Pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini (RR) baru-baru ini mengharumkan nama negara sekali lagi di persada dunia apabila busana rekaan mereka digayakan oleh penyanyi terkenal Lady Gaga ketika penampilannya di Lady Gaga Jazz & Piano di Park MGM, Las Vegas, Amerika Syarikat.
Menerusi video yang tular di media sosial, menyarung gaun labuh potongan sopan hasil sentuhan dinamik pereka duo berkenaan ketika menyanyikan lagu popularnya Americano sambil memetik piano.
Perekanya, Rizman Nordin dari Rizman Ruzaini berkata, kolaborasi bersama dengan Lady Gaga itu bermula rentetan daripada busana mewah yang pernah digayakan oleh model terkenal, Naomi Campbell pada pertunjukan fesyen mereka di Dubai tahun lalu.
“Segalanya bermula selepas Naomi Campbell mengayakan busana kami pada pertunjukan fesyen di Dubai tempoh hari. Tentulah, Naomi merupakan supermodel yang disegani, jadi apabila dia bersetuju nak pakai busana sesebuah jenama, maknanya pereka itu sudah ada ‘weight’”
“Jadi selepas dua, tiga hari Naomi pakai baju kami, kita dapat panggilan serta pertanyaan daripada agensi-agensi dari Hollywood. Dalam banyak-banyak panggilan itu merupakan stylist yang bekerja dengan penyanyi popular seperti Lady Gaga dan Beyonce”
Rizman berkata demikian kepada Gempak, beliau turut menjelaskan selepas bertukar nombor, RR pun memulakan proses rekaan seperti biasa selepas mendapat ukuran daripada agensi yang menghubunginya.
Tambahnya, kebiasaannya selebriti luar negara akan mengenakan busana daripada pereka yang baru berkolaborasi dengan mereka untuk majlis kecil seperti majlis persembahan makan malam.
“Kami hantar busana berkenaan kepada agensi yang menguruskan busana Lady Gaga pada awal tahun ini. Perancangan asal, sebenarnya busana itu untuk dinner show sahaja. Namun, selepas sampai ke sana, pihak Lady Gaga beritahu yang tuan empunya badan mahu simpan dan pakai untuk majlis yang lebih besar”
Katanya, “Jadi bila Lady Gaga pakai ketika konsertnya, kami berasa sangat teruja dan terkejut!”
Dalam pada itu, Rizman menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan wang untuk membolehkan rekaannya dipakai oleh Lady Gaga dan menganggap kolaborasi itu sebagai peluang untuk jenama Rizman Ruzaini ke persada yang lebih tinggi.
Sumber: Astro Gempak
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.