Semakin hari, kes positif COVID-19 semakin menakutkan masyarakat apabila ianya seperti berada di mana-mana. Terbaru, seorang staf operasi MRT laluan Kajang telah disahkan positif dan kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh. Staf tersebut bertugas sebagai pengendali tren atau transit officer dan bertugas kali terakhir pada 21 Oktober 2020.
Ekoran daripada kes tersebut, pihak Rapid Rail yang menjadi untuk MRT Laluan Kajang, telah melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan staf berkenaan telah diminta untuk menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard KKM.
Namun begitu, perkhidmatan MRT Laluan Kajang dan semua perkhidmatan pengangkutan awam lain kendalian Prasarana – LRT, monorel, Bas Rapid Transit dan bas henti- henti adalah selamat digunakan. Pihak pengurusan dan staf Prasarana khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan COVID-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM.
Walau bagaimanapun, pengguna diingatkan untuk mengikuti dengan rapi SOP yang telah ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.
Pengangkutan awam adalah nadi penting negara. Ramai yang menggunakan perkhidmatan ini dan diharap agar korang sentiasa berhati-hati dan jangan lupa untuk memakai hand sanitizer setiap kali berada di kawasan awam.
Sumber: RAPID KL