Ayuh kita ke Neraka
Filem Kuntilanak kembali semula menghantui di pawagam. Masih lagi berkisarkan mengenai lima adik-beradik angkat iaitu Dinda, Kresna, Panji, Miko dan Ambar yang kini meneruskan kehidupan seperti biasa setelah berjaya menumpaskan Kuntilanak di filem pertama yang keluar tahun lalu.
Bagaimanapun, ketenangan mereka sekali lagi terganggu apabila muncul seorang wanita bernama ibu Karmila yang mengakui dirinya adalah ibu kandung Dinda membuatkan perasaannya membuak-buak ingin mengetahui siapakan dirinya sendiri.
Susulan itu, ibu angkatnya iaitu ibu Dona dengan berat hati melepaskan Dinda pergi melawat rumah ibu kandungnya yang terletak jauh di dalam hutan. Turut sama ikut adalah adik-beradik angkatnya serta anak bongsu ibu Dona iaitu Julia dan kekasihnya, Edwin.
Semua kisah seram bermula semasa mereka berada di dalam rumah tersebut yang juga sebenarnya adalah sarang Kuntilanak.
Rupanya-rupanya, ada sebab mengapa Dinda menjadi target untuk Kuntilanak kali ini kerana ada kaitan dengan salasilah keluarganya.
Seram Betul!
Sepanjang 90 minit filem ditayangkan sememangnya penonton disajikan dengan elemen-elemen seram yang mampu membuatkan korang semua meremang. Ada juga babak yang membuatkan satu panggung terjerit ketakutan tau!
Elemen Kekeluargaan
Masih mengekalkan elemen sama seperti filem pertama iaitu kekeluargaan, penonton dapat melihat bagaimana nilai-nilai keluarga itu jelas di dalam Kuntilanak 2 ini.
Ada satu babak di mana, si kecil Ambar berasa cemburu melihat Dinda bertemu dengan ibu kandungnya dan risau sekiranya dia akan kehilangan kakak jika Dinda memilih untuk tinggal bersama ibu Karmila.
Selain itu, dalam babak awal juga kelihatan ibu Dona memarahi yang lain kerana lalai menjaga Ambar ketika ke fun fair namun sempat menasihati mereka betapa pentingnya untuk mereka menjaga sesama sendiri.
Di samping itu, kata-kata terakhir di dalam filem Kuntilanak 2 ini juga turut merujuk kepada elemen kekeluargaan. Kalau nak tahu apa dia, kenalah tonton.
Apa-apapun, Kuntilanak 2 ini sememangnya menghiburkan! Walaupun disajikan dengan elemen seram, namun terselit juga aksi-aksi lucu kanak-kanak itu dalam berdepan dengan mahkluk tersebut.
Syabas diucapkan kepada para pelakon dan juga pengarah filem, Rizal Mantovani!