Lagi Ada Putuskan Hubungan Dengan Kris Wu, Kini Giliran Persatuan Terkenal China

Share

 

Inilah realiti yang perlu dihadapi oleh golongan yang bergelar selebriti.

Tak kisahlah sama ada selebriti dari Malaysia atau di peringkat antarabangsa, sekiranya seseorang yang popular didapati melakukan kesalahan serius, hampir semua pihak akan cuba memutuskan segala hubung kait dengan selebriti tersebut. Ini termasuklah  pekerjaannya, projeknya, jenama yang diwakilinya dan paling parah, para peminat melarikan diri.

Dek kerana tuduhan gangguan seksual oleh beberapa mangsa, bekas ahli kumpulan K-pop EXO iaitu Kris Wu yang kini bertapak dalam dunia hiburan China telah berdepan kesemua impak ini secara serta-merta.

Julai lalu, penyanyi berusia 30 tahun ini sudahpun kehilangan beberapa kontrak dengan jenama terkenal apabila pelajar bernama Du Meizhu mendedahkan perbuatan Kris di media tempatan China. Antara jenama yang ‘melarikan diri’ itu termasuklah Louis Vuitton, Bulgari, L’Oreal Men dan Porsche.

ARTIKEL BERKAITAN : Padah Dituduh Pemangsa Seksual, Jenama Produk Tamat Kontrak Dengan KRIS WU – REMAJA

Hari ini setelah Kris secara rasminya ditangkap oleh pihak polis Beijing atas tuduhan memperkosa dan rogol, beberapa lagi pihak bertindak memutuskan hubungan dengannya.

BACA LAGI : Bintang Pop Kris Wu Ditangkap Di China Atas Tuduhan Rogol – REMAJA

Kali ini, giliran Persatuan Seni Persembahan China pula yang mengambil keputusan tersebut. Untuk pengetahuan, ia merupakan sebuah persatuan terhormat di bawah Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China.

Menerusi satu kenyataan di laman Weibo rasminya, ia mengajak industri seni China untuk memboikot Kris

dan berharap agar mana-mana selebriti serta agensi hiburan lain yang mewakili artis mereka untuk mula memandang serius akan aras (standard) moral yang diperlukan untuk berada dalam industri seni China.

Tegas mereka, “Sebagai seorang penghibur seni, (Kris) tidak menggunakan peluang kerjayanya untuk memaparkan kebudayaan masyarakat China; sebagai seorang figura awam dia telah terlepas pandang akan tanggungjawab sosial dan nilai dirinya; sebagai seorang bintang terkenal dengan kelompok peminat yang cukup ramai, dia telah menyalahi undang-undang dan mencetuskan impak sosial yang tidak boleh diperbaiki.”

“Industri ini tidak lagi boleh bertolak ansur dengan figura sedemikian.”

Wow. Nampaknya populariti yang dimiliki Kris langsung tidak mengaburi pandangan persatuan di China yang lebih mementingkan cara untuk mengekalkan standard industri seni mereka pada tahap tertinggi.

Walaupun kes Kris masih dalam siasatan dan dia belum lagi dijatuhkan hukuman, impak daripada penangkapan ini nyata telah mencalar imejnya.

Buat masa ini, Kris masih dalam tahanan dan ia boleh berlanjutan hingga 37 hari maksimum di sisi-sisi perundangan China sebelum penangkapan formal dilakukan.

Mengikut undang-undang di China, mana-mana individu yang menggunakan kekerasan, ugutan dan cara lain untuk merogol wanita boleh dijatuhkan hukuman di antara tiga hingga 10 tahun. Hukuman yang lebih berat boleh dikenakan jika ia melibatkan gadis di bawah umur atau mendatangkan kecederaan serius.

Tinjauan REMAJA terhadap kesemua akaun media sosial Kris mendapati kesemuanya telah dinyahaktifkan buat masa ini. Kris oh Kris.. what have you done?

Sumber : (1)

Published by
FZ