
Ibarat tidak pernah serik dengan insiden lampau yang pernah berlaku dalam negara, masih ada remaja belasan tahun yang tidak mempedulikan nyawa pengguna jalan raya dengan memandu dalam keadaan mabuk.
Terbaru, seorang remaja berusia 19 tahun yang memandu kenderaan model Honda Civic telahpun bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Viva sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut, manakala anak dan isteri mangsa cedera (salah seorangnya parah).
Dalam kejadian sekitar jam 11.45 malam di Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar dekat Kampar, Perak itu, kereta Honda Civic yang dipandu remaja terbabit bersama seorang penumpang berusia 29 tahun itu telah memasuki laluan Perodua Viva dan mengakibatkan kedua-dua kenderaan bertembung.
Remaja yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan penumpangnya itu tidak cedera. Begitupun, lain pula nasibnya dengan tiga mangsa yang berada di dalam kereta Perodua Viva.
Mangsa, Mohd Nazri Sham Aring, 42 cedera di dada dan disahkan maut di tempat kejadian. Manakala anak mangsa bersuai tiga tahhun mengalami pendarahan dalam di kepala dan isterinya pula mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Ipoh Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, remaja berkenaan kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Kampar mengesahkan punca kematian disebabkan ‘polytrauma sekunder akibat kemalangan’.
*
Disebabkan tiada rasa tanggungjawab sebagai seorang pengguna jalan raya, nyawa tidak bersalah yang menjadi mangsa. Mungkin sudah tiba masanya untuk hukuman yang lebih berat menanti pemandu di bawah pengaruh alkohol dan bahan terlarang.
ARTIKEL BERKAITAN : Peguam Ajar Kita Sebenarnya Boleh Saman Pemandu Mabuk – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Han Lay, Ratu Cantik Myanmar Berani Bersuara Demi Kedamaian Negara

Sejak Februari lalu, rakan ASEAN kita iaitu Myanmar dilanda pergolakan negara apabila pihak tentera merampas kuasa dan menuduh wujud penipuan dalam sistem pengundian pilihan raya umum mereka pada tahun lalu.
Sejak itu, Suu Kyi dan tokoh-tokoh kanan telah ditahan. Manakala masyarakat Myanmar memilih untuk turun ke jalan raya bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka menerusi demonstrasi jalanan.
Walaupun ditekan dan didesak oleh rakyat dan pemerhati antarabangsa, pihak tentera Myanmar masih tegas dengan keputusan mereka untuk memimpin hingga mengorbankan nyawa.
ARTIKEL BERKAITAN : #GirlPower : Siapakah Kyal Sin, Remaja 19 Tahun Maut Demi Demokrasi Di Myanmar – REMAJA
Pihak tentera turut memberitahu Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa mereka bersedia melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa.
Baru-baru ini, nama wakil Miss Grand Myanmar iaitu Han Lay tiba-tiba menjadi sebutan setelah gadis berusia 22 tahun ini lantang bersuara di pentas akhir Miss Grand International 2021. Dalam slot yang diberikah khas kepadanya, Han Lay merayu masyarakat dunia agar membantu Myanmar.
1. Han Lay merupakan pemenang tempat kedua di pertandingan Miss Universe Myanmar 2020. Selaku naib juara, dia dilantik mewakili Myanmar di pentas Miss Grand International 2020 yang baru saja diadakan di Bangkok, Thailand pada bulan lalu.
BACA LAGI : Wakil Miss Grand Malaysia Catat Sejarah, Bolos Posisi TOP 10 – REMAJA
2. Han Lay yang juga dikenali sebagai Thaw Nandar Aung menyuarakan pandangan rakyat Myanmar tentang kekejaman tentera di negaranya. Dia lantang bersuara semasa mendapat platform bercakap di Miss Grand International.
3.“Hari ini di negara saya, Myanmar, ketika saya berdiri di atas pentas ini, lebih 100 orang sudah terbunuh. (Berhenti sebentar) Tolong bantu Myanmar. Kami amat memerlukan pertolongan segera antarabangsa,” katanya.
