Ibarat tidak pernah serik dengan insiden lampau yang pernah berlaku dalam negara, masih ada remaja belasan tahun yang tidak mempedulikan nyawa pengguna jalan raya dengan memandu dalam keadaan mabuk.
Terbaru, seorang remaja berusia 19 tahun yang memandu kenderaan model Honda Civic telahpun bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Viva sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut, manakala anak dan isteri mangsa cedera (salah seorangnya parah).
Dalam kejadian sekitar jam 11.45 malam di Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar dekat Kampar, Perak itu, kereta Honda Civic yang dipandu remaja terbabit bersama seorang penumpang berusia 29 tahun itu telah memasuki laluan Perodua Viva dan mengakibatkan kedua-dua kenderaan bertembung.
Remaja yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan penumpangnya itu tidak cedera. Begitupun, lain pula nasibnya dengan tiga mangsa yang berada di dalam kereta Perodua Viva.
Mangsa, Mohd Nazri Sham Aring, 42 cedera di dada dan disahkan maut di tempat kejadian. Manakala anak mangsa bersuai tiga tahhun mengalami pendarahan dalam di kepala dan isterinya pula mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Ipoh Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, remaja berkenaan kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Kampar mengesahkan punca kematian disebabkan ‘polytrauma sekunder akibat kemalangan’.
*
Disebabkan tiada rasa tanggungjawab sebagai seorang pengguna jalan raya, nyawa tidak bersalah yang menjadi mangsa. Mungkin sudah tiba masanya untuk hukuman yang lebih berat menanti pemandu di bawah pengaruh alkohol dan bahan terlarang.
ARTIKEL BERKAITAN : Peguam Ajar Kita Sebenarnya Boleh Saman Pemandu Mabuk – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.