Siapa sangka seekor kucing jalanan bergelar juara dunia dan mengharumkan nama Malaysia dengan merangkul gelaran juara dunia di World Winner 2024.
Dinamakan ‘Baby’, kucing betina berusia sembilan tahun ini mencipta sejarah apabila berjaya dinobatkan sebagai juara dunia dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa, atau secara rasmi dikenali sebagai World Winner Show 2024, yang diadakan di Oslo, Norway pada 3 November lepas.
ARTIKEL BERKAITAN : Nak Bela Kucing Di Singapura Kini Perlu Ada Lesen Dan Mikrocip!
Baby, seekor kucing betina yang dimiliki oleh pasangan Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus, berjaya meraih kemenangan besar dengan menewaskan ribuan pesaing dari pelbagai negara, menjadikannya ikon kebanggaan Malaysia.
Dengan kejinakan dan sifat manja, Baby berjaya memikat hati juri dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa anjuran FIFe! Keperibadian Baby yang tenang dan bersahaja sepanjang sesi penilaian membuatkan dia menonjol, malah mendapat perhatian besar daripada semua yang hadir.
Difahamkan, penjagaan rapi yang diberikan oleh pemiliknya, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus, juga memainkan peranan penting—bulu Baby sentiasa nampak kemas dan berkilau, menyerlahkan lagi kecantikannya di pentas pertandingan.
Lebih mengagumkan, Baby yang sudah berusia sembilan tahun ini turut bersaing di peringkat akhir bersama seekor lagi kucing jantan milik pasangan tersebut, menjadikan pentas akhir benar-benar milik Malaysia!
Selain Baby, beberapa lagi ekor kucing dari pelbagai baka turut dibawa hasil inisiatif Kelab Kucing Malaysia (KKM) untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan berkenaan antaranya:
Empat ekor kucing baka British Short Hair.
Tiga ekor kucing jalanan dan Seekor kucing Bengal.
“Penyertaan kali kedua ini membuahkan hasil apabila juri tertarik dengan perwatakan Baby selain piawaian lain yang memenuhi spesifikasi pemarkahan.
“Ini merupakan kali kedua Baby menyertai FIFe World Cat Show, selepas kali pertama bertanding pada 2017 di Amsterdam, Belanda, di mana Baby berjaya melangkah ke pentas final untuk pencalonan World Winner.
“Ini adalah penghargaan yang tinggi diterima kerana Baby perlu bersaing sengit dengan 1,500 ekor kucing lain yang turut menyertai pertunjukkan ini,” jelas Rooaida, dipetik Kosmo.
Selain pasangan itu, Timbalan Presiden KKM iaitu Habil Hussain serta Setiausaha Agong, Muhammad Hasbullah Ibrahim turut mengiringi kontinjen dari Malaysia ini ke Oslo untuk pertandingan tersebut.
Menurut Rooaida, dia dan suaminya memberikan pendedahan awal kepada Baby dengan sering membawanya menyertai pertunjukan kucing di dalam negara. Langkah ini bertujuan membantu Baby menyesuaikan diri dengan suasana yang terbuka dan ramai orang.
“Pendedahan ini penting supaya Baby terbiasa dengan orang ramai, sekali gus memupuk sifat jinak dan manjanya,” jelas Rooaida.
“Baby hanyalah kucing baka biasa. Kami ambil dia dari jalanan dan pelihara dengan penuh kasih sayang sehingga dia menjadi seperti sekarang.”
Sumber: The Official Site of Kelab Kucing Malaysia (KKM
BACA LAGI : Kucing ‘Oyen’ Paling Gemuk Di Dunia Meninggal Dunia!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.