4. Ini bukanlah kali pertama Han Lay berani menentang kekejaman tentera di Myanmar. Sebelum ini, gadis ini pernah menyertai demontrasi jalanan di Yangon, Myanmar.
5. Merupakan mahasiswa di Universiti Yangon, dia menyatakan kepada pihak BBC bahawa dia menggunakan medium pertandingan ratu cantik untuk bersuara memandangkan pihak media di Myanmar juga tidak mempunyai kuasa.
Di sana, penggiat media akan ditahan jika menentang tentera. Jadi dia bijak menggunakan peluang keemasan tersebut untuk bercakap kepada keseluruhan penonton dunia.
6. Bagaimanapun, soal keselamatan Han Lay kini terganggu disebabkan kelantangan suaranya. Oleh sebab itu, dia kini masih berada di Thailand selepas pertandingan berakir.
Menurut penganjur Miss Grand International iaitu Encik Nawat Itsaragrisil, Han Lay akan tinggal di Thailand sekurang-kurangnya tiga bulan dan berada di bawah jagaan penganjur selama tempoh itu.
7. Dalam segmen kostum nasional Miss Grand International 2020, Han Lay mengenakan busana bertemakan ‘A Goddess of Peace’. Kostum yang didominasi warna kuning keemasan dan putih itu melambangkan kedamaian yang diimpikan oleh dunia dan negara Myanmar.
8. Han Lay sebelum ini pernah tercalit dengan kontroversi akibat insiden yang tidak disengajakan berlaku ketika segmen baju renang.
Han Lay yang ketika itu sedang memakai bikini lengkap berwarna biru berjalan dan memperagakannya di sudut sebelum secara tiba-tiba payudaranya tersembul keluar secara tidak sengaja.
Sumber : BBC
Apa Itu Hawar Berdarah? Bukan Saja Haiwan, Manusia Juga Berisiko Maut Jika Dijangkiti

Hari ini tular di media sosial lebih 35 ekor (laporan terkini setakat jam 1 tengahari) kerbau kesayangan Mogwli Malaysia, Syukor mati mengejut. Melihat kepada gambarnya yang dalam kesedihan membuatkan ramai menzahirkan ucapan takziah termasuk datangnya dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri.
Dalam pada itu ada mengaitkan kematian secara tiba-tiba kerbaunya akibat hawar berdarah (sampel sudah diambil tetapi keputusan akan diumumkan dalam tempoh dua minggu).
Di sebalik rasa simpati, tentu ramai ingin tahu apakah hawar berdarah yang biasa menyerang haiwan ternakan dan membawa kepada kematian. Namun tahukah, manusia juga berisiko dijangkiti dan boleh membawa kepada maut jika terkena wabak hawar ini.
Bagaimanakah wabak ini boleh menjangkiti manusia?
Dipetik dari portal MyHealth dari Kementerian Kesihatan Malaysia, dikongsikan risiko kematian jika dijangkiti hawar.
Plaque (Hawar)
Hawar adalah jangkitan wabak secara semulajadi yang melibatkan tikus berlaku di merata tempat di seluruh dunia. Penyakit epidemik akut yang melibatkan tikus dan roden liar berlaku di bahagian tengah, timur dan selatan Afrika, Amerika Selatan, bahagian barat Amerika Utara dan di sebahagian besar Asia.
Di sesetengah kawasan, kontak antara tikus hutan dan tikus rumah biasa berlaku dan boleh menyebabkan kes jangkitan manusia dan kadang-kala menjadi wabak.
Penyakit plague ataupun hawar merupakan satu penyakit akut yang boleh membawa kepada kesakitan dan maut kepada manusia dan haiwan. Terdapat dua epidemiologi penyakit hawar iaitu silvatic dan urban. Penyakit hawar silvatic melibatkan transmisi peringkat awal antara rodensia dengan rodensia dan kutu dengan rodensia.
Ia melibatkan beberapa binatang seperti anjing ladang, tupai tanah, tikus tanah, arnab dan lain-lain.
