mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara tidak munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada seekor kucing jantan di tangga Blok A3, Jalan 4/27A, Seksyen 2, Wangsa Maju pada jam 1.30 petang, 10 Jun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum bawah akta 29(1) yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

IKLAN

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya.

“Kucing itu cakar dan gigit tangan saya sehingga berlubang. Saya mohon hukuman diringankan lagi pun saya anak yatim piatu,” rayunya.

Siti Hajar bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pencegahan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatan yang dilakukannya melampaui batas.

“Perbuatan tertuduh adalah satu perbuatan jenayah dan satu bentuk penzaliman dan penganiayaan ke atas kucing.

IKLAN

“Sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras tak patut lakukan perbuatan itu terhadap seekor haiwan yang lemah. Tangan dicakar bukan alasan buat demikian,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu menyedari kucing miliknya mati di hadapan rumah selepas diberitahu oleh jirannya.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran pengadu, tertuduh dilihat membunuh kucing itu dengan menjerut kucing itu menggunakan tali rafia sebelum menggantungnya di tangga hadapan rumah jiran pengadu lalu beredar.

Ibu jiran pengadu kemudian membuka tali rafia itu dan membawa kucing berkenaan ke hadapan rumah pengadu.

IKLAN

Harian Metro sebelum ini melaporkan kucing jantan ditemui tergantung dengan tali pada tangga di blok pangsapuri berkenaan.

Bangkai haiwan malang itu ditemui oleh jiran pemilik kucing terbabit kira-kira 2 petang.

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki memegang kucing berkenaan sebelum mengikat leher haiwan terbabit pada tangga.

Percubaan pertama lelaki terbabit mengikat leher kucing itu gagal sebelum dia mengejarnya dan mengikat kali kedua.

Pemilik kucing itu membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

 

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI