Ingatkan pada tahun 2020 ini, kita akan semakin bebas untuk menghasilkan projek-projek kreatif berbentuk video.
Iyalah, sekarang kan memang trend untuk mencipta video sendiri bagi tujuan suka-suka, untuk perniagaan (seperti video pra-perkahwinan) ataupun untuk dikongsikan dengan para followers di media sosial.
Namun, lain pula ceritanya apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan berita yang – hhm – sukar untuk ramai netizen terima pada hari ini.
Siang hari ini, Datuk Saifuddin Abdullah telahpun mengesahkan khabar angin mengenai peraturan baharu yang dikenakan oleh pihak berkuasa terhadap semua projek-projek penggambaran berbentuk filem dan video selepas ini.
Menurut beliau, kesemua jenis penggambaran filem di dalam Malaysia perlu mendapatkan lesen daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Ini berikutan isu kontroversi yang melibatkan saluran antarabangsa Al Jazeera yang menghasilkan sebuah dokumentari berjudul Locked Up In Malaysia’s Lockdown.
Tayangan dokumentari tersebut sekitar awal bulan Julai lalu telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang beranggapan ia tidak adil.
ARTIKEL BERKAITAN : Al Jazeera Sendiri Suruh Kru Berlakon Jadi PATI?
Penggambaran tersebut didakwa dilakukan tanpa pengetahuan daripada pihak FINAS. Lantas, demi mengelakkan kejadian sama berulang semula, Datuk Saifuddin mengumumkan bahawa kesemua bentuk pembikinan filem perlu mendapatkan lesen daripada FINAS selepas ini.
Ini termasuklah filem pendek ataupun video yang dihasilkan bagi platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan Tik Tok. Sekiranya korang mengenali Vlogger, YouTuber ataupun korang sendiri merupakan penghasil video kreatif, nampaknya kelompok ini akan berdepan dengan lebih banyak proses merumitkan selepas ini.
Yes guys, bukan korang saja yang berang apabila mendengar berita ini.
Ramai lagi ahli politik seperti Yang Berhormat Syed Saddiq yang mungkin tidak menghasilkan video seperti kita, namun merasakan akta tersebut tidak praktikal.
Sebagai generasi muda yang banyak bergantung harap kepada pembikinan video untuk menjana pendapatan, langkah ini dilihat seakan menidakkan kebebasan mereka. Tambahan pula, pemilikan lesen daripada FINAS tentunya memerlukan kita untuk melaburkan bajet wang Ringgit. Tak semua orang memiliki kelebihan tersebut.
Bagi pihak REMAJA sendiri, kami faham bagaimana inisiatif ini terhasil. Kita seboleh mungkin tidak mahu negara diporak-perandakan disebabkan penghasilan video melampau seperti yang telah diterbitkan oleh Al-Jazeera.
Namun kami sendiri masih tertanya-tanya apakah tiada had ke atas penguat kuasaan akta terbaru ini? Apakah video seringkas Vlog percutiaan di YouTube juga harus melalui proses permohonan lesen, sedangkan video seperti itu tidak digunakan untuk menjana pendapatan seperti video komersil?
REMAJA pasti ramai lagi dalam kalangan korang di luar sana yang ‘blur’.