Penyakit hawar urban (domestik) melibatkan tikus komersial terinfeksi di mana ianya melibatkan manusia yang tinggal di persekitarannya. Ianya boleh berlaku dalam bentuk wabak di mana perebakan penyakit ini berlaku dengan cepat dengan adanya beberapa faktor penyebab tertentu iaitu faktor persekitaran, faktor agen dan faktor hos.
Dalam kontek ini, faktor persekitaran adalah rodensia (tikus), faktor hos adalah manusia dan faktor agen adalah bakteria Yersenia pestis. Faktor persekitaran iaitu tikus adalah merupakan perumah kepada kutu yang hidup pada tubuhnya dengan menghisap darah pada tikus tersebut. Apabila terdapat agen iaitu bakteria Yersenia pestis samaada dalam tubuh tikus atau pada kutu itu sendiri maka berlaku jalinan pertukaran agen itu kepada manusia apabila kutu tersebut menggigit manusia.
Antara tanda jangkitan adalah demam, bengkak kelenjar, pendarahan kulit dan pendarahan kelenjar limfa. Keadaan yang lebih teruk akan berlaku apabila gigitan kutu terinfeksi akan melepaskan bakteria kepada sistem saluran darah manusia dan akhirnya akan menyerang sistem kelenjar tubuh.
Kaedah kawalan dan langkah-langkah pencegahan adalah pemantauan yang berterusan di semua pintu-pintu masuk negara. Selain itu, kaedah kawalan yang berkesan adalah kawalan kimia dimana penggunaan semburan gas hidrogen sianid bagi membunuh tikus di gudang-gudang dan juga kapal-kapal yang tiba daripada negara-negara berisiko tinggi seperti dari negara-negara Afrika dan Amerika Latin.
Agen penyebab: Yersinia pestis
Cara jangkitan: Jangkitan kutu yang menular dari tikus ke haiwan lain dan manusia. Jangkitan manusia ke manusia tidak berlaku kecuali semasa wabak pneumonik, apabila titisan cecair pernafasan daripada pesakit menjangkiti orang lain semasa berdekatan.
Wabak juga boleh merebak melalui sentuhan dengan objek yang tercemar (contoh: tisu/tuala), atau cecair atau nanah haiwan yang dijangkiti.
Tempoh pengeraman: 1 hingga 7 hari
Pelancung adalah berisiko rendah. Walau bagaimanapun perjalanan ke kawasan dimana penyakit hawar biasa berlaku (endemik) di kawasan luar bandar mempunyai risiko, terutamanya jika berkhemah atau memburu atau jika tersentuh tikus.
Tanda dan Gejala
Demam
Batuk
Bengkak yang sakit di pangkal peha, leher dan ketiak
Muntah
Jangkitan terbahagi kepada 3 jenis:
Hawar Bubonik: Berpunca dari gigitan kutu yang dijangkiti menyebabkan radang pada kelenjar limfa (limfadenitis) dan sekitar kelenjar limfa. Ciri utama: Bengkak yang sakit dan bernanah.
Hawar Septisemik: Merebak dari wabak bubonik atau berlaku semasa ketiadaan limfadenitis. Jangkitan menular ke dalam aliran darah menyebabkan keradangan di selaput otak (meningitis), renjatan endotoksid dan pendarahan yang teruk akibat Penggumpalan Intravasel Tersebar (Disseminated Intravascular Coagulation – DIVC).
Hawar Pneumonik: Jangkitan boleh menular ke paru-paru dan menyebabkan pneumonia yang teruk. Pesakit boleh merebakkan penyakit melalui titisan cecair pernafasan. Individu yang terkena titisan/cecair tersebut boleh mendapat jangkitan paru-paru.
Komplikasi
Tanpa rawatan segera dan berkesan, 50 hingga 60% dari kes boleh membawa maut.
Kesan septisemik yang tidak dirawat boleh menyebabkan renjatan endotoksid dan Penggumpalan Intravasel Tersebar (Disseminated Intravascular Coagulation – DIVC) manakala pneumonia teruk berlaku semasa wabak pneumonik.
Rawatan
Rawatan khusus: Streptomisin adalah disarankan. Ubat lain termasuklah gentamisin, tetrasiklin dan kloramfenikol.
Pencegahan
Jika anda melawat kawasan yang dijangkiti:
Elakkan memegang tikus yang hidup atau mati
Elakkan berada di tempat yang sesak
Elakkan gigitan kutu dengan menggunakan repelan dan racun serangga
Elakkan mengendali tikus mati dan laporkan kepada pihak kesihatan jika terjumpa tikus mati
Jika anda berhubungan dengan orang yang dijangkiti, elakkan menyentuh cecair tubuh pesakit dan dapatkan rawatan awal
Simpan dan lupuskan sisa makanan/sampah dengan betul supaya tikus tidak mencerobohi makanan dan tempat tinggal anda.
Rujukan / sokongan:
International Travel & Health, WHO 2006
Control of Communicable Diseases Manual, 18th Edition by David L. Heymann, MD, Editor, 2004
Gambar : Syukor dari Dallahdean Phptography
Mengapa Stadium Shah Alam TIDAK Dipelihara Seperti Kota Darul Ehsan?

Perancangan kerajaan negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil khabarnya tidak dipersetujui oleh ramai pihak atas sebab-sebab tertentu dan berharap agar ia dapat dipertahankan.
Ujar Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Shah Alam, ia menyifatkan stadium tersebut bukan sahaja bermakna kepada rakyat negeri; bahkan ia merupakan bukti janji Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mahukan pentadbiran lengkap di Selangor sewaktu hayat Baginda.
Almarhum Sultan pada ketika itu ingin melihat Selangor mempunyai sebuah stadium bertaraf antarabangsa dan terkenal di Asia Tenggara; selain menjadi gelanggang kepada ramai pemain antarabangsa.
“Sepatutnya, Stadium Shah Alam dipertahankan kerana ia sangat dekat dengan sejarah penubuhan Bandaraya Shah Alam itu sendiri yang dicetuskan Almarhum Sultan,” kata pengerusinya, Datuk Azhari Shaari.
ARTIKEL BERKAITAN : Fakta tadium Shah Alam Yang Dulu Adalah ‘Rumah’ Harimau Malaya – REMAJA
Mereka turut membandingkan nilai sejarah yang ada pada Stadium Shah Alam kepada pintu gerbang Kota Darul Ehsan di Lebuhraya Persekutuan yang memisahkan sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Untuk pengetahuan, stadium baharu yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri adalah lebih kecil dan berkapasiti 30-000 hingga 40,000 orang penonton sahaja berbanding kapasiti 80,300-nya sekarang. Ia demi memudahkan urusan penyelenggaraan stadium yang jujurnya tidak terjaga sekarang terutamanya pada bahagian bumbungnya.
Namun jika difikir semula, masalah kerosakan fasiliti di stadium ini tidak akan timbul jika kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berkala dan mengikut jadual.
Selain itu, dalam bab kos penyelenggaraan Stadium Shah Alam sekarang yang dikatakan tinggi disebabkan saiznya, seharusnya pihak pengurusan merujuk kepada cara pengurusan stadium berskala besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil.
Ia tidak bergantung sepenuhnya kepada kutipan tiket dan aktiviti bersukan saja. Malahan ia mempromosikan kawasan sekitar kompleks sukan itu dengan penganjuran karnival, sebagai contoh.
Di selatan Semenanjung pula, Stadium JDT juga sudah mula mewarnai kawasan stadium dengan pelbagai aktiviti rekreasi baharu yang dibuka kepada orang ramai.
ARTIKEL BERKAITAN : Stadium JDT Dijangka Dipenuhi Pelancong Kerana ‘Hummer Tour’ – REMAJA
Apa pendapat korang? Setujukah korang dengan perobohan dan pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam ini?
BACA LAGI : Stadium Nasional Bukit Jalil Mungkin Berubah Nama Tidak Lama Lagi – REMAJA
Sumber : (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.